Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Selasa, Mei 07, 2013

'Pakatan layak berada di Putrajaya'


Pakatan Rakyat layak membentuk kerajaan persekutuan kerana ia memenangi undi popular yang lebih tinggi di seluruh negara berdasarkan keputusan pilihan raya umum Ahad ini.

"Bagaimana (kita) boleh memenangi 51.4 peratus undi popular berbanding 48.6 peratus oleh BN tetapi tidak mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan?" tanya Pengerusi Pakatan Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Ini sangat mengecewakan. Bagaimana kita boleh menang 51.4 peratus undi popular. tetapi hanya tambah tujuh kerusi?"

Lim, bagaimanapun, gembira bahawa undi popular untuk Pakatan di Pulau Pinang telah meningkat daripada 63 peratus pada tahun 2008 kepada 66 peratus pada pilihan raya umum ke-13.

"Ini menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang terus mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Lim menolak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa "tsunami Cina" telah mengalih undi kepada Pakatan.

Beliau juga mengkritik Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana menuduh DAP untuk mewujudkan "sistem dua bangsa".

Komen mereka, katanya, adalah semata-mata usaha untuk mengalihkan perhatian daripada prestasi BN yang teruk dalam pilihan raya umum Ahad lalu.

Pakatan, tegas Lim, telah menembusi banyak kawasan di seluruh Malaysia dan bukan setakat kawasan masyarakat Cina sahaja

Beliau menyenaraikan enam kerusi Parlimen - Kuala Terengganu, Dungun, Alor Setar, Lumut, Sepang, dan Penampang - yang dapat ditembusi Pakatan walaupun masing-masing mempunyai 50 peratus undi Melayu atau lebih.

Di peringkat negeri, Lim berkata Pakatan telah mencapai kemajuan dalam banyak kawasan majoriti Melayu termasuk Seberang Jaya, Pulau Pinang (64 peratus), Tanjung Lumpur, Pahang (77 peratus), Parit Yaani (54 peratus) dan Puteri Wangsa (40 peratus) di Johor.

Ia juga menang di kawasan bumiputera Sabah atau kerusi campuran di Matunggong, Kadamaian, Tamparuli, Inanam dan Moyog.

Prestasi DAP itu juga, tegasnya, turut memaparkan pembohongan bahawa ia adalah parti cauvinis Cina.

Wakil rakyat pelbagai kaum

DAP kini mempunyai dua Ahli Parlimen Melayu yang mewakili Bukit Bendera (di Pulau Pinang) dan Raub (Pahang) kerusi Parlimen dan ADUN negeri di Mentakab, Pahang.

Parti itu juga mempunyai seorang ADUN Kadazan di Kepayang - Dr Edwin Bosi - dan enam Ahli Parlimen India mewakili Batu Kawan, Bukit Gelugor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Puchong dan Klang.

Ini, kata Lim, lebih dua daripada yang dimenangi MIC.

"Rakyat Malaysia telah menolak perkauman dan memberi undi mereka kepada Pakatan. Ia bukan satu tsunami Cina kerana kita juga menang kerusi dengan majoriti Melayu (90 peratus) di Kelantan," katanya.

"Ini semua fitnah besar bahawa kita tidak dapat undi orang Melayu. Tanpa 50 peratus undi masyarakat itu, kita tidak boleh menang.

"Jangan jatuh ke dalam perangkap perkauman. Dasar adalah lebih penting daripada bangsa. Rakyat mengundi untuk kerajaan yang bersih. Ini adalah satu-satunya cara kita boleh bergerak ke hadapan. Apa gunanya memilih calon berdasarkan kaum jika dia rasuah?".

Malaysiakini
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...