SHAH ALAM - Pas akan terus dengan usaha untuk melaksanakan 
undang-undang hudud di Kelantan walaupun mendapat desakan termasuk 
daripada rakan daripada dalam gabungan PR.
 Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak akan 
melayan sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang meminta Pas 
agar berhenti daripada meneruskan usaha tersebut.
 Menurutnya, hudud adalah perjuangan Pas sejak dari awal penubuhan parti itu dan menjadi tanggungjawab untuk melunaskannya.
 "Isu hudud yang sering dibangkitkan oleh banyak pihak termasuk DAP 
bukanlah isu baharu. Pas sentiasa menghormati prinsip perjuangan parti 
dalam PR, namun tidak akan berganjak dengan keputusan yang sudah 
dibuat. 
 "Perjuangan Pas sangat konsisten sejak awal sehingga ke hari ini. Ini 
adalah tanggungjawab kita sebagai orang Islam. Hudud hanya akan dibuat 
di Kelantan sahaja dan tidak dikenakan kepada bukan Islam," katanya 
kepada Sinar Harian semalam.
 Beliau berkata, tidak sepatutnya perkara itu dijadikan polemik hingga boleh mengancam PR.
 "DAP pernah menarik diri daripada Barisan Alternatif pada 2001, 
kemudian menyertai semula PR pada 2008. Itu yang saya kata, Pas sentiasa
 konsisten. Perjuangan ini sejak awal lagi.
 "Setiap parti perlu menghormati hak parti lain selagi mana tidak mencampuri urusan agama lain," katanya.
 Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, Pas tiada hak untuk menyekat apa sahaja kenyataan DAP berkaitan hudud ini.
 "Kita menerima apa sahaja pandangan, tetapi untuk menghentikannya tidak boleh. Inilah kewajipan Pas.
 "Jika DAP kata tidak mahu hadir dalam mana-mana mesyuarat PR, kita tiada kuasa untuk berbuat apa-apa," katanya. 
 Ditanya mengenai pusingan U yang  mungkin dilakukan pada saat akhir 
seperti beberapa isu lain sebelum ini, Tuan Ibrahim berkata, hudud akan 
tetap dilaksanakan biarpun bercanggah pendapat.
 "Kita akui ada beberapa perkara yang pada awalnya Pas tidak sependapat,
 akhirnya kita mengubah berdasarkan kesepakatan dalam politik, tetapi 
untuk hudud, ia tidak akan berlaku memandangkan ini perjuangan Islam dan
 Pas.
 "Jika pada 29 Disember nanti, Pas mengambil keputusan menangguhkannya, 
ia bukan disebabkan parti lain, tetapi saya kira berdasarkan kepada 
keadaan semasa iaitu bencana banjir yang sedang berlaku pada masa ini," 
katanya.
 Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan akan membuat 
pembentangan mengenai pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di 
hadapan Pas Pusat pada 28 Disember ini.
 "Itu langkah terakhir sebelum dibentangkan pada keesokan harinya. Di 
situ nanti kita akan dapat dengar penjelasan dengan lebih terperinci 
mengenai perkara ini.
 "Pada sesi ini juga, mana-mana pemimpin Pas yang sebelum ini kurang 
bersetuju akan mendapat penerangan lebih jelas dan diharap selepas 
pembentangan itu, tidak timbul lagi percanggahan pendapat berkenaan 
hudud ini," katanya.
sh 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...