Info Pagi : Islam pasti menang! Tetapi....
PERMATANG PAUH: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kemenangan Islam membuka (fathul) negeri adalah sama sekali berbeza dari penaklukan (isti’mar) dan revolusi yang dilakukan oleh kuasa penjajah atau idealogi lain.
Menurut beliau, Islam menguasai negeri dengan membuka hati manusia kepada keamanan, keadilan, kebaikan dan keindahan Islam hingga menyebabkan manusia menerimanya sebagai anutan akidah dan cara hidup.
Malah ujarnya, ia berbeza dengan penaklukan dan revolusi sebagaimana pernah dilakukan penjajah Barat dan idealogi lain yang telah memperhamba, menawan, menzalimi, memaksa dan merampas harta rakyat, bahkan menyebabkan terbunuhnya jutaan manusia.
“Kesan Perjanjian Hudaibiyah, kabilah Arab berduyun-duyun menemui Nabi SAW. Islam (berkembang) sampai ke tanah jajahan takluk Parsi dan Rom. (Mereka) bukan sahaja menukar agama (kepada Islam) tetapi juga budaya dan bahasa antaranya Sudan, Mesir, Iran hinggalah Utara Afrika,” ujar Ustaz Abdul Hadi menyampaikan tafsir surah al-Fath pada Ijtimak Tarbawi 4.0 di Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, di sini semalam.
Oleh itu, beliau mahu para pejuang Islam menyedari bahawa kesan jihad secara damai (muwajahah silmiyah) terbukti menyebabkan lebih ramai manusia menerima Islam berbanding jihad peperangan.
Malah, Tuan Guru mahu para pejuang Islam meyakini hanya Islam akan kembali berkuasa, sedang semua agama, kuasa, ideologi dan teori selain Islam pasti akhirnya menemui kegagalan.
Beliau memberikan contoh beberapa negara yang telah meninggalkan idealogi asalnya dan menganut pula idealogi lain, termasuk berakhirnya tamadun agama seperti Hindu dan Buddha.
Pun begitu katanya, Tamadun Islam yang masih berbekas dan akan muncul semula itu sedaya upaya disekat, ditangani dan dihalang musuh Islam serta didoktrinkan sebagai berbahaya oleh Barat.
Terang beliau, apabila Islam dianggap berbahaya, ia menunjukkan cabaran getir bakal dihadapi para pejuang Islam.
“Ia fitnah yang sengaja diwujudkan oleh Barat dengan serangan dari luar dan dalaman Islam sendiri (termasuk) menggunakan orang Islam yang tidak faham. (Iaitulah) orang yang ‘tasyahul’ yakni bermudah-mudah dan memandang remeh kepada Islam dan ‘tasyaddud’ iaitu orang yang melampau, terlalu kasih dengan cara tidak fekah untuk melaksanakan Islam.
“Orang yang memperjuangkan Islam dianggap pengganas. Yang berdakwah, yang masuk pilihan raya, yang berperang lawan musuh dalam negeri dianggap pengganas. Kita tak nafi ada kalangan kita yang buat silap, buat salah, bunuh tidak ikut hukum syarak. Tetapi Amerika dan Eropah teruk lagi tidak hukum syarak. Bom di Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua membunuh ratus ribu (termasuk) perempuan dan kanak-kanak mati. Di Afghanistan, di Iraq, senjata canggih digunakan, lebih ganas dari segala pengganas, (tetapi) ini dibiarkan.
“Kita nak perbetul orang kita yang silap itu minta tolong orang kafir, bukan kita sendiri yang perbetulkan. Sepatutnya orang-orang Islam membetulkan kesilapan yang berlaku di negara orang Islam itu, bukan jemput orang kafir membetulkan orang Islam. Ini mengapa? Ini kesilapan politik yang sangat ketara berlaku dalam dunia hari ini. Orang Islam dalam keadaan yang sangat kacau, zaman fitnah, zaman bencana, (serta) hilang sifat-sifat keras terhadap musuh dan berkasih sayang sesama mukmin,” ujar beliau menerangkan dilema itu.
Allah menjanjikan bahawa Islam pasti akan menang mengatasi segala agama dan idealogi, tetapi umat Islam mestilah bersifat dengan sifat Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, Nabi SAW pernah bersabda bahawa Islam akan membuka Kota Konstatinople dan Kota Rom.
“Pembukaan dan kemenangan di Kota Konstatinople (kini Istanbul, Turki) telahpun berlaku dan Rom yang di situ adanya Vatican City juga akan dibuka Islam. Allah menjanjikan kemenangan, Islam masuk ke situ (Kota Rom) akan tiba masanya (pembukaan Kota Rom).
“Kerana ucapan Nabi akan berlaku. Tetapi untuk berlaku itu, orang Islam mestilah mewarisi sifat-sifat yang ada pada Nabi dan para Sahabat (RA),” ujar Tuan Guru.
Sifat yang dimaksudkannya itu ialah tegas terhadap musuh, tetapi berkasih sayang antara mukmin sebagaimana terdapat pada ayat 29 surah tersebut.
Terang beliau, mereka itu memiliki sifat rendah diri terhadap sesama orang beriman dan menunjukkan keperkasaan kepada orang yang menentang Islam, walaupun secara realitinya ada pertelingkahan dan perbezaan pendapat hingga kemudiannya melahirkan pelbagai mazhab.
Di sepanjang sejarah panjang umat Islam itu jelas Ustaz Abdul Hadi, umat Islam dan para ulama yang berkhilaf dengan pelbagai pandangan dan penafsiran tetap bersaudara dengan baik tanpa perpecahan.
Katanya, sungguhpun ada khilaf yang terkeluar dari Islam, tetapi para ulama memberi nasihat dan tidak dihadapi dengan perang.
Ulama dahulu ujarnya, bukan sahaja menyelesaikan masalah-masalah dalaman umat Islam, tetapi mereka jugalah yang menyusun usaha berdepan dengan kekuasaan Rom.
Menurutnya, hal tersebut berbeza dengan sikap umat abad akhir ini, perbezaan pandangan hingga menyebabkan perpecahan dan pergaduhan, sedangkan ketika sama kuasa-kuasa kufar terus menakluk dan mencengkam negeri umat Islam.
Umat Islam kata Tuan Guru, telah hilang sifat tegas terhadap musuh dan tidak berkasih sayang sesama mukmin hingga bertembung antara satu sama lain dan sanggup berperang dalam masalah sempadan negara, tetapi membiar musuh menakluk negeri.
“Sifat berkasih sayang ini mesti ada pada kumpulan Islam walaupun berbeza pendapat. Kecuali apabila terkeluar daripada dasar perjuangan dan aqidah perjuangan Islam. Nabi ambil tindakan disiplin terhadap sahabat-sahabat yang melakukan salah laku dalam tindakan politik,” terangnya.
Beliau memetik sirah Fathu Makkah di mana Nabi SAW mengisytiharkannya sebagai ‘Yaumul Marhamah’ (Hari Berkasih Sayang), tetapi Saad bin Ubaidah yang terlalu bersemangat telah menyebutnya sebagai ‘hari untuk berlawan’.
Akibatnya cerita beliau, panji yang ditaklifkan kepada Saad telah diambil dan jawatannya selaku ketua dilucutkan lalu diberi kedudukan itu kepada anak Saad sebagai satu tindakan disiplin.
Ahli Parlimen Marang itu turut menyatakan bahawa para pejuang Islam memiliki sifat sebagai ahli ibadat di waktu malam dan pahlawan yang kuat di siang hari hingga terlihat cahaya keimanan pada wajah-wajah mereka kerana keikhlasan kepada Allah SWT daripada amal tersebut.
“Rabai-rabai Yahudi percaya, jika orang Islam memenuhi masjid pada waktu subuh berjamaah, bermakna Israel akan jatuh, suasana itu bermakna orang Islam kembali pada Islam. Kalau masjid belum banyak orang, belum kuat beribadat, tidak kuat pegangan dengan agama, menandakan lambat lagi Israel hendak jatuh.
“Malangnya ada yang tolong Israel. Mesir tolong buat rumah di sempadan nak selamatkan Israel. Ini satu hal orang Islam jadi ejen kepada musuh hendak menyelamatkan Israel. Negeri-negeri Arab pula bersama Zionis untuk membantu melindungi keamanan dan keselamatan Israel, menentang pejuang-pejuang Islam,” ujarnya kesal.
Beliau turut memberi peringatan bahawa mereka yang menyeleweng dari Islam, Allah akan lahirkan dari kalangan orang beriman, kumpulan lain untuk mewarisi perjuangan Islam.
Katanya, walaupun mungkin sifat seperti disebut dalam al-Quran itu belum ada, tetapi ia akan wujud sebagai kumpulan.
“Walaupun tidak ramai, kalau kecil pun tak apa, kalau ada kumpulan ini, Islam akan menang selepas itu. Di mana kumpulan ini akan wujud laksana tunas anak pokok yang tumbuh dicelah-celah pelepah pohon tamar. Pesaka yang ditanam oleh Nabi hingga hari kiamat, yang mengagumkan peladang yang menanamnya dan menyebabkan orang kafir sangat marah,” katanya.
Terang Tuan Guru, Allah juga boleh membinasakan satu negeri yang besar dan sombong dengan satu malaikat untuk menghancurkan negeri tersebut.
Jelasnya, Allah mempunyai bala tentera termasuk dari binatang sepertimana nyamuk menjatuhkan Raja Namrud, air menenggelamkan kaum Nabi Luth, juga lain-lain makhluk seperti angin dan bumi yang digempakan.
“Allah boleh memenangkan Islam dengan mudah, tetapi Allah mewajibkan jihad kepada orang beriman dan perlu bersusah supaya mendapat pahala besar sebagai satu kelebihan.
“Jangan tanya kenapa lambat menang, kenapa susah sangat, kenapa sampai 950 tahun, mengapa, mengapa, mengapa? Yang penting tunaikan perintah agama,” ujarnya menyeru jihad dengan mengembleng segala kemampuan termasuk tenaga, kebijaksanaan, kelebihan dan ilmu yang dikurniakan Allah.
Tambahnya lagi, Allah janjikan orang beriman dan mengerjakan amal soleh dengan keampunan dan pahala sangat besar.
Menurutnya, terutama mereka yang beriman dan beramal soleh dalam keadaan sangat mencabar, diuji dalam dan luar serta ditekan perasaan.
Oleh itu katanya, para pejuang Islam perlu menyedari dan memahami, wajibnya bergantung kepada Allah, Quran-Nya dengan huraiannya sebagai pusaka ilmu yang sangat kuat dan mesti kembali kepada petunjuk-Nya dengan melengkapkan diri mempunyai sifat digariskan-Nya agar menerima janji Allah untuk diberikan kemenangan.
hd
cakap politik cakap tak serupa bikin DAPig, musuh Islam dipeluk,dikasehi,disyayangi, UMNO muslim di benci sebenci bencinya
BalasPadam