Selasa, Ogos 05, 2014

KEMELUT MB SELANGOR - KHALID WAJIB DIBERI KEADILAN - WFAUZDIN NS [ Blogger PKR ]

SEJAK dua tiga menjak ini aku lihat banyak betul rakan-rakan yang kongsi artikel dan laporan palsu kononnya PKR telah memecat TS Khalid Ibrahim, MB Selangor yang isunya hangat diperbahaskan sekarang ini.

Walaupun terbukti berita itu tidak benar, namun secara peribadi aku amat tidak setuju jika PKR memecat TS Khalid tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam parti.  Pecat seseorang mestilah bersebab dan serius salah lakunya.  Orang itu juga mesti terlebih dahulu diberi surat tunjuk sebab atau dipanggil membela diri agar beliau dapat mempertahankan dirinya.  Kita tidak mahu PKR dilihat rakus dan zalim.

Secara peribadi aku menyokong usaha parti untuk menyelesaikan kemelut MB Selangor sekarang ini tetapi bukan dengan cara memecat beliau.  Parti punyai hak untuk menaikkan seseorang menjadi calon pilihanraya, begitu juga untuk memberi amanah untuk menjadi MB.  Bila parti rasa perlu melakukan pertukaran atas sebab-sebab tertentu, maka itu juga hak parti.  Selaku rakan di dalam Pakatan, tentunya hak memilih atau mengganti seseorang MB itu mestilah dikongsikan bersama rakan-rakan untuk dipersetujui bersama jika boleh.

Di dalam isu MB Selangor, PKR merasakan sudah sampai masanya TS Khalid berundur.  Memandangkan TS Khalid itu ahli PKR dan Kerusi MB itu telah diamanahkan sebelum ini kepada PKR, maka tentulah PKR terpaksa memilih siapa penggantinya.  Soal calon yang dipilih oleh PKR itu layak atau tidak menjadi MB Selangor, itu semua bergantung kepada persetujuan rakan-rakan dari DAP dan PAS. Jadi, tidak timbul soal menamakan calon dari PKR itu mesti dirujuk terlebih dahulu kepada DAP dan PAS.  Di peringkat mencalonkan atau menamakan calon itu, itu adalah hak PKR.  Tetapi harus ingat, layak atau tidak, diterima atau tidak, itu pula adalah hak DAP dan PAS.  Kerusi MB Selangor bukan hak PKR, tetapi Kerusi itu adalah hak Pakatan yang akan membuat keputusan.

Adakah PAS juga boleh menamakan calon dari partinya?  Jawapannya tentulah boleh.  Tetapi jangan lupa, pada Mesyuarat Majlis Presiden PR yang pertama, kesemuanya sepakat secara dasarnya bersetuju bahawa Kerusi MB Selangor adalah untuk PKR.  Cuma, PAS dan DAP mahu rujuk dahulu kepada parti masing-masing tentang nama calon yang dicadangkan oleh PKR.  Seandainya PAS meletakkan nama calon dari parti berkenaan pada mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos nanti, ini menunjukkan PAS gagal mematuhi persefahaman yang dicapai pada Mesyuarat Majlis Presiden PR yang pertama.  Tidak mungkin PAS akan berbuat demikian.

PAS dan DAP boleh tolak nama calon yang dicadangkan oleh PKR iaitu DS Wan Azizah, tetapi Kerusi MB Selangor tetap untuk PKR seperti yang dipersetujui.  Ertinya, ada calon lain dari PKR sebagai alternatif untuk menggantikan Azizah.  Siapa orang itu?  Jika Azmin, aku rasa kemelut tidak akan selesai juga.  Siapa tokoh lain di Selangor selain dari Azizah, Azmin dan Khalid?  Pada aku tiada.

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng