Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa parti itu berdepan dengan krisis kepercayaan ekoran kontroversi firma pelaburan 1MDB.
Bercakap di Mesyuarat Agung Umno bahagian Cheras malam tadi, Muhyiddin berkata jika pilihanraya umum diadakan dalam masa yang terdekat, Umno akan tewas.
Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan ramalan beliau itu bukan satu bentuk kritikan terhadap Presiden parti Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Saya bercakap yang benar. Jika parlimen dibubarkan esok, kita tak akan menang pilihan raya umum.
"Ada kajian yang dibuat mengatakan adalah sukar untuk kita menang pilihan raya umum," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, masih ada masa sebelum pilihan raya umum akan datang, namun sentimen (negatif) ada.
Muhyiddin berkata beliau hanya menyatakan tentang bagaimana persepsi terhadap parti itu. [Baca berita penuh/asal]
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB.
Jika tidak, isu itu akan menjadi beban kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan, kata beliau.
Beliau berkata, jika isu itu berlarutan ia akan terus menjejas keyakinan anggota parti dan rakyat terhadap kerajaan BN sekaligus berupaya menjejaskan peluang kerajaan untuk mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya (umum) akan datang.
"Mesti ada penyelesaian muktamad... kalau tak selesai jadi beban... nak selesai pun jadi beban kerana dengan keadaan ringgit kita sekarang sudah jadi berapa bilion? Kita bercakap tentang kes ribuan juta amaun," katanya.
Muhyiddin mengulangi pendiriannya bahawa penjelasan jitu perlu diberikan bagi mengelakkan rakyat dari terus tertanya-tanya.
Muhyiddin berkata isu 1MDB juga memberikan persepsi negatif kepada pelabur luar yang seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pasukan petugas khas yang ditubuh untuk menyiasat kes 1MDB tidak perlu diganggu supaya proses penyiasatan boleh dipercepatkan.
"Sekarang pun dah ada reman, ada tindakan... saya harap diteruskan kerana lebih cepat lebih baik untuk parti dan kerajaan," katanya.
Muhyiddin juga mencadangkan agar laporan interim 1MDB dijadikan dokumen awam agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam kes berkenaan.
"Kalau nak jadikan 'public document' pun tiada halangan.
"Elok juga rakyat tau apa kedudukan sebenar. Kita tak mau ia diputar belit.
"Sebagai pemimpin kita mesti memikul amanah. Kita diamanah urus negara dan tadbir segala harta kekayaan, rakyat mahu tahu bagaimana harta kita (tadbir) untuk mereka," katanya.
Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno menegaskan telah tiba masanya kerajaan dan parti menguruskan isu persepsi yang cukup menebal di kalangan rakyat.
Katanya, pelbagai sentimen rakyat Malaysia terutama yang diluah di media sosial perlu diteliti kerana ia telah menjadi sentimen yang nyata.
"Dalam media sosial rakyat mengeluh soal GST, soal kerajaan katanya rasuah.
"Ia mungkin benar, maka perlu diteliti mengapa jadi begitu.
"Kita tidak mahu ada sindrom bisu, sindrom penafian... kita tolak semua, kita rasa semua tak betul kerana kita telah terlalu lama berkuasa," katanya.
Justeru, katanya kerajaan dan parti perlu kembali ke pangkal jalan, turun padang mencari masalah dan penyelesaian terhadap isu dan masalah rakyat.
Ini, katanya, bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dapat dikembalikan dan mereka merasa hanya BN parti harapan negara.
mk
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...