KUALA LUMPUR 21 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menganggarkan penjimatan sekurang-kurangnya RM20 hingga RM30 billion sekiranya semua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dapat dihentikan.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi menjamin perbelanjaan kerajaan yang lebih efisyen dan teratur, PR akan mengambil tindakan tegas terhadap kementerian yang terbabit dalam salah laku serta pembaziran seperti dilaporkan.
Beliau berkata, pembaziran perbelanjaan yang dikenal pasti adalah membabitkan Kementerian Pelajaran Malaysia berjumlah RM2.051 billion dari tahun 2010 ke 2012 yang digunakan untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah dan institusi pengajian tinggi daripada jumlah RM3.689 bilion peruntukan yang disalurkan.
“Walaupun berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang dibenarkan bertugas.
“Selain itu, kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah,” katanya ketika bercakap dalam sesi pembentangan Belanjawan PR 2014, di Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, PR akan melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan dalam usaha mencapai pengurangan perbelanjaan sebanyak 10 peratus.
“Perkara ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan. PR juga menyarankan pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam pemberian kontrak dan perokumen peralatan.
“Selain itu, pelaksanaan lain adalah kekemasan mekanisma subsidi dan pengawalan barangan subsidi seperti petrol, diesel, gula serta tepung bagi mengelak salah guna subsidi,” katanya.
Katanya, tindakan itu harus dilaksanakan sebagai usaha mengkaji semula keutamaan perbelanjaan negara dengan mengurang dan menghapuskan program yang tidak berkesan serta kurang berkepentingan. -NFN-
Selangorku
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...