Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, Julai 24, 2015

HARAPAN BARU TERUS MAJU..TAHNIAH!!


Dr Ismail terajui Harapan Baru Kedah‎

ALOR SETAR - Bekas Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah penggal lalu (2013-2015), Datuk Dr Ismail Salleh menerajui Harapan Baru di Kedah apabila dilantik sebagai Pengerusi gerakan itu.

Dr Ismail yang juga bekas Adun Alor Mengkudu dan bekas Yang Dipertua Pas kawasan Alor Setar mengesahkan, lantikan dibuat sebulan lalu oleh Harapan Baru walaupun masih di peringkat penaja.

“Kami masih menyusun gerak kerja sebelum adakan pelancaran secara rasmi pada 22 Ogos sempena Gelombang Harapan Baru Kedah, yang akan diadakan di Sungai Lalang, Sungai Petani,” katanya kepada Sinar harian.

‎Pelantikan itu bagaikan tamparan hebat buat Pas Kedah, apabila bekas Exco kerajaan negeri PR itu secara terang-terangan mengisytiharkan diri sebagai penggerak utama Harapan Baru di Kedah.
          
Dr Ismail sebelum ini terpalit dengan krisis Exco 2012 bersama Datuk Phahrolrazi Zawawi yang kini Presiden Pasma, yang secara terbuka menyatakan tidak sehaluan dengan bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak ekoran perbezaan pendapat dalam menangani isu-isu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Kedua-dua pemimpin itu kini tidak lagi memegang jawatan penting dalam barisan kabinet Pas Kedah, sebaliknya masih kekal sebagai ahli Pas.
      
Biarpun kini beralih arah, Dr Ismail yakin maklum balas terhadap gerakan baru ini memberangsangkan.

“Gelombang positif yang diterima di Perlis dan Kelantan baru-baru ini akan sampai ke Kedah. Sasaran kita bukan fokus pada ahli Pas semata-mata, kita sasarkan orang ramai yang mahu bersama dalam perjuangan kami,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan akan ada ahli Pas Kedah keluar parti beramai-ramai dan menyatakan sokongan kepada Harapan Baru, Dr Ismail berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia berlaku secara sukarela dan bukan paksaan.

“Harapan Baru diwujudkan untuk menjadi penyambung kepada PR 2.0 berikutan PR sedia ada sudah berkubur sebaik sahaja Pas memutuskan usul putus hubungan dengan DAP pada muktamar lalu. Kami bersedia ambil alih tempat Pas dalam PR, sebab Pas yang menolak kerjasama itu,” katanya.

Menurutnya, undi yang diberikan rakyat kepada PR pada PRU lalu sebanyak 52 peratus tidak wajar disia-siakan, namun harapan itu musnah apabila PR berkecai.

“Jambatan baru iaitu PR 2.0 mesti dibina semula untuk tidak menghampakan rakyat dan Harapan Baru adalah satu daripada tiang baru PR 2.0. Penubuhan parti baru berasaskan gerakan ini adalah tuntutan majoriti rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia dikecam gara-gara menyertai gerakan ini, selepas terpalit kontroversi sebelum ini, katanya, pihak luar yang memberi gelaran itu.

“Saya tidak melabel diri saya pencetus kontroversi. Apa yang berlaku sebelum ini adalah pertembungan dua pemikiran yang berbeza dalam parti, seterusnya menyaksikan kami ‘dihalau’ apabila tidak terpilih dalam pemilihan parti, sedangkan kami masih diterima rakyat,” katanya.

Menurutnya, beliau akan meneruskan perjuangan politik bersama Harapan Baru kerana mahu mengubah lanskap politik yang perlukan pembaharuan.

“Saya tidak akan bersara dari dunia politik kerana jiwa saya orang politik.

Saya sekadar ubah haluan dan teruskan perjuangan bersama Harapan Baru,” kata ahli Pas seumur hidup kawasan Alor Setar ini.

Mengulas mengenai keahliannya dalam Pas, katanya, beliau tidak akan keluar parti sebaliknya membiarkan keahlian gugur secara automatik apabila secara sah menyertai parti baru 14 september depan.

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...