Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, Ogos 14, 2014

Selangor lulus RM50 juta bina Maahad Tahfiz Sains Integrasi


Dr HalimahSHAH ALAM, 14 OGOS: Kerajaan Selangor meluluskan pembinaan tambahan Sekolah Maahad Tahfiz Sains Integrasi di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Sehubungan itu, katanya sebuah jawatankuasa baru yang diketuai Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar sudah dibentuk bagi memastikan kelancaran pembinaan maahad integrasi berkenaan.

“Jawatankuasa yang diketuai Exco Perumahan itu adalah untuk memastikan reka bentuk sekolah berkenaan akan menepati satu iklim pembelajaran yang akan melahirkan modal insan terbaik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Kerajaan Selangor kini dalam proses untuk memastikan sekurang-kurangnya terdapat satu Maahad Integrasi Tahfiz Sains di setiap daerah di negeri ini yang akan dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Setakat ini, sebanyak tiga buah maahad tahfiz telah diwujudkan di Selangor.


Dalam pada itu, Halimah turut memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor bersetuju untuk meneruskan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina Ting Hwa, Tong Hwa, Chung Hwa dan Pin Hwa.

Katanya agihan sebanyak RM500,000 kepada setiap sekolah itu akan disempurnakan bersama oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 23 Ogos di Klang.

Dalam sidang media sama, beliau berkata satu dasar baru iaitu Anugerah Exco Pendidikan telah diluluskan di mana Kerajaan Negeri akan memberi anugerah kepada pelajar terbaik di insitusi pendidikan milik Selangor.

“Peringkat sijil atau diploma akan diberikan sebanyak RM1,000, manakala untuk peringkat Ijazah bagi pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Universiti Selangor (Unisel) dan pelajar luar negara kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebanyak RM2,500,” katanya.

Selain itu, Exco juga bersetuju meluluskan peruntukan tambahan bagi Jabatan Kebajikan Negeri Selangor berjumlah RM3.4 juta untuk penggunaan tahun ini.

“Ia adalah bagi menampung perbelanjaan di mana ada trend berjumlah sekitar 55 kes sebulan dianggarkan yang memerlukan peruntukan tambahan,” katanya lagi.

sk

1 ulasan:

  1. Kerajaan Selangor meluluskan pembinaan tambahan Sekolah Maahad Tahfiz Sains Integrasi di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta, pakai duit Khalid gagap ke ?

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...