Dengan hanya berbekalkan sebuah laptop yang dibeli dengan bayaran ansuran bulanan selama tiga tahun, siapa sangka seorang bloger boleh menjadi senator di Dewan Negara.
Perjalanan hidup seorang senator muda bernama Siti Aishah Shaik Ismail bukan bermula dari langkah mudah.
Politik bukan bidang rasmi dalam latar pendidikannya di Universiti Malaya, namun kerana minat mendalam, dia memberi perhatian kepada bidang itu selepas tamat kuliah.
Untuk permulaan, Siti Aishah membeli sebuah komputer riba dengan bayaran cicilan selama 36 bulan.
Siti Aishah merupakan sebahagian daripada skuad bloger Pakatan Rakyat yang menyebarkan maklumat mengenai kerajaan Perak suatu ketika dulu.
“Saya ambil diploma bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Selepas habis belajar tak sempat kerja di mana-mana, terus masuk politik,” katanya yang memulakan penulisan pertama pada 2006.
Siti Aishah masing ingat, ketika itu, dia baru berumur 23 tahun dan komputer riba berkenaan diperoleh hasil daripada wang sendiri.
Menurut Siti Aishah, komputer ribanya dibeli apabila dipanggil untuk menjadi penulis alam maya Perak Express.
Penulisan pertamanya menggunakan komputer riba tersebut ialah ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di Permatang Pauh.
Pada masa sama, Wanita PKR membentuk pergerakan Srikandi dan menjemput Siti Aishah - yang baru tamat belajar- menjadi sebahagian daripadanya.
Siti Aishah kemudiannya dilantik mengetuai gerakan itu dan masih menjadi ketuanya sehingga hari ini.
Di bawah kepimpinan beliau, keanggotaan Srikandi semakin berkembang.
Siti Aishah adalah antara kelompok wanita muda daripada Srikandi yang diturunkan PKR untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum 2013 dan dipertaruhkan menentang Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di kerusi Parlimen Tambun.
Siti Aishah mengangkat sumpah sebagai senator pada Isnin lalu.
Ditanya mengenai kedudukannya sebagai senator, Siti Aishah berkata, peluang itu menguatkan lagi semangatnya untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda melibatkan diri dalam politik.
Beliau turut berasa pelantikan itu dapat membuktikan kepada generasi muda bahawa golongan pelapis sepertinya juga boleh menganggotai Dewan Negara.
Berdepan senator senior
Peminat sukan memanah itu mengakui ada cabaran tersendiri ketika berhadapan dengan senator lebih senior di Dewan Negara, malah pernah mendapat usikan nakal yang dilemparkan kepadanya.
Bagaimanapun, kata Siti Aishah, dia percayai segalanya akan dapat diatasi dengan memanfaatkan setiap sesi yang ada melalui penyertaan aktifnya dalam sidang Dewan Negara.
“Cabaran utama saya sebagai senator muda adalah mahu menangkis persepsi. Maklumlah saya masih muda, berani nak lawan orang tua," katanya.
“Bila saya ada di situ, saya terdengar mereka berbahas. Mereka cakap, kamu berani ya.. Come on saya orang muda, saya bangkit… jadi ada usikan yang berlaku.
“Saya fokus agar kita tidak lari fokus dan tidak ikut cara mereka bawa atau menguap sajalah sepanjang sesi.
“Saya akan bangun, mencelah dan tanya soalan. Kita tidak mahu duduk diam dan manfaatkan sesi yang ada,” katanya.
Dengan pelantikan senator semudanya, Siti Aishah berkata, ia menunjukkan PKR masih boleh mencipta sejarah walaupun berdepan krisis.
Aishah menambah, sebelum mengangkat sumpah, krisis serius berlaku dalam Pakatan Rakyat. Namun pelantikannya diteruskan kerana keretakan dalaman hanya berlaku di kalangan pimpinan saja.
“Kawan dan lawan menyampaikan ucapan tahniah kepada saya. Ada kawan dari Umno kata PKR dalam krisis pun masih boleh membina sejarah, sebab Umno tidak pernah melantik kelompok muda (menjadi senator," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
mk
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...