Isnin, Oktober 21, 2013

PR tunda bentang bajet, elak diciplak - DSAI

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Pakatan Rakyat (PR) akan mengumumkan laporan lengkap Belanjawan PR 2014 sehari sebelum kerajaan Barisan Nasional membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat ini.
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan kerajaan BN "menciplak" idea dan rangka belanjawan pembangkang seperti mana yang berlaku pada tahun lalu.
 
"Butiran terperinci (Belanjawan PR) akan disiapkan dalam tempoh tiga hari kerana sebelum ini kita pernah siapkan seminggu lebih awal namun ia telah dicuri oleh kerajaan BN tanpa memaklumkan hal tersebut.
 
"Kami tidak kisah jika kerajaan Datuk Seri Najib mengambilnya dan berterima kasih dengan cadangan PR itu, tetapi kami tidak lihat perkara itu dilakukan sebaliknya," katanya kepada pemberita semasa membentangkan Pra-Belanjawan PR 2014 di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Jelas Anwar, Belanjawan Alternatif 2014 PR akan memperkenalkan reformasi fiskal dalam memastikan pencapaian defisit fiskal bajet pada kadar tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dicapai menjelang 2015.

Selain itu katanya, langkah itu membolehkan Malaysia mencapai lebihan bajet selewat-lewatnya pada 2018 sekali gus negara berupaya mengatasi kemelut hutang pada masa akan datang.

"Reformasi fiskal ini dijangka membolehkan Malaysia keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM500 bilion dan pembayaran hutang yang melebihi RM20 bilion setahun," katanya.

Tambahnya, kebergantungan pertumbuhan ekonomi negara yang berasaskan pinjaman juga akan beralih kepada pertumbuhan ekonomi yang dijanakan oleh aktiviti perbelanjaan kerajaan.

Bagi menjamin perbelanjaan kerajaan yang lebih efisien dan teratur, PR juga memperkenalkan program rasionalisasi kos dengan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 10 peratus untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan.

"Ia dapat dicapai dengan penangguhan sementara kenaikan elaun menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan, mengkaji semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan dan mengawal barangan subsidi daripada disalahgunakan," katanya lagi.

Bagi mencapai matlamat itu juga, PR mencadangkan supaya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan kerana ia dilihat lebih membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kajian menyeluruh mengenai trade-off cukai korporat atau peribadi dengan GST dilakukan dan diperjelaskan kepada rakyat untuk mengelakkan rakyat dibebani dengan pertambahan cukai," katanya lagi.
 
Sinar Harian

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng