Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Jun 24, 2015

Terbaru : Wawasan Almarhum UFN dan Almarhum TGNA - YB Khalid Samad


Foto Saya


Ramai yang menyebut nama kedua Almarhum UFN dan Almarhum TGNA dengan penuh kagum dan kasih sayang. Tidak kurang juga yang mengaku diri mereka sebagai pengikut kedua-dua tokoh ini. Namun malangnya, ramai pula yang tidak memahami dengan jelas wawasan yang dibawa oleh kedua tokoh ini. Kedua-dua mereka mempunyai wawasan untuk menjadikan PAS sebagai sebuah parti politik arus perdana dengan Islam dilihat sebagai pembela nasib rakyat.

Selama ini, sebelum mereka berdua berjaya membawa wawasan mereka ini, PAS dilihat sebagai sebuah parti yang membawa isu-isu yang dipentingkan oleh hanya sebahagian kecil ummat Islam. Pengaruh PAS terhad hanya kepada golongan tertentu dan PAS tidak dilihat sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan keadilan untuk keseluruhan rakyat, samada Muslim atau bukan Muslim.

PENDEKATAN BAHARU

Melalui pendekatan baharu yang bersifat inklusif, kedua mereka telah berjaya mengubah imej PAS dan dengan itu membetulkan imej Islam itu sendiri. PAS mula dilihat sebagai parti yang membela nasib rakyat dan Islam ditonjolkan sebagai agama pembawa rahmat untuk seluruh manusia. Hasil dari itu maka penerimaan rakyat terhadap PAS semakin meningkat dan semakin ramai menjadi ahli untuk menggerakkan wawasan yang dibawa mereka berdua.

Perjuangan PAS yang dibawa dijelaskan mereka berdua melalui bahasa-bahasa kontemporari berhubung keadilan, ketelusan, kebajikan dan ‘good governance’ atau tata kelola yang baik. Mereka mengambarkan betapa nilai dan akhlak Islam menjamin pentadbiran yang telus dan adil dan betapa ianya akan mendatangkan manfaat kepada semua manusia. Oleh kerana bahasa dan mesej yang bersifat inklusif, maka PAS telah mampu menghasilkan suasana kondusif untuk memungkinkan kebersamaan rakyat, NGO dan parti pembangkang yang lain.


KEPENTINGAN TAHALUF SIYASI
Keterbukaan mereka memungkinkan ‘tahaluf siyaasi’ diamalkan secara ikhlas dan jujur sehingga terbentuknya Barisan Alternatif pada tahun 1999. Selepas pemergian Almarhum UFN, maka wawasannya terus diperjuangkan oleh Almarhum TGNA dan saff pimpinan yang telah dibentuk bersamanya sejak sekian lama. Maka terhasil pula Pakatan Rakyat.

Kesanggupan PAS untuk berkerjasama dengan parti politik lain yang turut mempunyai kommitmen terhadap pembentukan masyarakat yang adil dan berkebajikan hanya menambahkan populariti PAS di kalangan masyarakat umum. Perbezaan antara parti dihormati dan tiada usaha untuk memaksa sikap dan pendirian PAS ke atas mana-mana pihak. PAS melalui Almarhum TGNA mengambil pendekatan menerang dan memujuk, khususnya terhadap rakan PR dan bukan memaksa dan mengugut.

HUBUNGAN PERIBADI ANTARA PIMPINAN

Kommitmen Almarhum TGNA terhadap PR tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Pada zaman Almarhum, hubungan peribadi antara pimpinan parti PR semakin rapat. Samada dengan DSAI atau pimpinan DAP seperti LKS, LGE dan mendiang Karpal Singh, TGNA mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan mereka.

Almarhum TGNA pernah mengingatkan kami bagaimana Almarhum UFN mempunyai hubungan baik dengan DSAI dan pimpinan DAP dan bagaimana ianya perlu demi memenangkan perjuangan Islam yang diperjuangkan. Almarhum juga pernah menyebut bahawa apa yang beliau lakukan adalah untuk meneruskan kaedah dan pendekatan Almarhum UFN di mana sikap Islam bukan sekadar disebut tetapi dihayati.

Tiada siapa yang boleh lupa bagaimana Almarhum UFN telah ke rumah DSAI sebaik sahaja DSAI dipecat oleh Dr. Mahathir, ketika banyak pihak yang bergembira di atas pemecatan tersebut. Selain dari ianya menzahirkan perasaan persahabatan yang tulus ikhlas, ianya juga memperlihatkan sikap menentang kezaliman yang tegas, walaupun yang dizalimi bukan dari parti yang sama.

Almarhum UFN dan TGNA memahami bahawa hubungan peribadi yang baik dan rapat amat penting untuk menjayakan PR. Adalah mustahil untuk PR berfungsi dengan jayanya sekiranya pimpinan tidak bertemu dan menjalinkan hubungan! Dan hubungan ini satu hubungan yang ikhlas dan tulus supaya semua terlibat dapat merasa yakin bahawa dengan PAS semua pihak akan memperolehi keadilan dan pembelaan serta tidak sama sekali akan dizalimi apatah lagi dikhianati.

PAS pada ketika itu dilihat sebagai pembawa obor harapan baharu untuk rakyat jelata. Sehingga di bawah kepimpinan mereka berdua, dapat dilihat bagaimana golongan bukan Islam mula mendampingi PAS dan PAS juga mendampingi mereka.

HUBUNGAN DI SEMUA PERINGKAT

Pada zaman tersebut, pimpinan PAS di semua peringkat digalakkan untuk membentuk hubungan yang rapat dengan rakan-rakan di dalam PR. Diperingkat Pusat, program bersama diadakan di mana masalah negara dibincang bersama dan penyelesaian dicadangkan berdasarkan kefahaman dan dasar masing-masing. Didapati bahawa walaupun asas dan sebab mungkin berbeza, tetapi dalam kebanyakan isu kesemua pihak telah berjaya mencapai kata sepakat.

Penyelarasan juga dilakukan di peringkat Parlimen. Ahli Parlimen PR hadir majlis penerangan dan dialog bersama dan menyelaraskan hujjah berhubung isu yang dibahas di Parlimen. Secara khususnya, usaha penyelarasan pemikiran Ahli Parlimen PR banyak dilakukan pada sesi Parlimen ke 12 iaitu dari tahun 2008 hingga ke 2013.

Semua ini dilakukan untuk menyelaraskan pandangan bersama dalam usaha untuk PR dijadikan sebuah pakatan yang kukuh yang dilihat mampu menggantikan UMNO/BN. Rakyat tidak akan serahkan amanah pemerintahan kepada satu Pakatan yang berbalah dan bersengketa siang dan malam. Maka golongan yang senjaga menimbulkan sengketa semestinya merupakan golongan yang tidak ingin PR menggantikan BN!

KEMBALI KEPADA LANDASAN BETUL?

Malangnya, dewasa ini, usaha menghasilkan hubungan yang semakin rapat antara PAS dan PKR serta DAP dilihat sebagai satu ‘penyelewengan’. Usaha menzahirkan perbezaan dan perbalahan semakin ditingkatkan dan segala persamaan dianggap sebagai hasil ‘penggadaian prinsip’. Pendekatan yang pernah dialu-alukan oleh UFN dan TGNA semakin dipandang serong. Perkembangan ini tidak menghairankan kerana yang berpandangan begitu adalah muka-muka baru dalam PAS. Mereka sememangnya tidak pernah berinteraksi dengan anggota dan pimpinan PKR dan DAP selama ini!

Usaha usaha penyatuan dan penyelarasan fikrah dilakukan hanya oleh pimpinan yang memahami dan menghayati wawasan UFN dan TGNA. Sepertimana juga usaha memantapkan DHPP telah dilakukan oleh kumpulan yang sama! Kalau difikir sejenak, yang pandai-pandai mencadangkan DHPP menggantikan DAP tidak pernah terlibat dalam usaha pembentukan DHPP dari awal hingga ke saat ini! Dan tidak difahami mereka bahawa peranan DHPP bukan untuk menggantikan DAP tetapi sebaliknya saling melengkapi.

MENCACI DAN MENGHERDIK RAKAN

Pada masa yang sama mencaci dan mengherdik rakan PR dianggap sesuatu yang perlu digalakkan. Ia sebagai bukti kesetiaan kepada PAS dan tidak berwala’ kepada PR atau PKR atau DAP. Maka sebarang usaha membela PKR atau DAP dalam sesuatu isu, walaupun jelas asasnya, dilihat sebagai khianat kepada PAS!

Sebagai contoh, isu Kota Damansara. Isu pil kuda. Isu pilihanraya Majlis Tempatan yang PAS sendiri pada tahun-tahun 70an menyokongnya. Isu menolak TSKI sebagai MB Selangor dan banyak lagi. Semua isu ini tidak lagi mampu dibahas secara rasional dan terbuka tetapi diputar-belit untuk dijadikan penentu wala’ atau ‘kesetian’ seseorang ahli atau pemimpin.

Apabila sifat ta’asub menjadi asas membuat keputusan, sudah pasti kerhancuran menanti!

BAHASA ASING PADA PAS

Secara tiba-tiba pula bahasa yang selama ini asing pada PAS mula kedengaran malah semakin lantang. Istilah seperti ‘barua’, ‘broker’, ‘jentik’, ‘siku dan lutut’, ‘calar mencalar’, dan sebagainya merupakan pembaharuan yang tidak pernah didengan sebelum ini dan tidak dialu-alukan. Ini jelas merupakan satu penyimpanggan dari hala-tuju dan jalan yang dibawa Almarhum UFN dan Almarhum TGNA. Malahan ianya merupakan usaha mengembalikan PAS kepada pendekatan sebelumnya. Dan amalan menghukum dan saling mengkafirkan pun sudah mula kembali.

KEPERLUAN MEMPERTAHANKAN WAWASAN UFN & TGNA

Dalam suasana kecelaruan ini, wawasan Almarhum UFN dan Almarhum TGNA telah semakin diketepikan. Sedangkan ianya jauh lebih menepati ajaran Islam berbanding pendekatan syadid, keras dan suka menghukum. Pada masa yang sama, pendekatan yang diamalkan Almarhum UFN dan TGNA telah terbukti keberkesanannya.

Oleh itu, amat sangatlah perlu, demi menjaga imej Islam itu sendiri dan kejayaan yang telah diperolehi perjuangan Islam; bahawa wawasan mereka berdua ini difahami, dipertahan dan diwar-warkan. Ini adalah misi yang perlu dibawa oleh saff pimpinan yang digelar sebagai ‘progressives’ oleh media tempatan. Dalam usaha ke arah itu, mereka mesti berani dan lantang supaya obor harapan perjuangan Islam dan rakyat tidak akan terpadam, insyaAllah.

Sebelum berakhir, perlu saya sebut bahawa Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa (TGYR), Mursyidul ‘Am pertama PAS, juga mempunyai wawasan yang sama dengan Almarhum UFN dan TGNA. Hanya ketika beliau mengambil alih kepimpinan PAS, suasana politik pada ketika itu tidak mengizinkan wawasan ini dilaksanakan olehnya. Namun Almarhum telah memulakan langkah-langkah pertama ke arahnya.

Saya masih ingat bagaimana seronoknya Almarhum TGYR selepas saya berforum di sebuah hotel di Penang dengan menjelaskan wawasan politik Islam kepada masyarakat bukan Islam dalam Forum berbahasa Inggeris. Beliau menyebut pada saya dengan penuh gembira, “ana dapat maklum balas yang baik dan positif dari kawan-kawan bukan Islam yang hadir...” sambil tersenyum lebar. Amat jelas beliau juga inginkan PAS bergerak dalam orbit yang lebih luas dari kebiasaannya dan dibawa ke tengah medan politik negara dan tidak lagi dipinggirannya.

KESIMPULAN

Yang terpenting bukan jawatan atau kedudukan. Hilang jawatan dan kedudukan perkara biasa dan telah banyak kali dilalui. Yang paling penting adalah risalah yang dibawa. Jangan sama-sekali dibenarkan risalah ini dicemari dan diperkosa.

Wawasan yang dibawa semestinya merupakan penjelmaan risalah ini secara tepat dan menyeluruh. Dan inilah di antara kejayaan kedua-dua tokoh Islam yang disanjung dan dirindui, iaitu Almarhum UFN dan TGNA. Mereka telah berjaya membawa wawasan perjuangan yang tepat dengan risalah Islam melalui kata-kata dan amalan mereka.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mempertahankannya dengan segala kudrat yang ada.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

2 ulasan:

  1. YB Khalid. Assalamualaikum WHB.
    Saya adalah di antara yang terawal meendaftar menjadi AHLI PAS seumur hidup pada tahun 98, selepas DSAI di Ganyang olih UMNO, diman sebelum itu itu saya ialah AHLI UMNO Tegal. Mengikuti perkembangan mutakhir didalam PAS, saya benar2 merindui UFN dan TGNA. Saya tidak begitu kenal secara dekat dengan mereka berdua, tapi setiap luahan dan perencanaan yang mereka bawa amat memberi kedamaian sebagai rakyat biasa, Saya cuma secara kebetulan bertemu mereka berdua kalau tak silap di Serawak.....Kesimpulan saya hari ini YB, cepatlah tubuhkan PART PENGGANTI yg dimaksudkan, dan saya ingin menjadi yang terawal yang akan mendaftar sebagai AHLI. Insya ALLAH.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam :

      Saya pun mempunyai kondisi yg sama macam tuan, tak sabar-sabar menunggu parti baru untuk Pakatan (2.0).Pas memang tak boleh dipulihkan lagi, jika kita bersama PAS kita akan membuang masa,tenaga dan wang,Kerana apa sebab PAS sekarang tiada VISI perjuangan yg jelas, kadang2 "Matlamat menghalalkan cara"Akhlak islam di buang jauh sesama orng islam,apatah lagi dgn orang2 bukan islam.Laba jawatan menjadi tujuan utama sehingga sanggup meningalkan prinsip islam...

      Padam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...