Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Disember 24, 2014

ISU HUDUD : UMAT MALAYSIA WAJIB BACA HUJJAH INI..

Oleh Ng Kee Seng

Ahli PAS Kumutha Raman, seorang peguam bukan Muslim, ternyata seorang wanita yang berpandang ke hadapan dalam menyuarakan sokongan terhadap pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan. Wanita berusia 35 tahun itu mengambil pendirian berani untuk menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan tidak perkauman patut menegakkan hak dan kebebasan agama di negara ini.

Bolehkah seseorang itu bercakap tentang hak dan kebebasan agama dengan menafikan hak Muslim untuk melaksanakan undang-undang Islam? Adakah mereka yang mengatakan hudud tiada tempat di Malaysia cuba menggambarkan yang cara BN mengendalikan dan menguruskan agama adalah lebih baik berbanding hudud? Jelas, masalahnya bukan hudud atau pun Islam. Masalahnya adalah kesilapan dalam pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang itu. Adakah cara BN mengendalikan isu ‘kalimah Allah’ berbeza dengan hudud? Adakah cara penguasa agama BN menakut-nakutkan orang bukan Muslim lebih baik daripada hudud? Ia adalah masalah pentadbiran, bukan? Bukannya masalah dengan mana-mana agama.


The Malaysian Insider melaporkan bahawa Kumutha tidak sedikit pun takut dengan tindakan parti Islam itu untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan, walaupun ditentang rakan dalam Pakatan Rakyat. Kini berlakunya perang mulut antara PAS dan DAP, dan amaran daripada PKR terhadap inisiatif terbaru parti itu berhubung Hudud, namun Kumutha berkata beliau menyokong usaha itu sepenuhnya. Kumutha mula menjadi tajuk berita pada tahun 2008, apabila beliau menjadi wanita bukan Islam pertama sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Beliau menyatakan keyakinanya bahawa Undang-undang Jenayah Syariah, apabila dilaksanakan nanti, akan menurunkan kadar jenayah di negeri Pantai Timur itu. (Tentulah ia boleh dibahaskan, tetapi itu isu lain). “Ia hanya untuk Muslim. Saya melihatnya daripada sudut perundangan. (Kata kuncinya adalah “hanya untuk Muslim”.) “Bagi saya, hudud akan mampu mengurangkan kadar jenayah di Kelantan.

Di samping itu, banyak syarat yang perlu dipatuhi bagi melaksanakannya,” kata Kumutha seperti dipetik TMI. Antara jenayah yang menjadi tumpuan dalam undang-undang itu adalah zina, penggunaan minuman keras dan fitnah tuduhan zina. Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini berkata, beliau yakin yang perancangan negeri untuk melaksanakan hudud akan berhasil tidak lama lagi. Pengkritik paling lantang PAS dalam Pakatan Rakyat adalah DAP, dan pemimpin veterannya Lim Kit Siang berkata, ketegasan PAS berhubung isu ini boleh menyebabkan keruntuhan pakatan pembangkang itu.

Mengapa Lim masih gagal berfikir di luar kotak? Adakah beliau menafikan keinginan orang Islam? Majoriti penduduk Kelantan adalah Muslim, bukan? Adakah Lim dan DAP tidak yakin untuk memastikan kerajaan Pakatan mampu menjalankan undang-undang hudud hanya kepada Muslim? Kalau begitu, apakah beza antara BN dan Pakatan? Tanpa memberikan sebarang sebab khusus, Khumuta bertegas bahawa PAS dan DAP tidak akan hilang sokongan dengan pelaksanaannya. “Tidak, saya tidak percaya sokongan akan kurang. Malah, saya yakin lebih ramai orang bukan Islam akan melihat kesan positifnya, seterusnya menyokong hudud,” katanya. Beliau yang juga seorang penasihat undang-undang sebuah syarikat di Johor Bahru berkata, beliau mendapat keyakinan itu selepas pergi sendiri ke Kelantan untuk berjumpa orang bukan islam yang tinggal di sana.

 “Mereka gembira dengan (bekas Menteri Besar) Tok Guru Nik Aziz dan caranya mentadbir negeri. "Mereka berkata, kerajaan negeri tidak campur tangan dengan urusan agama mereka dan sangat toleran,” katanya lagi. “Inilah PAS yang sebenarnya. Bagi orang bukan Islam seperti saya, sepatutnya sukar untuk bersuara dan didengari di kalangan orang Islam di dalam parti.” Ketika beliau menyertai PAS pada tahun 2008, ramai rakannya yang terkejut dengan keputusan itu. Namun tidak bapanya. Beliau berkata, bapanya adalah sebab utama keputusannya itu.

Bapanya juga memberikan sokongan dan galakan ketika beliau menjadi calon PAS dalam PRU pada tahun itu. “Saya membesar dalam suasana yang warak. Kami adalah penganut Hindu yang taat, dan ayah saya mendidik tentang kepentingan agama. Ketika saya memutuskan untuk sertai politik, tentulah saya tertarik dengan parti yang berasaskan agama,” katanya. “Ayah saya juga sangat cenderung kepada politik, dan terlibat dengan parti pembangkang suatu ketika dahulu.” Graduan Northumbria University, United Kingdom itu berkata lagi, beliau melihat perlembagaan PAS dan mendapati ada ruang untuk orang bukan Muslim dalam parti itu.

 “Saya juga dapati parti itu mematuhi semua prinsip Perlembagaan Persekutuan. Saya berpuas hati dengan apa yang saya temui tentang PAS.” Beliau kemudian menyertai Kelab Penyokong PAS, sayap parti khas untuk penyokong bukan Islam. Menurut PAS, parti itu kini memiliki 40,000 ahli berdaftar seluruh negara. Kumutha dicalonkan PAS pada PRU 2008 bagi kerusi DUN Tiram di Johor, namun terpaksa bertanding di atas tiket PKR. PAS kemudian meminda perlembagaannya bagi membolehkan ahli bukan Islam bertanding secara langsung di bawah bendera parti itu. Beliau sekali lagi bertanding pada PRU ke-13. “Sangat sukar bagi saya sebagai wanita dan menggunakan bendera PAS.

 Namun, ia pengalaman yang sangat hebat. Seseorang perlu berani dan kuat untuk menempuhinya.” Beliau menyatakan bahawa pemimpin dan ahli PAS sangat menyokong sayap bukan Muslim parti itu, dan sentiasa mendengar keluhan dan cadangan mereka berhubung pembaikan parti. “Pada Muktamar PAS September lalu, saya bercakap tentang kepentingan sekolah vernakular kepada masyarakat Cina dan India, serta peluang sama rata kepada orang bukan Islam dalam sektor awam. “Ucapan saya diterima baik, dan parti sering menyokong idea saya.

 “Tidak seperti tanggapan ramai, PAS benar-benar terbuka dengan pandangan dan pendapat orang lain,” tambahnya. Sangat ironi apabila majoriti orang bukan Islam menuntut hak dan kebebasan agama, namun pada masa sama anti-hudud. Adakah mereka fikir pentaksub agama dalam Umno-BN adalah lebih baik? Masalahnya adalah kebanyakan rakyat Malaysia tidak boleh berfikir di luar kotak dan bersangka baik kepada PAS, bahawa hudud hanya akan dilaksanakan kepada orang Islam. Tentulah, PAS juga memiliki golongan taksub yang memberikan imej pelampau kepada parti Islam itu. Namun, bukankah Umno BN juga pelampau kaum dan agama?

wargamarhaen.blogspot.com

1 ulasan:

  1. Tahniah pd Cik Kumutha dan En Ng Kee Seng dan berbanyak terima kasib. Saya sangat tertarik dgn kemurnian berfikir yg saya kira mencerminkan satu keikhlasan. Memang benar ramai bukan Islam menuntut hak beragama, namun dimasa yg sama mahu menafikan hak orang Islam untuk menganut Islam secara yg diwajibkan. Senario itu memang memenuhi agenda pentaksub kaum UMNO/BN, yg masih dianuti olih pemimpin2 DAP mungkin dibawah sedar. Sila ambil perhatian LGE, LKS dan Gobind. Pada zahirnya mereka2 ini seakan akan berpatah arang dgn gerombolan perompak2 dan lanun2 negara namun dikala yg sama merekalah semacam penganut tegar Islamphobia. Alangkah besar peranan yg perlu digalas oleh Cik Kumutha dan En Ng, semuga berjaya.

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...