Tindakan sabotaj tidak menjejaskan bekalan air mentah ke loji rawatan air, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi.
"Para pengguna tidak perlu khuatir kerana tindakan sabotaj ini sama sekali tidak menjejaskan bekalan air terawat kepada semua pengguna," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, kerajaan negeri sekali lagi berdepan tindakan sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap usaha memastikan bekalan air mentah yang cukup sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Menurut beliau, kejadian sabotaj itu berlaku sekitar jam 2.30 pagi kelmarin.
"Pasukan yang bertugas di tempat pengepaman air telah mengesan sejumlah enam buah 'powerpack' pam yang berfungsi untuk mengalihkan air ke kolam telah dirosakkan.
"Semua kabel pada pam berkenaan telah dipotong," kata Dr Ahmad Yunus.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan bertugas yang telah mengambil tindakan pantas untuk memastikan kerosakan ini tidak berlarutan.
Pasukan petugas itu telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengatasi perbuatan khianat itu, katanya sambil menambah laporan polis akan dibuat mengenainya.
Katanya, laporan polis juga telah dibuat pada 27 Julai atas insiden sabotaj yang berlaku sebelum ini.
"Kerajaan negeri menuntut agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan dan melakukan siasatan secepat mungkin agar insiden sebegini tidak berulang," katanya.
mk
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...