| Tuan Guru Abdul Hadi Awang, | 27 Jun 2012 | 
Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan 
pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan 
umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh 
diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh 
memberi kemenangan kepada BN  walaupun dengan majoriti kecil khususnya 
di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh 
mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi 
memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun 
rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi 
dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan 
sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib 
dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan 
peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi  sara hidup,
 begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah. 
Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi dan 
dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.
PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh 
pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah 
sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada 
melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan 
Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta 
melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa 
pemerintahan negara.
Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini, 
walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah 
politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para 
pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan Al
 Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada 
beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.
Firman Allah:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر 
وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين . 
التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para 
jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti 
kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad pada
 jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama di 
sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang 
zalim ).
Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan 
kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang 
sangat besar dibebankan kepada umat Islam.
Firman Allah:
إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن 
تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا  . (النساء 
).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan 
menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu 
melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil, 
sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik, 
sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.)
Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan besar
 dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah yang 
menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan umum 
dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan 
hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang yang tidak 
melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang membawa 
berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan agama, 
akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya adalah 
mengkhianati Allah dan Rasul.
Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah 
Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan 
jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di 
Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada 
mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah 
pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.
PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan 
penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau 
berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang 
tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan 
kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat 
di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi 
menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan 
fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak 
Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu 
yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat
 ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.
Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini, 
pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada 
menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga 
mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan 
pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga 
Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam setelah
 berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala Umno di 
negara masing-masing.
Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia 
menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya tanpa
 mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty), adalah 
penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik dan 
memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka menjajah 
selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat. Sebenarnya merekalah yang
 mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang termasuk dalam 
perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada seluruh  alam dengan 
melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan matlamat kejadian manusia 
yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi
 jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang melaksanakannya dengan 
sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh jenis manusia yang 
bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.
Presiden PAS
Artikel Yang Wajib Di Baca Oleh Umat Islam Malaysia!!!
DSAI Jawab Tuduhan Umno Isu Israel
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 Catatan
Catatan
 
 
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...