PASIR MAS - Pelaksanaan hukum hudud yang mahu dijalankan oleh kerajaan 
negeri dilihat mampu menyelesaikan salah laku jenayah dalam kalangan 
masyarakat.
 Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, hudud merupakan hukum 
ALLAH yang lebih bersifat kepada pendidikan dan pengajaran kepada umat 
manusia supaya tidak berterusan melakukan kesalahan.
 “Sebagai umat manusia kita tidak perlu ragu-ragu dengan hukuman ini, 
kerana ia terbukti untuk memberikan pengajaran dan telah dilaksanakan 
pada zaman Rasulullah,” katanya.
 Menurutnya, sudah tiba masanya hukum itu dilaksanakan di negeri ini dan
 hasrat kerajaan negeri itu wajar diberikan sokongan padu oleh seluruh 
rakyat.
 Abdul Halim berkata, langkah tersebut dilihat tepat pada masanya dalam usaha menyelesaikan isu jenayah pada hari ini.
 Akhbar tempatan 1 Disember lalu melaporkan, Kerajaan Pusat menegaskan 
tidak mempunyai sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan Pas 
Kelantan untuk membentangkan perkara berkaitan pelaksanaan hukum hudud 
di negeri ini di Parlimen tahun depan.
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
berkata, Jawatankuasa Teknikal Hudud Pusat tidak mempunyai kuasa untuk 
campur tangan memandangkan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam 
tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
 Beliau berkata, Kelantan boleh membentangkan perkara itu di Parlimen 
pada bila-bila masa sekiranya sudah membuat persiapan rapi.
sh
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...