Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan

Selasa, April 03, 2018

Gabungan parti berbeza letak PH Kota Bharu dahului lawan, kata Husam

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa merasmikan pementapan jentera PH parlirmen Kota Bharu.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Jentera kempen Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kota Bharu berada di hadapan pihak lawan apabila berjaya menggabungkan empat parti yang berlainan latar belakang.
Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa bersyukur kerana proses menyatupadukan jentera kesemua parti dalam PH di Kelantan telah selesai dengan cemerlang, “Di Kota Bharu kita telah selesaikan masalah parti-parti yang bakal bertanding.
“Dun Kota Lama kita peruntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun semua parti lain juga memohon untuk bertanding di situ.
“Dengan semangat tolak ansur dan setia kawan kita perlu bekerja keras untuk pastikan semua calon kita akan menang,” katanya di majlis pemantapan jentera PH Parlimen Kota Bharu di Bilik Operasi Pilihan Raya (BOP) Bunut Payong malam tadi.
AMANAH dan Bersatu katanya, akan mewakili pengundi Melayu yang berlainan ragamnya seperti yang diwakili Pas dan Umno sebelum ini.
“PKR pula mewakili golongan tersendiri dalam masyarakat yang cintakan keadilan dan kebenaran tetapi kurang sempat bergiat sebagai aktivis masyarakat.
“DAP pula walaupun sebuah parti untuk semua jelas ada pengaruh besar dalam kalangan bukan Melayu,” katanya.
Peranan DAP di Kelantan katanya, tetap penting walaupun tiada kerusi yang ditandingi parti itu kali ini.
“Kita sedar percubaan pihak tertentu yang berusaha membuat persepsi kononnya parti lain dalam PH hanyalah kuda tunggangan DAP.
“Kita tegaskan dalam PH tiada siapa kuda tunggangan siapa.
“Kemenangan kita adalah kemenangan rakyat,” katanya.
Memasuki kempen pilihan raya kata beliau, tiada lagi perbezaan antara parti dalam PH.
“Kalau satu kerusi kalah semua kita kalah, kalau kita menang kemengan adalah milik bersama.
Peserta program pemantapan jentera PH Parlimen Kota Bharu.
“Semua kita mesti memahami konsep gabungan yang dulu dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sahaja.
“Sekarang PH berjaya wujudkan keadaan serupa di mana kita turun sebagai satu gabungan bukannya sebagai parti-parti berasingan,” katanya.
Pembahagian kerusi peringkat Dun di Kelantan katanya, telah selesai semuanya dan hanya menunggu pengumuman pimpinan tertinggi.
“Dengan itu pihak kita telah bersiap sepenuhnya untuk berhadapan pilihan raya bila-bila masa.
“Dengan jentera yang telah siap sedia ini, saya yakin dapat turun untuk mendapat keyakinan rakyat dengan cara yang paling berkesan,” katanya.
Lebih 300 pimpinan jentera peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) menjalani simulasi gerak kerja pilihan raya dan memperkemaskan arahan tugas di majlis itu.
mdl

Picture

Jumaat, Mac 16, 2018

Mahkamah terima injunksi peniaga halang Majlis Daerah Pasir Puteh roboh pasar

Mahkamah terima injunksi peniaga halang Majlis Daerah Pasir Puteh roboh pasar
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Mahkamah tinggi Kota Bharu petang tadi memutuskan menerima injunksi peniaga pasar menghalang Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) merobohkan pasar lama tempat mereka menjalankan perniagaan.
Pesuruhjaya kehakiman Datuk Ahmad Bache ketika membacakan  penghakimannya berkata, pihak MDPP perlu menunggu keputusan rayuan plaintif di mahkamah rayuan Putrajaya yang dijadualkan didengar 22 Mac ini.
“Mahkamah ini telah membuat keputusan tetapi pihak plaintif membuat  rayuan di mahkamah lebih tinggi. Masa pun tinggal tujuh hari lagi bukannya tujuh tahun,”  katanya.
Peniaga terlibat diwakili Shaharuddin, Hidayu & Marwaliz manakala MDPP diwakili Aini Hayati & Associates.
Mendengar penjelasan peguam berhubung keputusan mahkamah.
Ketika mengemukakan hujah, peguam plaintif berkata majoriti peniaga masih kekal di pasar lama.
“Tentu ada sebab yang kuat mengapa mereka tidak mahu berpindah. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal maknikam,” katanya
Peguam defendan bagaimanapun mahu mahkamah tidak melayan injunksi pihak peniaga yang dianggap sia-sia dan hanya membuang masa.
“Kes ini jelas tidak memihak kepada peniaga. Tanah dan bangunan milik pihak MDPP dan bukannya milik mereka.
“Kalau bukan hari ini, bila tiba masanya mereka tetap mesti keluar dari situ. Melayan rayuan seperti ini hanya membuang masa dan merugikan semua pihak,” kata Abdullah Hamzah yang mewakili defendan.
Sementara itu pengerusi persatuan peniaga, Kamar Zaman Che Ngah yang ditemui selepas keputusan itu melahirkan rasa syukur atas kejayaan pihaknya.
“Insya Allah kita akan terus diberi pertolongan kerana berpihak kepada kebenaran.
“Keputusan ini akan menambahkan lagi semangat kami untuk terus berjuang hingga para peniaga benar-benar diberi hak mereka,” katanya.
12 Mac lalu kekecohan berlaku di pasar lama itu apabila MDPP membawa tiga jentolak untuk merobohkan bangunan pasar ketika lebih 300 peniga masih berniaga di situ.
Para peniaga kemudian keluar membina kubu manusia untuk menghalang tindakan itu.
Kekecohan sehari suntuk itu berakhir jam lima petang apabila peguam pihak peniaga berjaya mendapat perintah mehkamah supaya operasi meroboh itu dihentikan.
mdl
Picture

Sabtu, Mac 10, 2018

Banyak pendedahan dibuat, kenapa lima saman, soal Encik Husam

Banyak pendedahan dibuat, kenapa lima saman, soal Encik Husam
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Demi kepentingan rakyat Kelantan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa mengalu-alukan kesemua lima saman yang bakal diterimanya ekoran dakwaannya terhadap kerajaan negeri Kelantan.
Beliau dalam kenyataan malam tadi mempersoalkan mengapa hanya lima saman akan dikemukakan di mahkamah oleh kerajaan negeri sedangkan banyak pendedahan dilakukannya sebelum ini.
“Kenyataan saya mengenai salah urus dan dasar-dasar yang merugikan rakyat Kelantan, seingat saya sudah berpuluh-puluh. Sedangkan cadangan saman ke atas saya seperti kenyataan Datuk Mohd Amar hanya lima.
“Adakah dengan ini Kerajaan Kelantan mengakui kenyataan saya yang lain adalah benar?,soalnya dalam kenyataan semalam.
Husam menjawab balas kenyataan dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah semalam, seperti dilaporkan Astroawani dan dipetik Malaysiakini bahawa terdapat lima saman daripada kerajaan negeri Kelantan dan anak syarikatnya yang akan dikemukakannya.
“Ini saya nak maklum, kalau ada orang AMANAH sini tolong maklumkan kepada encik Husam, kita ada lima saman menanti dia,” katanya yang juga menteri besar Kelantan dalam ceramah di Kota Bharu semalam, seperti dipetik Astro Awani.
Adun Salor ini juga berkata setiap dakwaannya berdasarkan dokumen rasmi kerajaan negeri sebahagian menurutnya dilindungi dan perbicaraan mahkamah akan membolehkan rakyat Kelantan mengetahui keadaan sebenar.
“Menerusi perbicaraan nanti memberi peluang semua yang berkaitan didedahkan.
“Termasuk membawa menteri besar,Timbalan Menteri Besar, Exco-Exco dan pihak yang terlibat untuk turut memberi keterangan di mahkamah.
“Saya akan sapina mereka, termasuk Datuk Mohd Amar di mana berkaitan.Saya harap Datuk Mohd Amar tidak melarikan diri,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun Husam berkata tindakan saman ke atasnya oleh kerajaan negeri bukan untuk membuktikan siapa yang benar dan salah.
Sebaliknya ia boleh digunakan hanya untuk menunjukkan kerajaan negeri berani mengambil tindakan undang-undang semata-mata.
Beliau juga meletakkan syarat ke atas kerajaan negeri Kelantan.
“Nasihat saya ialah, Datuk Mohd Amar hendaklah pastikan Pas terus mentadbir Kelantan selepas PRU akan datang.
“Jika Pas kalah, Kerajaan Kelantan yang baru mungkin tidak akan meneruskan saman itu.
“Dengan itu, peluang melihat MB dan TMB Kelantan yang ada naik mahkamah akan hilang.
“Saya juga bercadang menggunakan afidavit jawapan saya kepada saman-saman itu untuk diedarkan kepada orang ramai. Saya berharap Kerajaan Kelantan nanti jangan membantah.
“Ini perlu untuk pengetahuan rakyat Kelantan sebelum PRU, jika saman-saman itu difailkan sebelum itu,” ujarnya.
Dakwaan terbaru Husam berkenaan pemberian tender projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II bernilai RM27.1 juta kepada syarikat yang belum wujud, yang dinafikan AKSB yang berkata syarikat usaha sama penerima tender hanya “menukar nama”.
Pada 4 Julai lalu pula, Husam mendakwa kerajaan negeri memeterai perjanjian melibatkan 1 juta ekar tanah hutan simpan dengan syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan Bank Negara.
mdl

Picture

Isnin, Mac 05, 2018

Pas tutup KPK, PH akan buka semula, kata Husam

Pas tutup KPK, PH akan buka semula, kata Husam
Kilang papan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) di Jelawang, Dabong akan kembali beroperasi bila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pilihan rakyat mentadbir negeri Kelantan selepas pilihan raya nanti.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa (gambar atas kiri)  berkata kilang yang diasaskan oleh Tan Sri Mohamed Yacob itu perlu dihidupkan semula bagi memberi khidmat kepada rakyat kususnya golongan berpendapatan rendah.
“Sekarang tuan-tuan semua tahu, kilang papan milik KPK ini telah ditutup oleh kerajaan Pas.
“InsyaAllah bila PH dipilih nanti, kilang ini akan beroperasi semula,” katanya di majlis perasmian cawangan dan dialog rakyat di Jelawang, Dabong pada Sabtu.
Menurutnya pentadbiran KPK yang diketuai exco dan wakil rakyat Pas telah melakukan salah urus yang teruk hingga syarikat pembalakan itu akhirnya lumpuh sama sekali.
“Saya telah beberapa kali membangkitkan perkara ini di dalam persidangan dewan undangan negeri termasuk meminta kerajaan membenarkan laporan audit diumumkan,” katanya.
KPK menurut Husam sepatutnya digunakan untuk membuat penyelesaian bagi membantu golongan rakyat kurang mampu memiliki rumah.
“Walaupun kilang KPK ditutup, balak masih terus dikeluarkan.
“Ini bermakna sekarang balak berkenaan dijual kepada orang lain dan tiada lagi manfaat untuk rakyat yang bekerja di situ.
“Bila PH mentadbir, kita akan manfaaatkan kilang ini dengan cara menyediakan kayu gergaji untuk membuat rumah yang boleh dijual dengan harga rendah kepada golongan rakyat yang tidak memiliki rumah kediaman.
“Kita akan beri tanah, beri tapak rumah, kayu balak kita mesin di KPK, kita buat saiz rumah rakyat dan jual dengan harga diskaun,” katanya.
Penduduk Dabong yang hadir dalam majlis diadakan.
Beliau berkata Dabong memiliki sumber alam yang sangat bernilai tinggi untuk dimajukan dan dibangunkan.
“Di sini ada air terjun Stong yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.
“Sepatutnya direka bentuk laluan-laluan, denai-denai untuk pejalan kaki menikmati keindahan alam semulajadi di sepanjang air terjun ini.
“Telah ada banyak ekspedisi yang menemukan kekayaan pelbagai spesis dalam kawasan ini.
“Bunga reflesia, iaitu bunga terbesar di dunia ada di sini, burung enggang yang hanya dianggap wujud di Sarawak juga ada di sini.
“Taman negeri Nenggiri telah digazetkan sebagai taman negeri tetapi tidak dimajukan bagi membolehkan pelancong-pelancong memasukinya dengan selesa dan selamat.
“Saya yakin sekiranya kawasan ini dimajukan, ia mampu menarik lebih dari 2 juta pelancong ke sini setiap tahun,” katanya.
Menyentuh kejatuhan harga getah, beliau kesal kerana kerajaan negeri tidak mengambil apa-apa langkah untuk membantu rakyat.
“Gapo (Apakah) kerajaan Pas telah tolong Dabong dalam masa lima tahun ini,” soalnya.
Pekebun-pekebun katanya patut dibantu dengan cara menyediakan sumber pendapatan kedua selain bergantung kepada getah dan kelapa sawit.
“Sepatutnya kerajaan secara sistematik membantu pekebun memodenkan kaedah penanaman mereka.
“Pokok-pokok yang menghasilkan buah bernilai tinggi perlu diperkenalkan untuk diusahakan oleh rakyat.
“Kaedah pemasaran perlu diperkemaskan supaya hasil yang diperolehi oleh para pengusaha dapat ditingkatkan,” katanya.
Dalam majlis itu, Husam disambut meriah oleh penduduk Dabong. Sekitar 50 pemuda bermotosikal mengiringi beliau sebaik tiba di Dabong.Beliau kemudian menerima permohonan untuk menubuhkan 20 cawangan AMANAH di Dun Dabong.
Pengerusi Amanah Negeri Wan Rahim Wan Abdullah (tiga dari kiri) menerima 20 borang penubuhan cawangan baru di Dabong.
 mdl
Picture

Selasa, Januari 30, 2018

Tindakan Pas berhibur di WTG satu provokasi, kata peguam

Tindakan Pas berhibur di WTG satu provokasi, kata peguam
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Tindakan Pas mengadakan program hiburan di Wisma Tok Guru, Salor malam tadi dianggap sebagai melanggar atau tidak mematuhi perintah injunksi oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu 8 Januari lalu.
Salah seorang peguam yang mewakili Datuk Husam Musa dalam perbicaraan itu, Mohd Murtadza Mokhtar berkata tindakan itu boleh dikira satu provokasi.
Malam tadi Pas salor dengan kerjasama urusetia penerangan negeri menganjurkan Malam Hiburan Alternatif di situ.
“Sebaik saya menerima maklumat orang ramai ada sebaran poster program itu, satu surat peringatan telah dihantar kepada peguam mereka tentang pelanggaran ini.
“Sudah dinyatakan dengan jelas bahawa kesan dari penganjuran berkenaan di hartanah berpertikaian adalah melanggar atau tidak mematuhi perintah injunksi Erinford oleh Mahkamah,” katanya.
Sementara itu ketua AMANAH kawasan Kubang Kerian Haji Fauzi Muhammad yang membuat laporan polis mengenai penganjuran itu berkata adalah jelas tindakan itu satu provokasi.
‘Saya dapat tahu program itu hanya melalui poster yang ditampal di serata tempat acara hiburan itu.
“Sedangkan pihak Datuk Husam sebagai pengendali sah premis premis itu tidak mendapat sebarang makluman,” katanya.
Keputusan mahkamah 9 Januari lalu menerima permohonan injunksi Erinford Datuk Husam yang memberikan beliau status quo untuk mengurus premis itu sehingga kes mengenainya selesai.
Pihak defendan, iaitu tuan tanah yang baru dilarang melakukan kacau, ganggu, menceroboh atau sebarang bentuk provokasi lain.
mdl
Picture

Khamis, Januari 04, 2018

Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak jejas hasrat rakyat tukar kerajaan

Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak jejas hasrat rakyat tukar kerajaan
Pelbagai taktik kotor cuba dilakukan pemerintah Barisan Nasional (BN) termasuk memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persepadanan semula pilihan raya untuk menghalang kemaraan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tidak akan berjaya.
Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata,kesedaran rakyat untuk menolak kerajaan kleptokrasi dengan pelbagai dasar yang menyusahkan kini jelas dirasai di semua peringkat.
“GST sebagai satu bentuk cukai yang begitu membebankan kini menjadikan peniaga dan pengguna mangsa yang semakin terbeban.
“Di pusat-pusat perniagaan utama seperti KB Mall dan bazar-bazar lain dapat di lihat kedai-kedai ditutup.
“Pengguna pula terpaksa mengikat perut dan menghadkan jumlah pembelian kerana harga barang terus melambung sedangkan pendapatan tetap sama malah ada yang menghadapi situasi pemberhentian kerja,” katanya di program Dialog Kedai Kopi (DKK) di Kampung Gertak Serong, Tendong Pasir Mas hari ini.

iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com

Dr Rohani Ismail
Katanya, taktik terbaharu BN menghadapi kemaraan rakyat ini adalah memperalatkan SPR.
“Dalam makluman terbaharu, Parlimen Pasir Mas ini akan dikeluarkan dari Dun Chetok dan dimasukkan Dun Meranti.
“Dengan itu Parlimen Rantau Panjang akan menerima masuk Dun Chetok untuk dilengkapkan bersama Dun Bukit Tuku dan Gual Periok,” katanya.
Sementara itu Ketua Jawatankuasa AMANAH Dun Tendong Dr Rohani Ismail mahu semua parti-parti anggota PH terus meningkatkan komitmen untuk meraih kejayaan yang semakin jelas.
“Dulu semasa saya mula bertugas di sini, terasa kerdil kerana bergerak sendirian tetapi dengan kebersamaan PH sekarang, keadaan jelas berbeza.
“Bagaimanapun saya suka mengingatkan supaya berfikir untuk menyumbang dan bukan berfikir apa yang kita akan dapat,” ujarnya.
Turut berucap di majlis itu ialah Pengerusi PH Parlimen Pasir Mas Ir Ali Omar, Pengerusi wanita PH Negeri Norashidah Jaafar dan ahli jawatankuasa PH Dun Tendong Dr Wan Zulkhairie Wan Mohd Zain.
mdl
Picture

Rabu, Disember 27, 2017

MeMusuhi hanya kerana bukan Islam bercanggah ajaran Islam sebenar - Pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan

Musuhi hanya kerana bukan Islam bercanggah ajaran Islam sebenar
Umat Islam yang menganggap seseorang itu musuh hanya semata-mata kerana dia bukan Islam adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
Pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan Ustaz Hj Hashim Mohd berkata, fahaman seperti itu berlawanan dengan apa yang dilakukan Rasulullah S.A.W sendiri.
“Kita perlu ingat bahawa ketika Nabi diutus menjadi Rasul hanya beliau seorang diri sahaja yang Islam.
“Kalau baginda bertindak memusuhi semua yang belum Islam di kelilingnya, tentu Islam tidak berkembang,” katanya ketika memimpin tanweer bulanan pimpinan AMANAH Kelantan di Jeli malam tadi.
Dalam ajaran Islam katanya, permusuhan dengan orang kafir hanya ketika berlaku peperangan.
“Memanglah semasa perang mereka memusuhi kita dan kita memusuhi mereka. Semua orang Islam tahu bahawa perang ialah jalan terakhir dalam interaksi dengan bukan Islam. Itupun apabila umat Islam diperangi,” katanya.
Dalam konteks orang bukan Islam di Malaysia katanya tidak pernah terjadi orang bukan Islam memerangi kaum Muslimin atas nama agama.
“Oleh itu kita tidak harus mengkategorikan DAP, MCA, MIC dan apa sahaja sebagai golongan yang perlu dimusuhi.
“Malah seharusnya kita sentiasa mencari jalan untuk mengadakan hubungan dan berbuat baik kepada mereka supaya mudah-mudahan mereka menerima Islam,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya lagi kumpulan seperti MCA dan MIC harus ditolak kerana mereka berpakat dengan pemerintah yang menzalimi rakyat.
“Kita tolak mereka kerana hal ini dan bukan kerana mereka tidak beragama Islam,” katanya.
mdl
Picture

Jumaat, Disember 08, 2017

Projek Lebuh Raya Rakyat hanya tinggal batu asas


Hanya tinggal batu asas yang dipanjat tumbuhan liar dengan persekitaran bersemak-samun walaupun bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Lebuh Raya Rakyat sejak lima tahun lalu.
Itu penemuan mengejutkan Pemuda AMANAH Kelantan yang diketuai Hazmi Hassan dalam tinjauan mereka di Felcra Mek Nab, Berangan, Machang semalam.
Menurut Hazmi, situasi terkini di tapak majlis pecah tanah itu menimbulkan banyak persoalan memandangkan kerajaan negeri memberitahu projek lebuh raya dari Kuala Krai ke Kota Bharu itu dijangka siap 3 Disember lalu.
“Kenapa laluan yang dibuka berhenti separuh jalan dan ada projek penanaman pokok getah oleh Felcra. Adakah pihak kerajaan masih tidak selesai hal pengambilan tanah?
“Adakah kerajaan masih serius untuk menyiapkan projek ini? Adakah kerajaan hari ini mampu menyiapkan projek ini seperti mana yang telah dijanji?” soalnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, projek Lebuh Raya Rakyat merupakan antara janji terbesar Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu apabila majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Almarhum Nik Aziz pada 28 Mei 2012.
“Pembinaan Lebuh Raya Rakyat ini mengetengahkan sistem wakaf dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri tanpa kutipan tol.
“Hari ini (semalam) saya ke Kampung Berangan Mek Nab, Machang untuk melihat sendiri perkembangan Lebuh Raya yang merupakan senjata utama menghadapi PRU13.
“Saya mencari batu asas di mana tempat Almarhum Tok Guru merasmikan projek ini. Namun, sehingga kini projek Lebuh Raya Rakyat masih tidak siap dan terkini projek ini seperti dilupakan terus tanpa berita terkini,” ujarnya.

Hazmi dan anggota Pemuda AMANAH Kelantan meninjau batu asas majlis pecah tanah yang ditumbuhi belukar.
Laluan yang dibuka di Berangan, Machang berhenti separuh jalan dengan terdapat penanaman getah oleh Felcra.
Beliau berkata, keadaan tersebut dilihat bukti bahawa kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir Pas tidak mampu melakukan apa-apa perubahan sekali gus berperanan sebagai sebuah kerajaan yang sebenar.
“Walhal inilah antara harapan besar Almarhum di mana Kelantan satu-satunya negeri yang membina sendiri sebahagian lebuh raya.
“Almarhum Tok Guru begitu yakin bahawa projek dapat disiapkan dimana Dato’ Haji Husam Musa diamanahkan almarhum untuk menyiapkan projek ini,” jelasnya.
Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar yang pernah memberitahu sebuah bangunan pun tidak boleh siap dalam tempoh 100 hari, beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri masih seperti dahulu walaupun sudah lebih empat tahun Pas menang PRU13.
Terdahulu, reaksi Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas itu selepas Prof Agus mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak melakukan apa-apa perubahan selepas menang PRU13.
“Tidak ada apa-apa perubahan yang besar selain hanya mengikut pentadbiran yang telah ditinggalkan Almarhum Tok Guru,” ulang Hazmi lagi.

Laluan yang dibuka di Berangan, Machang berhenti separuh jalan dengan kawasan penanaman getah oleh Felcra.
Beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini turut memberitahu kerja-kerja pembinaan fasa pertama projek lebuh raya itu dari Bukit Tiu, Machang hingga Dusun Damar di Kuala Krai sejauh 30.5 kilometer yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada 27 Ogos 2014 juga masih belum siap.
Sehubungan itu, Hazmi berharap wakil kerajaan negeri dapat membuat kenyataan terkini berhubung status sebenar pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang menjadi tanda tanya rakyat Kelantan.
Untuk rekod, kerajaan Pas Kelantan turut difahamkan menukar kontraktor yang dilantik beberapa kali selain terdapat syarikat yang memfailkan saman kerana mendakwa ditamatkan kontrak tanpa menurut prosedur.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 1 Jun 2015 dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan akan membantu menyiapkan jajaran sejauh kira-kira 43 kilometer bermula di Kota Bharu hingga ke Machang mengikut persetujuan yang telah dicapai.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu turut memberitahu kerajaan negeri pula akan menyiapkan laluan sepanjang 30 kilometer dari Machang hingga ke Kuala Krai.


Kos projek yang dikatakan turut mendapat sumbangan rakyat itu masih tidak menunjukkan kemajuan selepas lima tahun majlis pecah tanah.
mdl
Picture

Selasa, Disember 05, 2017

Bicara kes Wisma Tok Guru ditangguh

Bicara kes Wisma Tok Guru ditangguh
Bicara Saman Pemula kes Wisma Tok Guru yang dijadualkan untuk dijalankan hari ini di Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu telah ditangguhkan ke 17/12/2017.
Penangguhan ini adalah kerana pihak peguam yang mewakili Datuk Husam Musa baharu sahaja menerima Affidavit Jawapan bagi Saman Pemula Datuk Husam Musa terhadap proksi Pas, Mohd Yasin bin Yusoff pada hari Khamis lepas.
Mohd Yasin sebelum ini telah mendapat persetujuan peguam Datuk Husam untuk menjawab di luar tempoh kebiasaan 14 hari kerana beliau baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah.
Ekoran itu, peguam yang mewakili Datuk Husam Musa memerlukan masa bagi menjawab balas Affidavit Mohd Yasin tersebut.
Mengikut peraturan mahkamah, Datuk Husam mempunyai 14 hari untuk membuat jawapan balas.
Prosiding yang sepatutnya dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Ahmad bin Bache’ itu telah dipanggil bersidang di hadapan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Semasa Prosiding Mahkamah diberitahu bahawa satu kes lain telah difailkan oleh Mohd Yasin terhadap Dato’ Husam bagi mendapatkan perintah pengosongan hartanah yang sedang dipertikaikan di Salor itu.
Kes tersebut dijadualkan untuk pengurusan kes kali pertama pada 17/12/2017 ini. Justeru, mahkamah menetapkan tarikh 17/12/2017 untuk kedua-dua kes dipanggil serentak.
Datuk Husam diwakili pasukan peguam yang diketuai Norazham Yahaya manakala Mohd Yasin diwakili sepasukan peguam diketuai Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah.
mdl
Picture

Khamis, November 23, 2017

Kedudukan Wisma Tok Guru selepas injunksi ditolak

Pada 15 November 2017, Datuk Husam Musa (plaintif) telah mengemukakan permohonan injunksi (perintah tegahan) ke atas pemilik berdaftar dan agen-agennya (defendan) daripada memasuki kawasan Wisma Tok Guru yang kini dalam pertikaian Mahkamah.
Mahkamah telah menolak permohonan injunksi itu atas alasan defendan hanya bercadang untuk memasuki kawasan Wisma Tok Guru bagi menganjurkan majlis solat hajat sahaja.
Selepas permohonan injunksi itu ditolak, defendan telah meneruskan cadangan untuk mengadakan solat hajat tersebut. Selepas majlis solat hajat itu selesai, keesokan harinya difahamkan bahawa defendan atau ejennya telah mengunci pagar masuk walaupun selepas itu ianya dibuka semula.
Namun, defendan atau ejennya telah keluar masuk ke dalam kawasan premis itu dan telah cuba untuk memasang tiang bendera. Kini, kes tersebut telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 4 Disember 2017. Setakat ini, defendan masih belum menfailkan afidavit jawapan ke atas permohonan plaintif itu.
Dalam hal ini, plaintif mempunyai beberapa pilihan terhadap kes yang akan dibicarakan itu. Undang-undang membenarkan pihak yang terkilan untuk merayu ke atas keputusan yang diberikan.
Plaintif boleh memasukkan notis rayuan bagi merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya. Plaintif boleh merayu atas pelbagai alasan antaranya hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memberikan penghakimannya seperti tidak mematuhi prinsip undang-undang dalam permohonan injunksi.
Jika plaintif meneruskan dengan rayuan maka plaintif berhak untuk memohon satu lagi injunksi yang dinamakan sebagai injunksi Erinford. Injunksi Erinford ini biasanya dipohon sementara proses rayuan selesai. Dalam hal ini, plaintif berhak untuk memohon injunksi Erinford ini atas pelbagai alasan termasuk alasan yang baharu.
Melihat kepada perkembangan selepas injunksi ditolak, plaintif mempunyai merit untuk memohon injunksi Erinford itu disebabkan terdapat salah guna oleh responden dan agen-agennya seperti tindakan memasang tiang bendera sedangkan semasa perbicaraan injunksi apa yang disebut hanyalah untuk menganjurkan majlis solat hajat sahaja.
Tujuan injunksi adalah untuk mengekalkan status quo premis tersebut sementara menunggu kes induknya diputuskan. Jika defendan dan ejennya sudah bebas keluar masuk premis tersebut sebelum kes induk selesai ini akan menjadikan kes induk sudah tidak bermakna lagi.
Oleh itu, hakim sepatutnya melihat kepada alasan permohonan injunksi sahaja dan tidak sepatutnya menyentuh merit dalam kes induk. Apa yang perlu diputuskan juga adalah sama ada jika injunksi itu ditolak adalah akan memprejudiskan plaintif dan akan mengakibatkan kerugian yang tidak boleh dipampaskan.
Bagi perbicaraan kes induk, peguam-peguam plaintif perlu bersiap sedia dengan fakta dan hujahan yang boleh menarik perhatian hakim. Jika mengambil isyarat yang diberikan oleh hakim dalam kes injunksi itu seolah-olah hakim seperti sudah mempunyai keputusannya bagi kes induk.
Kemungkinan risiko untuk kes induk itu ditolak lebih besar. Oleh itu, peguam-peguam plaintif perlu menilai kembali fakta yang dimasukkan dalam afidavit dan melengkapkan fakta yang tidak lengkap. Contohnya berkaitan dakwaan mengenai penjualan hartanah yang tidak transparen tersebut.
Pada ketika ini, plaintif hanya menamakan seorang responden sahaja iaitu pemilik berdaftar hartanah itu dan tidak memasukkan penjual hartanah itu iaitu balu Datuk Rosli. Kemungkinan perlu dibuat suatu permohonan untuk memasukkan balu Datuk Rosli itu sebagai defendan kedua supaya fakta kes tersebut menjadi lebih lengkap dan mahkamah mempunyai fakta yang mencukupi untuk memutuskan kes ini.
Wisma Tok Guru
Difahamkan bahawa plaintif tidak menuntut pemilikan hartanah itu tetapi hanya menuntut pengiktirafan mahkamah sebagai orang yang diberikan lesen untuk menduduki premis itu. Dalam maksud lain, plaintif bukanlah penceroboh atau setinggan di atas hartanah itu.
Plaintif memasuki hartanah itu atas kebenaran yang diberikan dan penjual sepatutnya menamatkan lesen pendudukan plaintif di atas hartanah itu sebelum bertindak menjualnya kepada pihak ketiga.
Jika ditamatkan lesen pendudukan atas tanah itu selepas pemegang lesen telah membelanjakan wang yang banyak untuk membina bangunan maka pemegang lesen itu sepatutnya menerima pampasan atas penamatan itu dan untuk mendapatkan kembali kos pembinaan yang telah dibelanjakan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar pula dalam satu ceramah menyatakan bahawa sekiranya sesuatu tanah itu dijual maka segala yang ada atas tanah itu akan menjadi milik pemilik yang baharu.
Mungkin Datuk Mohd Amar merujuk kepada prinsip Torrens yang diamalkan dalam Kanun Tanah Negara 1965 yang menyatakan bahawa hakmilik pemilik berdaftar adalah tidak boleh disangkal. Selain itu, Kanun Tanah Negara juga menyatakan bahawa lekapan (apa-apa yang melekap di atas tanah) adalah dianggap sebagai sebahagian tanah itu juga.
Namun, hujahan Datuk Mohd Amar itu adalah tidak tepat kerana Kanun Tanah Negara juga mengiktiraf prinsip ekuiti. Ini sudah diputuskan beberapa kali di peringkat Mahkamah Persekutuan. Prinsip ekuiti yang terpakai adalah prinsip ‘equitable estoppel’.
Mengikut prinsip ini, seseorang yang telah diberikan kebenaran dan galakan untuk tinggal di atas sesuatu hartanah adalah berhak untuk diberikan pampasan jika beliau telah membuat penambahbaikan ke atas hartanah itu.
Pemilik asal tidak sepatutnya menjual hartanah itu tanpa berunding dengan pemegang lesen pendudukan atas hartanah itu. Inilah yang dikatakan estoppel iaitu pemilik dengan ini diestopkan daripada menafikan hak pemegang lesen untuk tinggal di atas hartanah itu.
Dalam hal ini, fakta kes yang diketahui hanyalah harga jual beli adalah sebanyak RM700 ribu. Fakta yang didedahkan juga adalah bahawa seorang pentadbir tanah telah datang ke rumah penjual bagi menyaksikan Borang Pindahmilik yang dibuat. Ini dikatakan bersalahan dengan arahan oleh Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
Namun, tidak diketahui sama ada wang sebanyak RM700 ribu benar-benar diserahkan kepada penjual dan apakah terma-terma perjanjian yang dibuat mengenai penyerahan milikan kosong. Dalam suatu perjanjian jual beli, terma mengenai penyerahan milikan kosong adalah sangat mustahak apalagi bila penjual atau pembeli mengetahui bahawa ada orang yang diberikan lesen menduduki hartanah itu.
Maka, sebab itu adalah mustahak untuk memasukkan penjual hartanah itu sebagai defendan kedua supaya hal-hal ini dapat dijelaskan kepada Mahkamah. Jika hal-hal ini dimasukkan barangkali hakim akan mempunyai fakta baharu yang perlu diputuskan selain daripada fakta yang telah wujud semasa permohonan injunksi dibuat.
Namun, jika tindakan ini dibuat maka kemungkinan besar proses perbicaraan tidak dapat diteruskan pada 4 Disember 2017. Ini kerana hakim akan mengarahkan pihak-pihak untuk membuat permohonan secara formal untuk menambahkan defendan kedua dan untuk memberikan defendan kedua peluang untuk memasukkan afidavitnya.
Selain itu, plaintif juga mungkin boleh mempertimbangkan untuk memasukkan notis bagi menyoal balas secara lisan terhadap defendan-defendan jika wujud perbezaan fakta dalam afidavit yang dimasukkan.
Jika mahkamah membenarkan soal balas dibuat maka kes tersebut tidak mungkin akan selesai pada 4 Disember 2017 sebagaimana yang ditetapkan kerana proses soal balas boleh memakan masa.
Justeru, kes ini mungkin akan terus berpanjangan sehingga beberapa bulan lagi dan kemungkinan dalam tempoh itu pilihan raya telah pun selesai. Sementara itu, Datuk Husam dan petugas parti AMANAH akan terus boleh menggunakan premis di atas hartanah ini. Jika ini berlaku, pasti Datuk Mohd Amar akan merasa kecewa kerana beliau mengatakan bahawa tindakan membeli hartanah itu walaupun harganya tinggi adalah untuk menyerang dan melumpuhkan kubu musuh politiknya.
Lebih teruk lagi, jika isu ini berpanjangan ianya akan menjadi senjata makan tuan terhadap Datuk Mohd Amar sendiri kerana isu ini pasti akan menjadi simbol kerakusan PAS untuk memusnahkan parti AMANAH sedangkan Islam mengajar umatnya untuk bersaudara dan berbaik-baik.
Rakyat Kelantan pasti akan menyaksikan hal ini dan akan menolak untuk mengundi parti yang rakus dan tidak matang. PAS sendiri gagal untuk menterjemahkan konsep matang dan sejahtera sebagaimana yang digagaskan mereka.
Jika PAS benar-benar matang maka PAS sepatutnya menggunakan dana RM700 ribu itu untuk menguatkan jentera partinya seperti membantu premis tadika PASTI yang daif dan menambah gaji guru-guru PASTI. Paling tidak pun PAS boleh membeli aset-aset di tempat lain dengan harga yang lebih murah di sekitar Dun Salor tersebut untuk menguatkan jentera PAS di DUN tersebut.
Selain itu, rakyat masih tertanya-tanya di manakah PAS berjaya mendapat dana RM700 ribu untuk membeli hartanah itu sedangkan pada masa yang sama Lajnah Ekonomi PAS giat menjalankan aktiviti mengutip derma dan wakaf bagi membina pasaraya PAS yang bernilai jutaan ringgit.
Jika PAS benar-benar mempunyai wang sepatutnya tumpuan diberikan kepada projek yang telah dilancarkan oleh Lajnah Ekonomi PAS itu. Rakyat juga tertanya-tanya sama ada benar RM700 ribu itu diperolehi melalui sumber komisen daripada konsesi pembalakan.
Hal-hal ini pasti akan menyesakkan nafas PAS kerana wang telah habis tetapi tetapi premis bangunan itu masih tidak dapat dimasuki. Akhirnya, rakyat yang memerhatikan isu ini akan dapat menilai kelemahan corak pemikiran PAS dan seterusnya menolak untuk mengundi PAS dalam PRU 14 kelak.
mdl
Picture

Popular Posts

Senarai Blog...Geng

Jom Ikut Agen Perubahan