Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, Oktober 31, 2014

Laksanakan GST: Malangnya kita punya kerajaan pemalas

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak membuka mata dan telinga dalam mendengar keluhan rakyat dan kritikan dari pihak berpengalaman berhubung perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Terbaru katanya, desakan dari bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang menyeru Putrajaya menangguhkan pelaksanaan GST kerana bimbang dengan prospek ekonomi negara.

"Beliau seorang yang berpengalaman. Ia satu penegasan yang cukup tegas daripada bekas menteri kewangan.

"Kerajaan tidak boleh sekadar memekakkan telinga," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, desakan Tengku Razaleigh itu juga senada dengan kebimbangan yang dizahirkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa negara tidak akan mencapai status negara maju jika mengejar negara berpendapatan tinggi.

Mahfuz berkata, kerajaan sebenarnya gagal dalam mencari sumber pandapatan baharu selain minyak, yang tidak membebankan rakyat sehingga terpaksa mengenakan GST.

Menurut beliau lagi, dengan angka 7.9 juta rakyat Malaysia layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), ia juga memberi gambaran bahawa hasil limpahan pendapatan dari sumber minyak negara, gagal untuk melonjakkan pendapatan rakyat.

Apa yang berlaku ujarnya, rakyat dimangsakan oleh kerajaan BN yang lemah dalam pengurusan kewangan negara, termasuk ketirisan wang berbilion ringgit.

Dakwah Di Parlimen : Kerajaan Pusat jangan jadi seperti penjajah



SAYA mengucapkan terima kasih kerana keizinan yang diberi kepada saya untuk membahaskan rang undang-undang Perbelanjaan 2015 yang melibatkan Bajet 2015 ini dengan mengambil perkara yang paling asas apabila kita membincangkan soal harta di dalam Islam dua perkara asas yang diberi perhatian. “Dari mana perolehan itu dan ke mana dibelanjakan”.  Asas yang penting ini ialah supaya kita melihat kepada apa yang disebut daripada kutipan hasil kerajaan selain dari Wilayah Persekutuan.

Kerajaan mengambil hasil dari cukai langsung, cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai yang kita melihat datang daripada negeri-negeri sama ada dari sumber alam, petroleum, gas, kelapa sawit, bijih besi, bijih timah melalui duti-duti eksport dan cukai-cukai yang dibayar ataupun daripada hasil cukai pendapatan dan lain-lain yang dibayar oleh rakyat. 

Lalu kita melihat pada masa perbelanjaan itu sebahagian dari negeri-negeri yang mengeluarkan sumber-sumber alam seperti Terengganu dengan sumber petroleum dan gas, bagaimana keadaan kedudukan negeri setelah pulangan hasil yang dikutip oleh Kerajaan Pusat kembali kepada pembangunan negeri tersebut.
 

Khamis, Oktober 30, 2014

Politik : Tidak perlu Pasma, tiada sebab Pasma ini wujud.

Hanafiah

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat mendakwa hampir seluruh rakyat Terengganu terutama penyokong Pas menolak Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Menurutnya, kesemua mereka faham hanya Pas yang bersama-sama PR dan tidak perlu bergantung pada mana-mana saluran selain parti itu dalam menjayakan matlamat mengukuhkan PR di negara ini.

Beliau berkata, pendirian parti dalam Muktamar Tahunan Pas cukup jelas apabila Pas sebulat suara memutuskan bahawa parti itu tetap bersama PR dan tidak akan menjalin sebarang gabungan dengan Umno dan BN.

“Jadi, tiada sebab Pasma ini wujud. Kita anggap Pasma ini macam antah beras. Langsung tidak memberi ancaman kepada Pas, hanya kedengaran suara-suara sumbang sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Isu Semasa : Kerajaan Pusat Tidak adil kepada Kerajaan Negeri.


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat sepatutnya bersikap federalisme dalam berbelanja agar negeri-negeri yang mengeluarkan sumber alam tidak menjadi negeri termiskin, tegas Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Katanya, walaupun sesetengah negeri yang mengeluarkan sumber alam seperti Terengganu menghasilkan petroleum masih dikategorikan negeri yang miskin.

"Bagaimana kedudukan negeri setelah hasil yang dikutip kerajaan pusat tidak dikembalikan kepada negeri itu. Inilah yang sering kita dengar rintihan rakyat Sabah dan Sarawak. Rintihan ini sering disebut pada tiap kali ucapan," ujarnya ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat petang ini.

Beliau berkata, kawasan Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi yang dahulunya menghasilkan sumber utama bijih besi tetapi apabila kehabisan hasil akhirnya tidak ada pembangunan yang dibuat.

Rabu, Oktober 29, 2014

Idea MP : Cadangan Baik Untuk Kerajaan Malaysia.



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary mencadangkan kerajaan membina Taman Tema al-Quran yang pertama di dunia.

Katanya, peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pusat percetakan ditukar kepada cadangan membina Taman Tema Al Quran.

"Di Malaysia kita sudah ada Legoland, Taman Tema Air seperti di Sunway dan Tambun.

"Sudah sampai masanya kita membawa seluruh penduduk dunia datang ke Malaysia mempelajari al-Quran dalam bentuk Taman Tema al-Quran Malaysia," katanya ketika membahaskan Bajet 2015.

Cadangnya, Taman Tema al-Quran ini dibahagikan kepada 114 bahagian sebagaimana jumlah surah Al Quran dan ianya akan menjadi tempat perlancongan dan pembelajaran Al quran terbesar dan satu-satunya dalam dunia.

Isu Semasa : Rakyat Kurang senang dengan Kerajaan Sekarang.

Gambar hiasan 



KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan menetapkan kategori subsidi berbeza bagi golongan berpendapatan di bawah RM5,000 sehingga RM10,000 ke atas menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat, sekali gus mengkritik langkah yang bakal menjejaskan kehidupan mereka.
 
Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (Emas), Mohamad Azhar Hashim berkata, keputusan kerajaan ini tidak memperlihatkan keadilan kepada golongan berpendapatan RM10,000 ke atas kerana seperti kelompok lain, mereka juga terkesan dengan peningkatan kos sara hidup akhir-akhir ini.
 
"Tiada jaminan untuk hidup selesa jika pendapatan mereka RM10,000... dengan kehidupan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Baharu tidak cukup, lainlah kalau mereka tinggal di kampung-kampung tambahan pula harga rumah semakin meningkat.
 
"Bagi anak-anak dan belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah semestinya tidak memperoleh jumlah pinjaman penuh daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana ibu bapa mereka berpendapatan RM10,000 ke atas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Selasa, Oktober 28, 2014

Penyelewengan Fakta Hadis di TV alHijrah - Bekas Mufti



Semalam semasa saya mengunjungi ibu saya, saya tertonton rancangan di TV Hijrah diberi nama 'Persepsi: Melayu Keliru'. 

Dari satu sudut saya rasa jika seorang non-muslim menonton rancangan tersebut dia mungkin akan sangka islam itu melayu dan melayu itu Islam.
Namun saya lebih tersentak apabila pengacara membaca sebuah hadis yang tidak sahih bahkan ulama hadis menghukumnya sebagai palsu tapi pengacara itu menyatakan hadis itu riwayat al-Bukhari dan Muslim. Satu penipuan fakta terhadap kedua kitab sahih berkenaan.

Beliau membaca dalam bahasa melayu -lebih kurang- sabda Nabi s.a.w (kononnya) : "wahai anakku Fatimah! Adapun wanita yang digantung rambutnya dalam neraka kerana dia tidak menutup rambutnya dari lelaki"



PANAS!! : MP BN Sarawak kritik kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan sejauh mana peruntukan pembangunan yang disalurkan ke Sarawak memberi kesan kepada menaik taraf hidup rakyat di negeri itu.


Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ramai dalam kalangan ahli parlimen BN di Sarawak sering mengkritik kerajaan kerana menganaktirikan pembangunan di negeri mereka.

"MP BN sering meminta peruntukan daripada kerajaan kerana tidak cukup pembangunan.

"Taraf hidup rakyat yang masih jauh ketinggalan walaupun dikatakan mendapat peruntukan besar daripada kerajaan," katanya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.

Parti Islam (PAS) pertahan kerjasama dalam PR, tentang kezaliman



KUALA LUMPUR: PAS dan Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan kerjasama mereka untuk berjuang menentang kezaliman di dalam negara ini.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, kezaliman yang berlaku termasuklah ketidakadilan undang-undang dan kehakimam begitu juga kezaliman Akta Hasutan 1948.

"Kita Pakatan Rakyat dan NGO akan bersama-sama menentang Akta Hasutan yang disalahgunakan dan rata-rata dikenakan kepada mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan,"katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tetinggi Pakatan Rakyat.

Malah beliau yang juga Pengerusi Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat juga akan terus memberi tekanan kepada kerajaan agar memansuhkan akta tersebut.

"Seperti kita tekan kerajaan untuk mansuhkan ISA akhirnya diganti dengan Sosma begitu juga Akta Polis ditukar jadi Akta Himpunan Aman. Kita akan lawan sampai Akta Hasutan dimansuhkan,"katanya.

Isnin, Oktober 27, 2014

Media sekular beri gambaran buruk kepada hukum syariat Islam


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kesal kerana ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang menolak undang-undang syariat.

Memetik laporan Buletin Online, beliau juga melahirkan kekesalan kerana media barat dan media ‘sekular’ tempatan memberikan gambaran buruk tentang undang-undang hudud dan qisas.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penghayatan Hududullah di sebuah hotel di Kuala Terengganu pagi tadi.

Ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Serantau Negeri Kelantan, Datuk Ustaz Nasuruddin Daud.

Kenyataan Rasmi : Kerajaan Kelantan laksana hudud tahun depan

Ahmad Yaakob

 KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengumumkan Kelantan akan laksanakan undang-undang hudud tahun depan.

Pengumuman rasmi itu menunjukkan ketegasan Kerajaan Kelantan dalam pelaksanaan perundangan syariah di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan beberapa langkah dan persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud termasuk berkaitan usaha membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat nanti.

“Dua minggu lepas, kita baru sahaja mengadakan muzakarah penyediaan kaedah hukuman Kanun Jenayah Syar’iyyah yang turut dihadiri mufti seluruh negara, pakar perundangan dan pakar perubatan.

Jumaat, Oktober 24, 2014

Kenapa layanan tidak sama antara saya dan Azmin? - Chegubard


Kenapa layanan tidak sama antara saya dan Azmin? - Chegubard

 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard hari ini mempertikai 'keistimewaan' yang diterima Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di dalam parti itu sendiri.

Dengan mengambil situasinya yang digantung keahliannya kerana mendedahkan penyelewengan pemilihan parti yang berkait dengan Azmin, Menteri Besar Selangor itu dilihat lebih disayangi di dalam situasi yang disifatkan sama dengannya.

"Saya jawab tuduhan dengan menggunakan media dan digantung. Apabila anggota bawahan menggunakan media dianggap salah.
"Tetapi apabila Azmin menggunakan media dan menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ... tiada sebarang tindakan dibuat.
"Kalau hendak ambil tindakan ke atas saya, sila ambil tindakan kepada Azmin dahulu,"
katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Panas!! : Egen Dajjal Sedang Berusaha Merosakan Minda Umat Islam Malaysia.

 Azhar Idrus

KUALA TERENGGANU - Penyebaran video lucah di media sosial yang kononnya ada kaitan dengan pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI), hanyalah usaha jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama di negara ini.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya pelaku dalam video lucah yang sudah tersebar luas itu adalah UAI, pembantunya, Zulkifli Wahab berkata, ia adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama selain cuba menggagalkan usaha penyebaran dakwah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Bukan... jangan percaya... itu adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bukan saja UAI, tetapi juga golongan ulama di negara ini.

Khamis, Oktober 23, 2014

Negeri Terengganu Yang Malang.... di khianati.

 Saiful Bahri

SHAH ALAM - Pas mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menuntut hak rakyat negeri itu mendapatkan kembali royalti petroleum.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Saiful Bahri Mamat mendakwa,  pelbagai bukti telah dikemukakan menunjukkan Terengganu telah dinafikan hak untuk mendapatkan bayaran royalti ini.

“Sebagai menteri besar, beliau sepatutnya agresif membuktikan beliau cakna dan mengambil berat untuk memperjuangkan nasib Terengganu.

“Pas Terengganu bersedia bersama-sama di dalam hal ini demi memperjuangkan hak rakyat Terengganu kerana bagi kami, Kerajaan Persekutuan telah merampas hak royalti petroleum daripada dibayar oleh Petronas kepada kerajaan negeri.


“Lawyers for Liberty (LFL) tidak perlu mencampuri urusan umat Islam

Angkatan Belia Islam Malaysia

SHAH ALAM – Kerajaan Kelantan mempunyai hak untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana lelaki Islam di negeri itu yang didapati sengaja meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amdi Abdul Manan berkata, Perlembagaan Malaysia jelas memperlihatkan agama Islam adalah agama rasmi negara dan ianya tidak bercanggah dengan bidang kuasa negeri.

“Lawyers for Liberty (LFL) tidak perlu mencampuri urusan umat Islam, Kelantan ada hak dari sudut perlembagaan…Malaysia pun mengiktiraf bidang kuasa mahkamah syariah, biar orang Islam yang urus agama mereka,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pertikai ibadat orang Islam]

Amdi berkata, demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang melaporkan badan bukan kerajaan (LFL) menyifatkan tindakan kerajaan Kelantan untuk mengenakan tindakan terhadap orang Islam yang gagal hadir tiga kali solat Jumaat berturut-turut, akan memberikan kesan serius.

Menurut LFL tindakan kerajaan Pas Kelantan itu adalah bertentangan dan melanggar Perlembagaan negara iaitu Perkara 5 berkaitan kebebasan individu, Perkara 8 berhubung undang-undang sama rata, Perkara 9 berkaitan kebebasan bergerak dan Perkara 11 berkaitan kebebasan beragama.


sh

Rabu, Oktober 22, 2014

Membangun Bersama Islam: Islam mentadbir, bukan ditadbir - MB Kelantan


Firman Allah yang bermaksud: Berkata Nabi Sulaiman, "Wahai Tuhanku! ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak ada taranya, Sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa melimpah kurnia. Lalu Kami permudahkan permohonannya dan Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang dikehendaki. (Surah Shod: 35-36 )

Saya memulakan perutusan ini dengan memetik dua ayat Al-Quran yang menceritakan tentang Nabi Allah Sulaiman a.s. yang sentiasa memohon maghfirah keampunan daripada Allah SWT ketika mana memegang tampok pemerintahan.

Dasar yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ialah ‘dasar sifar dosa’ dengan meninggikan syiar ‘Islam’ iaitu patuh menyerah diri kepada Allah SWT, ini kerana hanya dengan dasar ini sahaja akan membuahkan keberkatan serta kemakmuran kepada sesebuah pentadbiran. Dengan itulah, Allah telah mengurniakan kepadanya pemerintahan yang makmur serta dikagumi kekuasaannya oleh pemerintah lain ketika itu.

Dipertimbangkan : Cadangan Fiqh Jihad dimasukkan dalam sistem pendidikan negara - Mufti Kuala Lumpur


Mutfti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Albakri

SHAH ALAM - Kefahaman mengenai 'fiqh jihad' itu mestilah jelas sebelum ia boleh dijadikan sebagai subjek pembelajaran di peringkat sekolah bagi mengelakkan pelajar Malaysia terlibat dengan gerakan kumpulan militan yang berselindung di sebalik kalimah jihad dan Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Albakri berkata, cadangan itu juga dalam usaha memberi kefahaman tentang tuntutan jihad yang sebenar dalam Islam tidak akan memburukkan keadaan yang kini menjadi ancaman negara.

"Tidak semestinya macam itu, pertama sekali kefahaman tentang maksud jihad mesti jelas.

"Bila ia (maksud jihad) disalah tafsir, kita juga terikut-ikut tersalah tafsir, kena cari pihak berkuasa yang faham.

Selasa, Oktober 21, 2014

Aliran dan Bersifat liberal dalam Islam adalah Golongan Sesat - TG Nik Aziz


KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang menganjurkan program 'I Want To Touch A Dog' sebagai ada “ulat dalam kepala”.

Mursyidul Am PAS itu berkata, sekarang timbul banyak aliran yang bersifat liberal dalam Islam dengan menimbulkan idea-idea pelik dan boleh dianggap sebagai sesat.

“Menganjurkan program khusus bagi menjamah anjing hanya dilakukan mereka yang seumpama ada ulat dalam kepala. Ia bertentangan dengan mazhab Shafei,” katanya pada program sambutan ulangtahun ke-24 pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) di Kelantan Trade Centre hari ini. (Foto atas daripada fb Tok Guru)

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Sempena ulang tahun tersebut turut diadakan jamuan rakyat di Dataran Stadium tengah hari ini. Tok Guru Nik Abdul Aziz juga melancar buku "Khalifah Kita Pilihan Allah" tulisan Menteri Besar.

Berita Panas : Kerana GST kerajaan Perkerja Bertumbuk..

Lauk yang diambil sama namun berbeza harga. Gambar kecil, resit makanan yang memaparkan cukai enam peratus.

MASIH berbaki enam bulan untuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Ini bermakna semua syarikat yang layak mengenakan GST sudah membuat persiapan.

Namun dalam tempoh ini, ada juga peniaga-peniaga kecil dan beberapa syarikat sudah mengenakan caj GST ini. Adakah ini sebagai pra permulaan atau sekadar mengambil kesempatan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, perkara ini sudah berlaku di beberapa tempat, namun bukan daripada syarikat besar sebaliknya kedai makan kecil dan tempat parkir kereta. Ikuti kupasan wartawan mengenai isu GST ini.

Isnin, Oktober 20, 2014

Tanda-Tanda Besar kehancuran kerajaan Umno.....


Pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah sangat mengecewakan dan tidak bertanggungjawab.

Menjelang 12 tengah malam, 1 Oktober 2014, kita semua dapat menyaksikan ribuan rakyat di seluruh negara beratur panjang di stesen pam minyak bagi memenuhkan tangki kenderaan.

Rakyat kebanyakan hanya dapat mengambil peluang membeli minyak dengan kadar yang lebih murah beberapa jam sebaik pengumuman kenaikan harga minyak dibuat.

Manakala menteri-menteri Umno, saya percaya tidak akan tergesa-gesa mencari stesen minyak bagi mengambil peluang harga sedia ada sebelum kenaikan.

Ini hanyalah salah satu daripada ribuan bukti tanda-tanda dekatnya kejatuhan kerajaan Umno/BN apabila pemimpin mereka semakin jauh dan terpisah daripada permasalahan rakyat.

Setiap rakyat yang beratur panjang di stesen pam minyak seluruh negara adalah bukti betapa ramai rakyat yang terhimpit ekonomi mereka walaupun disaat pemimpin Umno/BN berdegar-degar berbangga dengan dakwaan prestasi ekonomi negara yang baik.

Setiap rakyat yang beratur panjang ini, pasti membantah kenaikan harga minyak ini dan mempersoalkan dimanakah menteri atau wakil rakyat Umno/BN yang bersama membantah kenaikan ini.

Dan saya percaya bahawa kenaikan harga minyak ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada kerajaan Umno/BN seterusnya membawa kepada keputusan bersama bahawa negara ini tidak lagi layak ditadbir oleh Umno/BN.


AHMAD MARZUK SHAARY adalah MP Bachok dan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen & DUN Pemuda PAS.

Berita Petang : Ramai minta saya coretkan tentang anjing - Dr Asri


KUALA LUMPUR: "Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim," tulis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dalam tulisan menerusi facebook semalam, bekas Mufti Perlis itu menyatakan ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam dan ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam.

"Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi," tulisnya lagi di bawah tajuk 'Anjing dan isu masyarakat Malaysia' sebagaimana di bawah.

Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitive mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspective baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.

Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.

Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut :

Berita Pagi : Perjuangan bukan terhenti dengan demo, gas pemedih mata dan lokap semata-mata

KUALA LUMPUR: "Perjuangan kita berteraskan Islam. Justeru itu, asasnya berkait wahyu Allah Jalla Jalaaluh dan sunnah An-Nabawiyyah," kata Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

MenUrutnya, ia bukan sebuah pertarungan melampias 1001 kemahuan, sebaliknya satu tindakan penuh disiplin atas manhaj dan prinsip jihad untuk meninggikan kalimah Allah swt.

"Kita wajib berjuang dengan segala upaya yang kita miliki. Menjadi satu larangan Allah kepada mereka yang berpeluk tubuh dan enggan berjuang," tulis beliau menerusi facebook.

Justeru, tambah beliau ambillah apa jua posisi selaras kemampuan dan kekuatan yang dipersiap tanpa menafikan peranan mereka yang berjuang dalam batas upaya mereka.

"Salah, jika kita menganggap hanya kita yang berjuang sebagaimana salahnya kita apabila kita rasa bahawa kita sahaja yang hebat dan betul," ujarnya lagi.

Namun, jelasnya nilai perjuangan bukan terhenti dengan demo, gas pemedih mata dan lokap semata-mata, sebaliknya nilai sebuah perjuangan itu berasaskan kebenaran yang diperjuang serta keikhlasan dalam memperjuangkannya.

hd
 

Ahad, Oktober 19, 2014

Utusan dilapor mencatatkan penurunan pembaca.. kah kah kah kah kah...

 

  Mingguan Malaysia, melalui tulisan pojok “Awang Selamat” mempertikaikan kajian populariti media syarikat penyelidik The Nielsen Company (Malaysia) Sdn Bhd dengan menyifatkannya terdedah kepada keraguan, menipulasi dan bias.

Akbar Umno itu berkata, kajian pembaca syarikat itu menggunakan kayu ukur ketinggalan zaman dan tidak reflektif kepada pasaran sebenar penonton dan pembaca.

“Contoh paling mudah, ada akhbar yang jauh lebih tinggi edarannya tetapi menurut Nielsen, jauh lebih rendah dari segi jumlah pembacanya.

“Tidak munasabah tetapi sampai ke hari ini, Nielsen gagal menjawab penggunaan kaedahnya yang samar dan tidak tepat,” tulis Awang Selamat lagi.

Justeru, katanya beliau faham kenapa terdapat media menarik diri daripada khidmat Nielsen dan ada membidas dan mahu menyamannya pada 2011.

Mingguan, versi Ahad Utusan Malaysia, juga melaporkan, reputasi Nielsen sudah menjadi bahan jenaka dalam industri media seperti program jenaka terkenal Maharaja Lawak.

MyMetro pada 18 September lalu melaporkan, Harian Metro kekal akhbar pilihan apabila mencatatkan peningkatan bilangan pembaca 365,000 (11 peratus) kepada 3.81 juta dalam tempoh kajian Julai 2013 hingga Jun 2014 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Utusan pula dilapor mencatatkan penurunan kepada 563,000 pembaca berbanding 636,000 sebelum itu, manakala Kosmo dan Sinar Harian mencatatkan peningkatan kepada 875,000 dan 837,000 orang pembaca. 


mk

Minyak RON97 sepatutnya RM2.20 [ Kerajaan Umno Tipu Rakyat ]

KUALA LUMPUR: Minyak RON97 diketahui umum diapungkan harganya mengikut pasaran minyak dunia.

"Inilah yang sering ditegaskan oleh pemimpin Umno Barisan Nasional (BN)," kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Antaranya, kata beliau boleh dirujuk kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 5 Januari 2011 sewaktu mengulas kenaikan harga minyak RON97 pada masa itu.

Untuk rekod, ujarnya ketika minyak RON97 dinaikkan harga 10 sen pada 5 Januari 2011 kepada harga RM2.40 seliter, harga minyak di pasaran dunia pada masa itu ialah USD90.3 perbarrel.

Pada 4 September 2013, harga minyak RON97 dinaikkan 15 sen kepada harga RM2.85 seliter, harga minyak dunia pada masa itu ialah US114.85 perbarrel.

Sabtu, Oktober 18, 2014

Inilah Mentaliti Golongan Umno....

 KUALA LUMPUR: Pembangkang sengaja mencanangkan cerita bahawa apabila minyak naik harga barang akan naik untuk menakut-nakutkan rakyat, kata Ahli Parlimen Bagan Serai (BN) Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau ketika membahaskan Bajet 2015 berkata, pembangkang terlalu emosional dalam isu kenaikan harga minyak dan mendakwa tidak faham akan usaha kerajaan dalam merasionalisasikan subsidi rakyat.

"Bukankah minyak sudah naik lima kali pernahkah berlaku keadaan inflasi yang sukar dikawal?

"Jawapan barang naik kerana minyak naik, ini tidak betul! Saya tidak bersetuju. Saya fikir ini bukan jawapannya.

"Kita ada minyak. Kenapa minyak naik? Minyak kita minyak baik. Kita jual untuk kebaikan rakyat,"katanya.


'Pemimpin Yang baik tidak akan kempen perkara merosakkan' - Bekas Mufti Perlis

 

Pemimpin yang baik tanpa mengira latar belakang agamanya akan menjauhi kempen ke arah perkara yang merosakkan dan merbahaya kepada rakyatnya, kata bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Menulis dalan laman sosial Facebooknya, tokoh akademik itu mengambil contoh arak dan rokok sebagai dua perkara merosakkan tersebut.

"Pemimpin yang baik tidak akan berkempen kepada kerosakan. Sekalipun jika dia merokok, dia tidak akan kempen kepada rokok, sebaliknya kejujuran akan mendesaknya memberitahu atau mengakui bahaya rokok kepada rakyatnya.

"Inilah sikap pemimpin yang jujur tanpa mengira latar agama dan budaya. Arak adalah sesuatu yang merosakkan. Ia diakui oleh semua pihak," kata Dr Mohd Asri.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Dr Mohd Asri kedengaran berang dengan "pemimpin politik negara yang berkempen kepada arak".

"Kerajaan UK terpaksa berbelanja jutaan pound saban waktu untuk menangani kesan arak terhadap rakyatnya terutama pada malam-malam cuti.

"Bagaimana mungkin ada pemimpin politik dalam negara ini berkempen kepada pesta arak? Atas budaya dan logik kebaikan untuk rakyat?" tulis Dr Mohd Asri.



Jumaat, Oktober 17, 2014

Berita Malam : Dakwah, Respons Dewan Ulamak terhadap MP Kuching

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) meneliti dengan tekun ucapan Ahli Parlimen (MP) Kuching yang membahaskan Bajet 2015 di Parlimen baru-baru ini yang tersebar luas di media sosial. (http://youtu.be/yW8wJZolbgg)

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata DUPP berkongsi pandangan dengan beliau dalam melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang menganaktirikan Sarawak dari sudut peruntukan pembangunan meskipun hasil minyak disedut daripada bumi Sarawak.

"Kesannya kemiskinan rakyat Sarawak masih ketara walaupun selepas 51 tahun penubuhan Malaysia dan lahir gerakan-gerakan menuntut pemisahan Sarawak daripada Persekutuan yang tidak wajar disokong oleh mana-mana pihak," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Berita Tengahari : Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan semakin menjadi kenyataan. Allahu Akbar!!!

Datuk Ahmad Yakob
 TUMPAT - Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan semakin menjadi kenyataan apabila prosses perbincangan melalui jawatankuasa teknikal khas antara Kerajaan Pusat dan negeri berjalan lancar.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, proses perbincangan itu berada pada fasa terakhir apabila dua mesyuarat lagi berbaki  di peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebelum rang undang-undang Islam itu dibentangkan.

“Kita kini dalam persiapan daripada satu tahap ke satu tahap.

“Ada dua lagi mesyuarat secara rasmi di peringkat Maik sebelum ia (rang undang-undang) dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bank Islam cawangan Wakaf Bharu di sini, semalam.


Berita Pagi : Presiden NGO Pasma di cabar keluar dari PAS dan tubuh Parti Baru..

Satiful Bahri Mamat

KUALA TERENGGANU – Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dicabar membentuk parti sendiri dan keluar dari Pas bagi membuktikan kepada rakyat, sejauh mana beliau dapat membawa pengaruh melalui penubuhan parti itu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Saiful Bahri Mamat berkata, tindakan itu lebih baik daripada mengkritik pimpinan Pas, apatah lagi mengambil sikap berselindung di sebalik Pasma, kononnya beliau sebagai ahli Pas cuba membawa aliran baru terhadap pemikiran ahli dan penyokong parti itu.

Seolah-olah tidak senang dengan Phahrolrazi, Saiful yang juga Adun Paka turut meminta pemimpin terbabit tidak menjadi seperti dedalu, yang sifatnya menumpang pada pokok lain tetapi merosakkan pokok yang ditumpangnya.

“Kita cabar dia keluar Pas, buat parti baru supaya orang boleh tengok kredibiliti dia. Jangan tumpang atas nama Pas tetapi merosakkan imej pimpinan dan mengkritik Majlis Syura Ulama.
“Kewujudan Pasma menyeleweng daripada NGO yang membantu Pas kerana boleh memecahbelahkan Pas,” katanya.

      

Khamis, Oktober 16, 2014

"Apa boleh buat jika itu pilihan Tamrin," - TG Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul AM PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, adalah terserah kepada mana-mana pihak jika mahu memilih keluar dari parti itu dan parti tidak boleh menghalang.

Bagaimanapun katanya, jika ahli itu merasa tidak puas hati kerana terdapat perkara yang dianggap tidak betul, seharusnya mereka membaiki PAS dari dalam dan bukannya dengan keluar parti.

"Apa boleh buat jika itu pilihan Tamrin," kata ketika ditemui di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), di sini hari ini.

Mantan Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan sepatutnya ia dijadikan medan bagi umat Islam untuk berkhidmat kepada agamanya.

“Saya sendiri kenal dia (Tamrin) sewaktu dia membawa ayahnya (Allahyarham Tun Gafar Baba) datang berjumpa dengan saya dua kali sewaktu arwah masih hidup.

“Tun ketika itu telah berkerusi roda dan ditolak Tamrin. Datangnya hanya semata-mata datang dan tidak bercakap kerana mungkin beliau tidak mampu lagi untuk bercakap,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Tamrin yang menghantar surat keluar dari PAS semalam.

hd

Berita Petang : 'Tinggal 3 kali solat Jumaat boleh dipenjara'



Exco Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata lelaki Islam yang berakal baligh yang dikesan meninggal solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut di negeri itu boleh dihukum penjara sehingga setahun.

Katanya, mereka yang tiada alasan munasabah meninggal solat itu boleh didakwa mengikut Seksyen 104 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun, lapor Berita Harian hari ini.

"Hari Jumaat adalah hari yang mulia, tiada sebab golongan lelaki meninggalkan solat Jumaat yang hanya diadakan sekali seminggu.

"Setakat ini hanya seorang lelaki didakwa berhubung kesalahan itu," kata exco pembangunan Islam, dakwah dan hubungan seranta Kelantan itu seperti dilapor akhbar tersebut.

Beliau menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) dalam sidang DUN Kelantan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap remaja yang lalai menunaikan solat fardu dan Jumaat.



Berita Pagi : Allahu Akbar!! Kelantan tetap laksana hudud pada Tahun 2015


 Mohd Nassuruddin Daud


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tetap melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah II (Hudud) di negeri itu walaupun tidak dipersetujui oleh masyarakat bukan Islam.
  
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pelaksanaan undang-undang berkenaan hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam di negeri itu.
  
"Orang bukan Islam tidak boleh menentang hukum hudud ini kerana ia langsung tidak membabitkan mereka (bukan Islam)," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Bajet 2015 kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.
  
Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya optimis undang-undang berkenaan dilaksanakan pada tahun hadapan.
  
"Kita dah tubuh jawatankuasa dan mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, insya-Allah kita doakan pada tahun 2015 hudud dapat direalisasikan.

Rabu, Oktober 15, 2014

Berita Petang : Anak TGNA Nik Abdul kecam rakan PR hadir Oktoberfest


Nik Abduh Nik Abdul Aziz


 SHAH ALAM - Tindakan beberapa pemimpin PKR dan DAP yang didakwa turut serta dalam pesta arak, Oktoberfest baru-baru ini mengundang kecaman Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh menerusi laman sosial Facebook miliknya malam tadi memuatnaik status 'memuji' tindak-tanduk pemimpin rakan sekutunya dalam PR yang secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap pesta berkenaan.

"Terasa 'hebat' tengok pemimpin DAP dan PKR dok teguk arak dalam majlis Oktoberfest. Memang betul-betul DAP dan PKR la..

"Tak mahal rupanya otak dan akal untuk tadbir negara," tulis beliau yang sebelum ini mengundang kontroversi menyatakan Pas dibuli dalam pakatan pembangkang.


      

Berita Pagi : RM379 juta royalti Kelantan dicuri oleh kerajaan pusat

KOTA BHARU: Pendapatan operasi petroleum di kawasan Joint Deveploment Area (JDA) sempadan Kelantan-Thailand sebanyak RM517.9 juta pada 2013.

Dan pada 2014 pula pendapatan meningkat kepada RM691.9 juta dan anggaran bagi 2015 sebanyak RM758.2 juta.

Manakala pendapatan keuntungan petroleum bukan royalti dinikmati Malaysia-Thailand berjumlah RM1.45 bilion.

Adun Salor, Datuk Husam Musa berkata, jumlah hasil petroleum tersebut terdapat dalam buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2015.

Katanya, sekiranya royalti dari kawasan JDA sahaja digunakan sebagai asas sepatutnya Kelantan dibayar royalti berjumlah RM379 juta daripada separuh jumlah diterima kerajaan pusat berdasarkan perjanjian 5 peratus.

“Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menganaktirikan rakyat dan negeri Kelantan, sebaliknya menafikan hak rakyat di negeri ini mendapat royalti,” katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2015 pada persidangan Dun hari ini.

Selasa, Oktober 14, 2014

Pertempuran tercetus di al-Aqsa [ Berita Dunia ]

Rejim Zionis mengasari seorang wanita yang cuba memasuki al-Aqsa, semalam. Foto: AFP

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Satu pertempuran tercetus antara penduduk Palestin dan polis zionis Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa, menurut pihak berkuasa, semalam.

Insiden terbaharu itu dipercayai berlaku selepas sekumpulan pemuda Palestin membantah rancangan rejim Zionis yang membenarkan penganut Yahudi Ortodoks memasuki al-Aqsa untuk melakukan upacara keagamaan mereka.

Mereka berpendapat tindakan biadab itu sebagai cubaan mencemari kesucian masjid tersebut yang pernah menjadi kiblat pertama orang Islam.

Saksi mendakwa pihak berkuasa Israel turut menggunakan bom tangan pegun dan peluru getah serta melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan protes terbabit.

Difahamkan, orang bukan Islam dibenarkan untuk melawat al-Aqsa, namun penganut Yahudi tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang upacara keagamaan kerana dikhuatiri akan mencetuskan konflik lebih besar di Baitulmaqdis Timur.

Menurut Press TV, Tel Aviv mengumumkan rancangan baharu mereka untuk merampas tanah milik penduduk Palestin di kampung al-Khader di Baitulaham, Tebing Barat.

Susulan daripada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon bertindak mengecam keputusan itu yang disifatkan sebagai provokasi untuk membangkitkan kemarahan penduduk Palestin.

sh