Nik Abdul Aziz Nik Hassan 8:05AM Mac 12, 2012 |
Islam, Anwar dan Yahudi
Kenyataan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kepada akhbar Wall Street Journal (WSJ) mengenai kedudukan Israel telah memadamkan isu liwat yang dimainkan sekian lama oleh media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3.
Walaupun mereka tahu yang Malaysia telah menjadi rakan dagang ke-15 Israel malah perdana menteri Malaysia dahulu sendiri pernah bertemu perdana menteri Israel, namun sikap hipokrit mereka tetap berterusan. Tanpa segan silu mereka mengolah skrip untuk memfitnah Anwar walaupun penjelasan telah diberikan.
Samada isu yang sedang dimainkan BN ini akan menguntungkan politik mereka atau sebaliknya hanya PRU 13 dapat tentukan jawapannya.
Kedudukan Israel dalam konteks realiti politik dunia ditentukan kuasa besar imperialis kapitalis Amerika. Tidak perlu diceritakan secara mendalam mengenai penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 yang ditaja British dengan muslihat tersendiri.
Saya yakin pembaca sekalian telah maklum dan mempunyai persepsi sendiri mengenainya. Artikel ini tidak bertujuan memperincikannya.
Tetapi selain dari melihat sejarah penubuhannya kita juga harus terbuka dan berani melihat secara jujur realiti dunia hari ini. Kedudukan umat Islam yang lemah dalam segenap bidang dan sebahagian besar dunia Islam berada di bawah pengaruh Amerika maka amat wajar strategi menangani masalah Israel Palestin disemak kembali.
Begitupun strategi dan pendekatan kita tidak harus lari dari saranan agama (Al Quran) serta mengambilkira pengalaman serta amalan di zaman pemerintahan Rasulullah SAW dan Khalifah Ar-Rasyidin dan sejarah zaman kegemilangan Islam kemudiannya.
Walaupun ada kumpulan yang mengambil pendekatan keras dan tidak mahu berunding langsung dengan Israel, seperti kata Anwar kita hormati pendirian mereka. Memang mudah untuk sesiapa mengambil pendirian sebegitu apabila kita berada jauh dan tidak merasai sendiri penderitaan akibat konflik yang berterusan ini. Tetapi mereka mungkin mengambil pendirian berbeza jika berada pada kedudukan dan terpaksa menanggung sendiri penderitaan dari masa ke semasa.
Konsep dua negara
Samada kita bersetuju atau tidak mengenai kewujudan Israel secara realitinya hampir seluruh negara di dunia ini sudah mengiktiraf negara itu samada secara langsung atau tidak langsung. Keputusan bersetuju menerima penyelesaian konsep dua negara (two states solution) tajaan PBB bukan sahaja diterima banyak negara di dunia malah pertubuhan Hamas dan Al-Fatah juga bersetuju dengan syarat tertentu (dengan kontingen meminjam istilah Anwar).
Memang lunak dan sedap didengar apabila sentimen dan emosi ummah didendangkan. Akan tetapi persoalannya apakah sentimen dan emosi yang dikumandangkan dalam realiti kini itu akan membawa natijah yang positif kepada ummah terutama kepada penduduk Palestin itu sendiri.
Justeru kerana itu saya berpendapat bijak pandai-bijak pandai Islam mesti mengkaji kembali persoalan Palestin / Israel ini berasaskan kepada perspektif Al Quran, Al Hadith dan realiti sejarah itu sendiri.
Di bawah ini penulis ingin memanjangkan ayat-ayat Al-Quran yang menganjurkan kepada worldview yang universal yang mana baik secara implisit mahupun eksplisit persoalan kaum Yahudi dan agama merekaada terdapat di dalamnya.
Dalam surah Al-Imran ayat 64 Allah SWT berfirman yang membawa erti:
“Katakanlah (wahai Muhammad) “Wahai Ahli Kitab marilah kita bersama-sama dalam satu pengajaran yang sama antara kami dan kamu; iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan sesuatu jua pun, dan janganlah sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah.” Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka ‘saksikan” kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam”.
Kaum yang musyrik
Dalam surah Al-Imran ayat 84 Allah SWT berfirman yang membawa erti:
“Katakanlah wahai Muhammad Kami beriman kepada Allah dari apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim dan Ismail dan Ishak dan Yaakub dan apa yang dikurniakan kepada Musa dan Isa dan sekalian Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza beza seseorang pun diantara mereka dan kami semua tegak diatas perintah Tuhan dengan semangat Islam.”
Dalam surah An-Nisa ayat 136 pula Allah SWT berfirman yang membawa erti:
“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu semua beriman kepada Allah dan rasul-rasulnya dan kitab yang telah diturunkan kepada Rasulnya dan juga kepada kitab kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikatnya dan kitab-kitanya dan rasul-rasulnya dan hari akhirat maka sesungguhnya ia telah tersesat ke jalan yang amat jauh”.
Dalam surah as-Saf ayat 9 pula Allah SWT berfirman yang membawa erti:
“Dialah Tuhan yang mengutuskan rasulnya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya dia melahirkannya diatas semua agama seluruhnya walaupun dibenci oleh semua kaum yang musyrik”.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 136 Allah SWTberfirman yang membawa erti:
“Katakanlah (ikrarkanlah) kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub dan anak-anaknya dan apa yang dikurniakan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa dan yang dah dikurniakan kepada semua Nabi yang diutus daripada Tuhan mereka (sesungguhnya) kami tidak akan membeza-bezakan antara seorang mereka sebagaimana yang dilakukan oleh golongan –golongan fanatik terhadap nabi-nabi mereka masing-masing dan kami semua tegak di atas perintah Allah dengan semangat Islam.”
Dalam surah al–Baqarah ayat 62 Allah SWTberfirman yang membawa erti:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman (terhadap Al-Quran dan orang-orang yang mengikuti (Kitab-Kitab Suci) Yahudi, dan orang-orang Nasara (Kristian) dan orang-orang Sabi’in sesiapa diantara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari Akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka itu pahala balasannya disisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dan berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Kalau kita rujuk pula kepada pendekatan Rasulullah SAW dalam menangani persoalan masyarakat majmuk Madinah melalui Piagam Madinah, kita dapati pendekatan baginda terbuka kepada kesemua bangsa dan penganut agama termasuk kepada bangsa Yahudi itu sendiri.
Bersifat terbuka
Semua bangsa-bangsa dan penganut-penganut agama itu dilayan dengan adil asalkan mereka patuh dan setia kepada piagam tadi. Memang dalam zaman Rasulullah SAW baginda ada memerangi kabilah-kabilah Yahudi yang tidak jujur dan setia kepada piagam tadi.
Tindakan baginda ini dibuat bukan atas dasar mereka itu kaum Yahudi akan tetapi kerana mereka tidak setia kepada prinsip kenegaraan Madinah yang menjamin keadilan kepada kesemua tidak kira apa bangsa dan penganut agama. Demikian juga atas prinsip yang sama semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Khalifah ini memerangi orang-orang Islam yang tidak setia kepada prinsip Negara melalui peperangan Ar-Riddah.
Daripada fakta-fakta diatas dapat disimpulkan pendekatan dan dasar pemerintahan Islam ialah bersifat terbuka, inklusif dan ke arah keadilan dan kebenaran kepada kesemua anggota masyarakat tidak kira bangsa dan penganut agama.
Atas dasar dan prinsip inilah juga kita lihat dalam sejarah apabila Salahuddin Al-Ayubi dapat mengambil Baitul Muqaddis daripada kuasa Kristian beliau mengajak porang-orang Krisitian dan Yahudi supaya datang semula ke situ hidup bersama dan bebas menyelenggarakan upacara-upacara agama masing-masing.
Kalau kita rujuk pula kepada sebuah naskhah kecil yang berjudul “The Meaning of Life in the Andalus” keluaran Fundacion Roger Garaudy (sila lihat naskhah kecil ini sebagaimana yang dilampirkan), kita dapati juga wujud sifat keterbukaan yang sama dikalangan ulama-ulama Islam seperti Ibn Rusyd dan Ibn Al Arabi. Menariknya pula sifat keterbukaan demikian juga terdapat kepada pendeta-pendeta Yahudi dan Kristian pada period itu iaitu Maimonides (Yahudi) dan Alfonso, the Wise (Kristian).
Memang kita semua sedar dan tahu bahawa negara Israel kini dikuasai oleh puak-puak Zionisme yang angkuh, sombong dan jahat. Bagi mereka bangsa mereka berada di kelas pertama manakala bangsa Arab ialah bangsa kelas kedua.
Walaupun puak–puak Zionis yang menguasai bumi Israel ini berjiwa apartheid, akan tetapi saya percaya masih ada dikalangan orang-orang Yahudi yang baik di Israel dan lebih lagi-lagi di luar negara Yahudi itu yang tetap mendokong semangat humanisme universal.
Konfrontasi
Kumpulan ini menghadapi kesukaran untuk memimpin umat Yahudi apabila negara itu terus menghadapi tentangan dan konfrantasi daripada negara-negara luar, terutama negara-negara Islam itu sendiri. Justeru kerana itu puak apartheid dan hegemonisme Zionisme masih boleh menguasai bumi Israel dan umat Yahudi pada keseluruhannya.
Senario sedemikian juga boleh wujud dalam tiap-tiap bangsa dan penganut agama didunia ini tidak terkecuali juga dikalangan umat Islam itu sendiri. Hakikat ini dapat dilihat dalam masyarakat dunia Islam. Apabila wujud pencerobohan dan penaklukan kuasa besar maka bangkitlah kumpulan ekstrimisme, dogmatisme dan militan untuk berdepan dan melawan kuasa besar tadi secara kekerasan dan senjata.
Sesungguhnya sifat ekstrimisme, dogmatisme dan militan selalunya akan hidup dengan subur apabila sesuatu masyarakat itu mendapat tekanan dan tindasan daripada kuasa asing. Sifat fanatisme, dogmatisme, ekstrimisme dan militan ini memang disukai oleh kuasa-kuasa hegemoni dunia.
Kebangkitan kumpulan-kumpulan ini lebih senang untuk menjadi perangkap kepada konspirasi canggih kuasa-kuasa hegemoni dunia. Kejatuhan banyak negara-negara Islam kini termasuk negara-negara di benua Arab ke bawah zon kuasa Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah adalah ekoran daripada wujudnya fenomena-fenomena demikian.
Memandangkan kepada fakta-fakta demikian maka pendekatan masyarakat Islam terhadap Israel hendaklah direview semula. Oleh itu apa yang dinyatakan oleh Anwar dalam interview dengan Wall Street Journal harus dilihat melangkau kepentingan politik pilihan raya di negara ini.
Menjadi mangsa
Selagi worldview Islam tidak terbuka dan bersifat inklusif maka selagi itulah umat Islam dan masyarakat dunia akan menjadi mangsa kepada perancangan politik jahat kumpulan hegemoni yang menjadi teras kepada sejarah politik penjajahan dunia.
Memang sudah menjadi dasar penjajah atau pihak hegemoni untuk memecah-belahkan umat Islam dan puak-puak humanis dunia dalam agama-agama lain. Kejayaan kuasa-kuasa penjajah dalam mewujudkan penganut-penganut agama yang dogmatisme, ektrimisme dan militan dan saling benci-membenci di antara satu sama lain baik dalam konteks suatu penganut agama mahupun dalam konteks antara pelbagai penganut agama boleh membantu kearah memanjang usia kuasa politik dan ekonomi mereka di dunia ini.
Dalam konteks ini sikap ummah kini terhadap negara Israel secara tidak langsung membantu puak-puak Zionisme dengan dokongan dan sokongan kuasa hegemoni Amerika untuk terus menguasai bumi Palestin demi untuk melemahkan masyarakat Arab. Justeru kerana itu ummat Islam hendaklah kembali kepada pendekatan Al-Quran dalam menangani masalah karenah politik jahat hegemoni dan Zionisme dunia kini.
Pendekatan Al-Quran boleh mewujudkan kekuatan dan keterbukaan worldview umat Islam itu sendiri.
Melalui pendekatan demikian barulah kita dapat melihat pengajaran Al-Quran selaku kitab Illahi yang terakhir dapat berfungsi sebagai “to confirm and to superseed” kitab –kitab Illahi sebelum. (Keagungan pengajaran Al-Quran ini dapat dibuktikan kepada pendeta-pendeta agama-agama lain melalui jalan muzakarah antarabanga.
Sudah tentu keagungan pengajaran Al-Quran ini hanya boleh dibuktikan melalui metodoloji pentafsiran secara hikmah mengikut jalan ulama-ulama terutama ulama-ulama mutakhadimin yang otoritas) Dan dengan demikian barulah kita dapat meletakkan al-Quran di atas mercu persada dunia.
Dengan meletakkan Al-Quran di atas mercu demikian barulah Al-Quran boleh berfungsi sebagai “problem solving” kepada semua masalah yang wujud dalam dunia kini demi keadilan, kebenaran, kasih-sayang dan keharmonian sejagat./MalaysiaKini
Penulis adalah bekas pensyarah Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...