KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah mahu semua rakyat berganding bahu dan bersatu tenaga dengan pihak pemerintah supaya segala yang dirancang dan dicita-citakan menjadi kenyataan.
Seri Paduka bertitah tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta nama hanya dengan bergantung kepada inisiatif pemerintah dan pentadbir sahaja tanpa sokongan warganya.
"Tanggungjawab mempertahan, membangun dan mendaulatkan negara yang bertuah ini terletak di bahu setiap warganya.
"Beta percaya dengan sokongan padu dan kerjasama yang erat antara pemimpin dan rakyat, pelbagai kejayaan akan terus dilakar oleh negara pada masa depan," titah Tuanku Abdul Halim di istiadat menghadap dan pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena hari ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka di Istana Negara di sini, hari ini.
Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut menghulurkan salam takziah kepada seluruh kerabat diraja dan rakyat Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah dan berdoa semoga ALLAH memberi ketenangan, ketabahan dan kekuatan kepada kerabat-kerabat diraja Perak.
Seri Paduka berdua turut mendoakan ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 supaya diberi kekuatan dalam menghadapi situasi yang sukar.
Tuanku Abdul Halim bertitah bahawa baginda menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha dalam operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia itu.
Baginda turut bertitah berhubung kepentingan untuk kembali kepada landasan sebenar asas-asas penubuhan negara seperti yang dihasratkan pemimpin terdahulu.
Titah baginda, semua rakyat berbilang kaum di negara ini perlu mengukuhkan perpaduan dengan memupuk perasaan hormat-menghormati dan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan.
"Beta bersyukur di atas keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara selama ini dan berdoa agar nikmat ini dapat terus dikecapi", titah baginda.
Tuanku Abdul Halim percaya perpaduan yang kental juga dapat menyelamatkan negara daripada pelbagai ancaman sama ada musuh negara, wabak penyakit mahupun bencana alam.
Selain itu, Seri Paduka juga bertitah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah berjaya mencapai kejayaan melebihi sasaran keseluruhannya pada tahun 2013.
Namun, baginda bertitah pihak kerajaan tidak boleh berasa puas hati dan selesa kerana banyak ruang dan ikhtiar yang perlu digembleng untuk mencapai\ kejayaan lebih cemerlang.
"Negara telah menempa banyak kejayaan termasuk berjaya keluar daripada kadar kemiskinan pada tahap lebih 60 peratus kepada 1.7 peratus pada 2012 dengan kemiskinan tegar kini hampir disifarkan kesemuanya," titah baginda.
Tuanku Abdul Halim percaya negara berada di landasan yang betul dalam menuju negara maju menjelang 2020 berdasarkan petunjuk sahih yang diiktiraf oleh badan-badan di peringkat global.
Seri Paduka turut bertitah menyokong usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan ketelusan tadbir urus melalui konsep ketelusan yang mantap dan pembanterasan rasuah sehingga membolehkan negara memperoleh kedudukan lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah 2013.
Namun baginda bertitah masih banyak lagi yang perlu dilakukan di peringkat kerajaan, swasta dan seluruh rakyat untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Beta percaya kerajaan akan terus menggiatkan usaha-usaha pencegahan rasuah dengan telus dan tegas tanpa mengira pangkat dan kedudukan dan tanpa mengambil kira sama ada kes rasuah itu berprofil tinggi atau rendah," titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bertitah bahawa baginda mengambil maklum dan mendengar rungutan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan yakin segala keluhan sedang ditangani dengan sewajarnya oleh kerajaan.
Seri Paduka juga bertitah lawatan rasmi Perdana Menteri ke China baru-baru ini merupakan lawatan yang berjaya dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan erat dan persahabatan dua hala.
Baginda percaya penghormatan masyarakat luar adalah kerana kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik.
"Sesungguhnya pengiktirafan dan penghormatan masayarakat antarabangsa ke atas negara kita membolehkan kita memainkan peranan yang aktif di dalam menangani pelbagai isu antarbangsa", titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan terima kasih kepada anggota perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan yang telah memberi khidmat bakti mereka dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara.
"Beta berdoa agar kerajaan dan rakyat terus berdamping dan berusaha dalam satu arah dan satu haluan bagi mendukung cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi serta beretika dan bermoral", titah baginda.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...