MENJADI Muslim adalah suatu perkara yang mudah. Berasaskan lafaz syahadah seseorang boleh menjadi Muslim. 
 Manifestasi daripada syahadah terbina dengan ibadah, mematuhi syariah untuk menjadi manusia berakhlak dan berdisiplin. 
 Etika dan disiplin adalah sesuatu yang amat penting bagi seseorang Muslim apalagi Mukmin.
 Islam menjadi mudah kerana adanya asas aqidah dan menjadikan keyakinan kepada Pencipta landasan beragama. 
 Ibadah terjadi kerana hikmah daripadanya amat besar dan nyata, syariah 
dipatuhi supaya ada disiplin pada diri dan tahu batas larang dalam 
kehidupan dan akhlak menjadi pakaian diri supaya menjadi cerminan kepada
 yang lain.
 Bila asas-asas Islam itu diingkari dan dipermudahkan, umat Islam sering terdedah dengan syirik, kesesatan dan sikap melampau. 
 Melakukan solat umpamanya ikut sempat dan kelapangan diri, asas syariah
 dalam hukum-hakam yang memandu kehidupan tidak dipatuhi dan akhirnya 
sahsiah Islami tidak terlihat dan dirinya tidak menjadi sumber teladan 
dan ikutan orang lain.
 Mudahnya Islam kerana apa saja yang dilakukan meninggalkan kebaikan kepada penganutnya. 
 Melakukan solat mendidik hati menjadi hamba yang taat dan khalifah yang amanah. 
 Lantaran solat yang khusyuk dan fokus membawa resam patuh, akur dan tunduk. 
 Kalau faktor alamiah seperti cakerawala, bintang dan galaksi patuh 
kepada Sunnatullah ia membayangkan ketertiban dan keteraturan serta ia 
penting juga bagi manusia.
 Melakukan siyam atau berpuasa umpamanya mendidik hati dan diri mengenai
 pentingnya ketahanan diri dibina, di samping keinsafan yang membawa 
kita menghargai golongan miskin dan tidak berada serta membangun kualiti
 manusia yang tidak saja memikirkan kesejahteraan diri tetapi juga 
memikirkan kesejahteraan orang lain.
 Menunaikan zakat, fitrah dan sedekah ibarat membersihkan harta kerana 
pada harta dan rezeki yang ALLAH kurniakan ada bahagian orang lain yang 
perlu disempurnakan. 
 Ia menimbulkan perasaan kasih sayang dan timbang rasa sesama manusia.
 Bila rukun haji disempurnakan bagi yang mampu ia melambangkan tekad 
tinggi manusia untuk kembali kepada ALLAH, di samping membina jiwa 
alamiah dengan memahami bahawa Islam adalah agama rahmah alamiah. 
 Umat manusia berkumpul di Masjidil Haram melakukan tawaf dan wuquf di 
Arafah lambang wujudnya kesatuan ummah yang dituntut oleh agama.
 Melakukan ibadah yang terpancar sebagai sumber amal soleh hikmah 
kembali kepada diri sendiri. Memiliki sifat amanah, bercakap benar, 
belajar dan mengembangkan ilmu yang bermanfaat, jujur dan ikhlas dalam 
melakukan sesuatu, mematuhi titah perintah ALLAH dan menjauhi 
larangannya adalah sesuatu fitrah sifatnya kerana dalam diri manusia 
memiliki upaya mahmudah dan jiwa sakinah yang memimpin manusia sentiasa 
melakukan sesuatu dalam reda ALLAH.
 Bayangkan kehidupan sebaliknya yang bergelumang dengan kemungkaran dan 
kefasadan, jiwa tidak tenteram, hati tidak telus dan tulus, nafsu-nafsi 
sering mengheret manusia menjadi lupa dan lalai. 
 Manusia hanya memikirkan keseronokan duniawi dengan sedikit rahmah dan 
nikmah yang ALLAH kurniakan dan berasakan keseronokan dunia adalah 
segala-gala dan pertimbangan dosa-pahala dan akhirat tidak ada dalam 
kamus kehidupan.
 Lazimnya keadaan begini akan membawa kepada penyesalan dan kerugian 
akhirnya. Surah Al Asr memberikan kita peringatan betapa manusia itu 
sentiasa dalam kerugian, melainkan orang-orang beriman dan beramal soleh
 dan berpesan-pesan ke arah kebenaran dan kesabaran.
 Berpesan-pesan ke arah kebenaran ini menjadi sesuatu yang amat penting bagi seseorang Muslim dan Mukmin. 
 Sama ada ia dakwah atau pun tarbiah sifatnya mengajak manusia tidak 
saja mengenal kebenaran tetapi ia diamalkan supaya memberi kebaikan 
kepada yang lain dan sumber contoh dalam melakukan sesuatu.
 Berpesan-pesan ke arah kesabaran lantaran mad’u memiliki latar yang 
pelbagai. Melakukan dakwah dan tarbiah adalah peranan dai’. 
 Faktor asbab adalah daripada kita tetapi memberi hidayah adalah kerja 
ALLAH. Berpesan-pesan memerlukan hikmah, strategi, memahami sasaran 
dengan baik dan lakukan dengan nasihat serta contoh teladan yang baik.
 Justeru, Islam agama yang tidak menyusahkan. Menjadi seorang Muslim dan
 Mukmin terbaik menjadikan kita manusia yang tenang dan damai serta 
menampilkan kesejahteraan dalam hidup. 
 Meskipun menjadi seorang Muslim yang alimin dan amilin bakal memberi 
manfaat dan pedoman memandu kehidupan yang soleh dan solehah.
 * Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
PAS hilang identiti sebagai parti yang berasaskan Islam apabila membiarkan "budaya kempen kotor dan penuh fitnah" dalam pemilihan parti ...
BalasPadamMEMBANGUN BERSAMA KEPIMPINAN CAI yg WUJUD akhlak membarua, mentolol dan menjebonkan orang lain