Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih kepada Pendaftar Pertubuhan hari ini kerana meluluskan pertukaran nama parti itu, dan kini membolehkannya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
AMANAH, sebuah parti serpihan PAS, mengambil alih Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia dan memohon menukar namanya kepada Parti Amanah Negara.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata kelewatan kelulusan itu adalah kerana ROS menolak nama awal yang dicadangkan sebelum ini yang mempunyai perkataan 'Islam'.
Beliau juga melahirkan harapan semoga ROS akan meluluskan pindaan lanjut yang dicadangkan parti itu
"Kami akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan siri jelajah pertama kami sebagai pakatan pembangkang baru akan diadakan pada 9 Oktober di Johor," kata Mat Sabu dalam satu sidang akhbar di George Town hari ini.
Turut bersama beliau adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Jelajah di Johor juga akan dihadiri oleh pemimpin kanan DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mat Sabu juga berkata AMANAH akan mula berbincang dengan DAP dan PKR mengenai pilihan raya umum akan datang, yang dijadual pada 2018.
Terdahulu, Guan Eng menyerahkan surat pelantikan kepada 20 ahli baru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), yang akan berkhidmat untuk tempoh tiga bulan sebelum mereka diberi tempoh dua tahun mulai tahun depan.
Mereka menggantikan ahli PAS yang meletak jawatan selepas parti itu tidak sehaluan lagi dengan DAP, dan selepas itu Lim, yang juga ketua menteri, mengumumkan kerajaan negeri Pulau Pinang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan, yang merangkumi ahli barunya, AMANAH.
Lim menggesa ahli baru dilantik itu menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dan penghubung di antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
"Peranan ahli JKKK adalah sangat penting kerana mereka adalah barisan hadapan untuk masyarakat," kata Lim.
mk
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...