Selasa, Disember 30, 2014

Berita Baiki : Zakat dan waqaf tunai untuk bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mengesyorkan supaya zakat dan waqaf tunai dimanfaatkan sebagai salah satu mekanisme untuk bantu mangsa banjir. Demikian kenyataan media DPPWP melalui  Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Farkhan Md Zain (Gambar kanan)

Cadangan ini berdasarkan pemerhatian setelah melihat harta benda rakyat, sekolah, masjid dan jalan raya yang rosak  ketika membantu mangsa banjir di Kelantan khususnya di kawasan Manek Urai dan Kuala Krai.

Berikut kenyataan penuh Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan;

Setelah beberapa kawasan di Manek Urai dan Kuala Krai semakin surut, kita telah melihat harta benda rakyat, sekolah, masjid dan jalan raya yang rosak. Sudah pasti ia memerlukan sejumlah peruntukan kewangan yang besar untuk memulihkan segala kerosakan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah atas kecekapan dan langkah pro aktif Kerajaan Negeri Kelantan yang telah mengambil langkah menubuhkan Jawatankuasa Khas (Task Force) Pasca Banjir dan penubuhan Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan yang telah diumumkan baru-baru ini.

Rentetan itu, DPPWP juga ingin menyarankan kepada seluruh Majlis Agama Islam Negeri untuk menyelaraskan pandangan yang telah dikemukakan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. Beliau berpendapat agar peruntukan zakat harus diberikan kepada mangsa-mangsa banjir berdasarkan kepada kriteria tertentu menurut peruntukan asnaf al-gharimin.

Pengkategorian al-gharimin dilihat sesuai dengan keadaan semasa yang dihadapi oleh mangsa banjir yang memerlukan pemulihan harta benda yang berkemungkinan terpaksa menanggung hutang. Ia bertepatan dengan maqasid (tujuan) perlaksanaan zakat iaitu menjadi instrumen jaminan sosial dan kafalah (perlindungan) dalam masyarakat.

Selain itu, DPPWP juga menyarankan agar Majlis Agama Islam Negeri terutamanya di negeri Kelantan dapat mengoptimumkan instrumen waqaf tunai bagi membangun semula dan memulih institusi-institusi sosial seperti masjid, surau, sekolah, jalan raya dan dewan. Ia dapat meluaskan keberkesanan peranan institusi waqaf menerusi sumbangan jariah bersama daripada orang ramai.

Tidak terhad kepada itu, syarikat-syarikat korporat juga boleh menyalurkan sumbangan menerusi waqaf tunai dan seterusnya membina hubungan strategik dengan kerajaan negeri terutamanya di negeri Kelantan. Malah, ia boleh mendapat pengecualian cukai pendapatan dan kelebihan-kelebihan yang lain.

Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) juga turut diseru untuk memanfaatkan dana waqaf sedia ada untuk diagihkan mengikut lima sektor yang telah ditetapkan iaitu waqaf keagamaan, waqaf pendidikan, waqaf kesihatan, waqaf perlindungan dan waqaf penjagaan makanan.

DPPWP optimis kedua-dua instrumen kewangan ini mampu meringankan tanggungjawab kewangan kerajaan negeri bagi mengurus semula kehidupan rakyat pasca banjir. Ia bertepatan dengan maksud Sabda Rasulullah SAW,

"Perumpamaan bagi seorang mukmin dari sudut kasih, sayang dan lemah lembutnya mereka sesama mereka ialah seperti satu jasad, apabila mengadu salah satu anggota dengan satu kesakitan maka seluruh anggota badannya akan berjaga dan menanggung penderitaan tersebut" (Bukhari: 6011, Muslim: 2586).

hd

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng