Isu Dakwaan Rasuah : Sheikh Muhammad Hanafi Buat Laporan Polis.
DUNGUN – Pemuda Pas Dungun mendesak satu siasatan dilakukan pihak berwajib terhadap dakwaan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan seperti disiarkan dalam artikel The New York Times.
Ketuanya, Sheikh Muhammad Hanafi Abdul Aziz berkata, berdasarkan laporan tersebut, beliau mengesyaki wujud unsur rasuah, salah guna kuasa serta pencabulan undang-undang berkaitan hak melombong bijih besi di Bukit Besi Dungun, dipercayai melibatkan syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli politik tempatan.
Sheikh Hanafi menegaskan, jika perkara tersebut benar-benar berlaku, satu siasatan secara terperinci perlu dilakukan pihak berkuasa, seterusnya mengheret sesiapa sahaja yang bersubahat secara langsung dengan perbuatan tidak bermoral itu.
“Saya berharap dakwaan yang dibuat melalui laporan tersebut disiasat secara telus tanpa melindungi kepentingan mana-mana pihak, khususnya pemimpin yang ada kaitan dengan perbuatan tidak bertanggung jawab itu.
“Jika ada bukti penyelewengan atau salah guna kuasa, kita mahu perkara ini dibawa ke mahkamah bagi membuktikan keadilan,” kata Sheikh Hanafi ketika ditemui Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dungun, pagi semalam.
Sheikh Hanafi berkata, Pemuda Pas memandang serius isu ini kerana ia melibatkan harta benda rakyat dan jika ia benar-benar berlaku, perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya, termasuk mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan.
Menurutnya, Pemuda Pas sentiasa bertegas memperjuangkan isu-isu melibatkan hak rakyat, apatah lagi berkaitan kes penyelewengan khazanah hasil bumi seperti bijih besi di Bukit Besi yang sepatutnya dinikmati dan dipulangkan semula kepada rakyat, bukannya untuk kepentingan kroni pemimpin politik.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...