KUALA LUMPUR - Khutbah dan masjid tidak sewajarnya dijadikan sebagai pentas politik kepada mana-mana parti politik untuk berdebat dan bercakaran antara semasa mereka.
Demikian kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang baharu, Mohamad Raimi Ab Rahim yang melahirkan kebimbangan itu kerana ia boleh mengundang kepada isu agama yang lain.
"Kita tak nak jadikan khutbah dan masjid sebagai tempat untuk menyalahkan mana-mana parti politik walaupun Islam dan politik itu tak boleh dipisahkan.
"Khutbah untuk tujuan keharmonian agama, kemaslahatan masyarakat, kita harap isu-isu menyalahkan parti politik yang kemudiannya ada reaksi balas merupakan satu perkara yang tidak perlu berulang," katanya kepada Sinar Online.
Beliau mengulas isu ancaman DAP Pahang pada 26 September lalu yang menggesa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf berhubung teks khutbah sempena Aidiladha mendakwa mereka menentang Islam.
Pengerusinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri memberi masa lima hari bermula hari itu untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha dikeluarkan JAIP, umat Islam dinasihati bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan di kalangan orang Melayu.
Dalam pada itu, Mohamad Raimi juga berkata, pemimpin parti politik sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya platform untuk berdebat dan berpolitik sedia ada dan tidak mencampuri institusi agama.
"Ya (jika dibiarkan), masing-masing akan menggunakan khutbah untuk berdebat, politik ada medan perdebatan masing-masing, ada Dewan Undangan Negeri, Parlimen atau di media.
"Saya fikir gunakan khutbah untuk perkara yang makruf kepada masyarakat..khususnya isu melibatkan kepentingan negara dan umat Islam seperti isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang dapat menyatupadukan daripada perbalahan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata lagi, kedua-dua pihak harus menangani isu tersebut dengan matang dan tidak tergesa-gesa.
"Kita menggesa DAP supaya tidak tergesa-gesa mengambil tindakan undang-undang sehingga memperoleh penjelasan.
"Kita berharap agar isu-isu sebegini dan penyertaan mana-mana parti politik dalam khutbah yang akan datang dapat dielakkan," katanya lagi.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...