Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Isnin, Julai 20, 2015

HOT!! : Parti Harapan Baharu ditubuh 14 September ini..

Khalid Samad

KOTA BHARU - Parti baharu Gerakan Harapan Baharu (Harapan Baharu) yang diuar-uar akan menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang akan ditubuh pada 14 September depan, kata Khalid Samad, anggota jawatankuasa parti baharu itu.

Bekas pemimpin kanan Pas itu berkata tarikh itu dipilih Harapan Baharu bagi memberi peluang kepada Pas mengotakan janji parti itu yang mahu membetulkan kembali kesilapannya dalam tempoh 100 hari selepas bertindak memutuskan hubungan dengan DAP dalam pakatan pembangkang.

 "Itu adalah hari terakhir 100 hari iaitu 14 September. Jadi dua hari kemudian 16 September adalah hari paling sesuai untuk buat konvensyen ataupun Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang pertama.

"Tetapi itu semua bergantunglah, ini hanya perancangan dan akhirnya kita lihat bagaimana perkembangan politik (semasa) dan yang paling penting adalah sambutan rakyat jelata," katanya kepada pemberita selepas Jamuan Perdana Gerakan Harapan Baharu sempena sambutan Aidilfitri di sini, malam tadi.

Difahamkan mesyuarat agung tahunan pertama parti itu akan diadakan di Kuala Lumpur.

Pada 13 Julai lepas, beberapa pemimpin kanan Pas daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti melancarkan Harapan Baharu bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.

Harapan Baharu itu dipengerusikan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, manakala anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ditanya mengenai keanggotaan beliau dalam Pas jika parti baharu itu menjadi kenyataan, anggota Parlimen Shah Alam itu berkata beliau akan berundur secara terhormat daripada Pas.

"Insya-ALLAH kami akan berundur secara terhormat bila parti baharu itu ditubuhkan dan bila kami menyertai parti baharu itu maka kami secara automatik tidak lagi menjadi anggota Pas kerana dalam perlembagaan Pas begitu, kami tak boleh menjadi anggota dua parti," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli enggan mengulas mengenai bai'ah yang dibuat Pas ketika diangkat menjadi calon parti itu pada PRU13 yang lepas.

"Tak nak komen...tanyalah ulama pasal benda ini," katanya.

Mohd Hatta bagaimanapun mengesahkan akan menyertai parti baharu dan bersedia melepaskan keanggotaannya dalam Pas.

Pas sebelum ini mewajibkan bai'ah kepada anggotanya yang dipilih menjadi calon dalam pilihan raya bagi menentukan calon tidak menyeleweng daripada dasar Islam, cara dan matlamatnya.

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...