GEORGETOWN - Umno Pulau Pinang menyifatkan Kerajaan Pulau Pinang mengamalkan sistem pemerintahan kuku besi apabila bertindak merobohkan struktur logo Umno di Menara Umno, Jalan Macalister, Jumaat lalu.
Setiausahanya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kerajaan negeri sengaja cari pasal dengan Umno dengan merobohkan struktur logo itu sedangkan notis yang diberikan meminta supaya memberhentikan kerja pemasangan.
“Umno kesal dengan kejadian tempoh hari. Mengapa Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail membenarkan seorang ahli majlis memberi arahan kepada penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk melakukan kerja-kerja ini?
“Oleh demikian, kita menyerahkan satu memorandum kepada MBPP bagi membantah tindakan itu. Mereka masih keluarkan notis berhenti kerja serta merta walaupun pemilik bangunan, JKP Sdn Bhd sudah mengemukakan rayuan,” katanya kepada media di Tingkat 3, Komtar hari ini.
Sebelum itu, Musa bersama beberapa pemimpin dan ahli Umno menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MBPP, Mohd Feroze Md Noor kira-kira jam 11.45 pagi semalam.
Musa berkata, tindakan MBPP merobohkan struktur logo Umno tidak mengikut peraturan kerana langsung tidak memberi masa untuk pihaknya menurunkan struktur itu.
“Kami rasa kesal dengan tindakan mereka. Surat rayuan sudah diserahkan pada 19 tetapi mereka tetap ambil tindakan dengan cuba nak robohkan (struktur bangunan itu). Apa perasaan DAP sekiranya logo mereka diturunkan?
“Umno bukan samseng, kita nak berkawan dengan semua orang. Kalau ada undang-undang yang memerlukan kita untuk buat permohonan, kita akan buat permohonan, tak ada masalah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sedang berbincang sama ada akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.
“Sama ada nak ambil tindakan undang-undang atau tidak, saya akan berbincang dengan Umno negeri.
“Sekiranya perlu, kita akan laksanakan. Semua tertakluk kepada perbincangan kelak,” katanya.
Sementara itu, wakil JKP Sdn Bhd yang enggan dikenali berkata, surat permohonan untuk mendirikan struktur logo Umno itu tidak diterima di kaunter MBPP.
Menurutnya, MBPP meminta permohonan dibuat secara online.
“JKP Sdn Bhd sudah menghantar surat sejak semalam dan sehingga kini MBPP dilihat seolah-olah berdolak-dalik dan mengamalkan birokrasi dalam menyelesaikan isu berkenaan.
“Mereka suruh kita buat permohonan kita dah buat permohonan. Tapi permohonan tidak diterima malah mereka suruh kita membuat permohonan lain secara online pula. Bila ditanya bagaimana nak mohon secara online mereka pun tidak tahu,” katanya.
Semalam, MBPP mengesahkan struktur logo ‘Umno’ di bangunan Umno, Jalan Macalister di sini adalah struktur haram dan tidak mempunyai permit.
Berikutan itu, MBPP bertindak merobohkannya mengikut undang-undang bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada Jumaat lalu.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...