SHAH ALAM – Kerjasama politik dua pembangkang sejak 1990 antara Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat tidak boleh lagi dijadikan sebagai ‘kayu pengukur’ untuk mewujudkan dua pakatan pembangkang secara serentak pada hari ini.
Demikian kata Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad sambil menegaskan kombinasi dua koalisi itu bukan menjadi perkara utama, sebaliknya ia sekadar untuk mewujudkan persefahaman tertentu khususnya antara Pas dan Amanah.
“Perbandingan kedudukan politik pembangkang hari ini dengan sejarah kerjasama dua koalisi pembangkang pada 1990 secara serentak, adalah menarik tetapi tidak semestinya seluruhnya tepat mahupun sesuai dibuat.
“Selama tujuan dan cita-cita membuat perubahan itu sama-sama didukungi semua parti-parti pembangkang, sama ada kombinasi pendekatan 'koalisi' atau sekadar tahap 'persefahaman', bukan perkara paling utama,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh wujud secara serentak.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, keadaan itu pernah wujud suatu ketika dulu apabila Pas bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.
“Perkara yang sama boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan PKR, DAP dan PAN serta satu lagi Pakatan (Rakyat) dengan Pas dan PKR.
“Kami masih bersama. Tanpa kami (Pas) tiada kerajaan (di Selangor) selepas Tan Sri Khalid Ibrahim memecat semua exco DAP dan PKR,” Takiyuddin dipetik sebagai berkata.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly juga berkata, pengwujudan dua koalisi secara serentak itu lebih menjurus ke arah memberi kelebihan dalam pilihan raya untuk mengekalkan sokongan pengundi sedia ada namun ia harus ditangani dengan rasional.
“Perkara terperinci tentang pilihan raya walau sukar macam mana pun ia pastinya boleh diatasi dengan sikap kewajaran, tidak terlalu emosi serta berlandaskan pengetahuan-maklumat kajian,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, formula koalisi itu hanya akan diputuskan bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU14 akan datang.
“Ini pastinya, akan dibuat dalam semangat membuat perancangan untuk memacu cita-cita perubahan yang kini dituntut oleh rakyat merentasi kaum, agama dan budaya, di bandar, pinggir bandar dan luar bandar serta rentas jantina dan umur,” katanya lagi.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...