Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, Ogos 21, 2014

TERBONGKAR!! APA KATA EXCO PAS TENTANG MB SELANGOR

Dr Halimah (tengah) ketika sidang media di pejabatnya, semalam.

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipuji exco daripada Pas sebagai seorang ketua yang bijak dalam menguruskan kewangan sehingga mampu meningkatkan rizab kepada lebih RM3 bilion.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, walaupun Menteri Besar Selangor itu disifatkan seorang yang kedekut dalam meluluskan peruntukan negeri namun, sikap berhati-hati beliau itu untuk kepentingan rakyat.

“Dengan beliau bila minta RM1 pun susah nak bagi tetapi kalau kita beri hujah yang bagus, Abdul Khalid tiada masalah untuk meluluskan peruntukan.

“Apabila kita bentangkan sesuatu pelan itu, perkara yang paling diutamakan Abdul Khalid adakah ia bawa kepentingan rakyat. Jika perancangan tidak memberangsangkan dan tidak meyakinkan beliau, sudah tentu tidak diluluskan dan kita semua tahu sikapnya,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, semalam.


Mengenai isu yang menuduh Abdul Khalid membelakangkan Adun ketika membuat keputusan besar negeri termasuk isu penstrukturan air, Dr Halimah berkata, isu itu ada dibentangkan dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Dalam mesyuarat exco kita membincangkan banyak perkara besar termasuk perjanjian persefahaman (MoU) air dan ia bukan perkara baharu dah lima tahun kita bincangkan penstrukturan industri air di Selangor.

“Sepanjang enam tahun bekerja bersama, Abdul Khalid merupakan seorang yang mendahului kepentingan rakyat. Beliau bukan seorang yang boleh mengubah keputusan dalam sekelip mata tetapi akan berfikir panjang sebelum setuju,” katanya.

Dr Halimah ketika ditanya sama ada tindakan PR menyingkirkan menteri besar itu adalah satu kehilangan besar buat Selangor, beliau berkata, setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

“Kita semua ada kelebihan masing-masing tetapi apa yang membezakan adalah berapa besar kerugian yang kita hadapi sekiranya kita hilang seseorang itu bergantung kepada kredibilitinya,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut keputusan Pas yang turut mengikut jejak PKR dan DAP menolak kepimpinan Abdul Khalid adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan menteri besar itu melakukan tugas dengan baik dalam mentadbir negeri.

“Saya tidak boleh komen mengenai ini kerana terikat. Saya berada di sini meneruskan tugas exco demi untuk kepentingan rakyat. Itu hal politik biarlah pucuk pimpinan yang tentukan.
“Mengenai pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula, dalam mesyuarat exco kita tidak ada membincangkan mengenai politik. Itu keputusan politik dalam parti, saya di sini bukan untuk mengadili mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, portfolio enam exco yang telah dipecat masih berjalan seperti biasa dan segala peruntukan dalam mesyuarat exco yang telah diluluskan tidak dibekukan.

Katanya, meskipun sekarang hanya ada empat exco tetapi semua program yang telah dirancang untuk enam exco yang lain sebelum ini tetap diteruskan.

“Buat masa sekarang kita laksanakan tanggungjawab terkumpul. Mesyuarat Exco, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan mesyuarat khas lain masih berjalan seperti biasa.
“Kita jemput pegawai-pegawai di bawah enam portfolio terbabit, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upens) dan lain-lain berkaitan untuk bincang dan selesaikan masalah berbangkit.

“Semua program merakyatkan ekonomi Selangor (MES) seperti Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan lain-lain tetap diteruskan dan rakyat berkelayakan boleh terus memohon bantuan yang sesuai,” katanya.

Dr Halimah berkata, pengurusan pentadbiran negeri diteruskan seperti yang telah dirancang selagi tidak berlaku pembubaran Dun.

“Selagi Dun tidak dibubarkan, semuanya berjalan seperti biasa. Walaupun hanya empat exco dan menteri besar sahaja, kami akan teruskan. Kita buat apa yang boleh dilakukan.
“Sekarang ini kami adalah PR yang terakhir mentadbir negeri dan tugas diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau yang menolak soalan berbaur politik menegaskan, apa yang berlaku di Selangor adalah di luar jangkaan dan bukan yang sesuatu yang diharapkan berlaku.

“Berada dalam keadaan ini bukan kami minta tetapi kami perlu kekalkan kedudukan ini supaya keadaan stabil dan penjawat awam tak takut buat kerja,” katanya.

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...