Khamis, Disember 18, 2014

POWER HUJAH : Bukan Islam tidak perlu takut hudud

Mohamad Taslim

MUAR - Rakan komponen PR, iaitu DAP tidak perlu berasa takut dengan pendirian Pas meneruskan perjuangan melaksanakan hudud kerana hukum tersebut tidak melibatkan orang bukan Islam.

Adun Pas Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, pada peringkat awal, hudud hanya akan dilaksanakan terhadap orang Islam di Kelantan yang diperintah sepenuhnya oleh Pas.

“Dalam tempoh pelaksanaan itu nanti (hudud), golongan berkenaan boleh menilai sendiri keberkesanan, kebaikan dan keadilan hukum tersebut.

“Jika hukum (hudud) yang dilaksanakan ini memuaskan hati orang bukan Islam, maka mereka boleh minta ia dikenakan sama,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menegaskan parti itu tidak akan menarik kembali pelaksanaan hudud walaupun ditentang DAP.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud: Sudah 20 tahun Pas tunggu]

Dr Mohamad berkata, prinsip perjuangan Pas adalah berlandaskan perlembagaan parti itu mengikut al-Quran dan sunnah untuk mendirikan negara Islam.


“Pas sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab melaksanakan hukum ALLAH (hudud) sebagai tanda tidak mengingkari perintah-Nya untuk kesejahteraan umat di dunia dan akhirat.

“Jika perancangan ini (hudud) tidak mendapat persetujuan di peringkat Parlimen, Pas tidak dapat berbuat apa-apa dan tanggungjawab kita (berjuang hudud) sudah selesai,” katanya.

Berhubung kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming yang mendakwa Pas mungkir janji terhadap persetujuan yang dicapai pada 28 September 2012, berkaitan pelaksanaan hudud, Mohamad berkata, hukum tersebut kurang diberikan penekanan kerana memberi fokus kepada Negara Berkebajikan.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Muar itu berkata, Pas bergabung dengan PR bertujuan untuk menukar  kerajaan sedia ada bagi memberi alternatif kepada rakyat memilih pentadbiran kerajaan yang lebih baik.

Bagaimanapun katanya, Pas sentiasa menghormati prinsip rakan komponen yang lain tetapi tidak boleh mengikut  prinsip mana-mana parti.

“Kita mempunyai prinsip yang sama iaitu kerajaan berintegriti, mesra rakyat, adil dan tanpa rasuah.

“Isu hudud ini adalah masalah berkala, namun percanggahan pendapat berkaitan perkara ini tidak membawa perpecahan kepada PR,” katanya.

sh
 http://biz-55.webs.com

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng