1 korban, 5 cedera nahas pesawat di Kudat
“Kemaskini penumpang yang cedera akan disahkan dalam kenyataan selepas ini,” menurut kenyataan Malaysia Airlines.
Twin Otter itu terbabit nahas di hadapan sebuah rumah yang terletak di kampung Sin San, Kudat dalam suatu kejadian yang berlaku semasa sembahyang Asar petang tadi.
Dalam kejadian tersebut, juruterbang pesawat tersebut dikatakan patah kaki manakala dua orang yang lain cedera parah.
Kumpulan penyelamat 10 orang yang diketuai oleh Abd Mujun tiba di tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
Mereka berjaya mengeluarkan seramai 16 lagi mangsa kejadian yang mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mereka dilaporkan dibawa ke Hospital Kudat untuk pemeriksaan lanjut.
Pesawat dengan kapasiti maksimum 19 penumpang itu dikatakan sedang menuju ke Kudat daripada Kota Kinabalu sebelum meneruskan destinasi ke Sandakan.
Dikatakan bahawa pesawat ini telah hilang kawalan apabila ditiup angin kencang semasa hendak melakukan pendaratan.
Akibatnya, pesawat tersebut tersasar menuju ke Pantai Bak-Bak yang hanya terletak bersebelahan dengan lapangan terbang tersebut.
Ia kemudian terhempas di hadapan sebuah rumah kepunyaan seorang kontraktor bernama Abd Qayyum Hj Amirdad.
Terdapat sedikit kerosakan berlaku pada rumah tersebut dan belum dapat dipastikan sama ada terdapat penghuni rumah turut mengalami kecederaan.
Pihak MASwings ketika ini sedang dalam proses mengumpul maklumat sebelum membuat kenyataan akhbar.
MAS sahkan nahas
Sementara itu, Bernama lewat petang ini memetik Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah yang melaporkan enam orang cedera, tiga daripadanya parah.
Kenyataan jabatan itu menyebut 10 orang lagi diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Kudat selepas pesawat itu menjunam di Kampung Sinsan pada 2.54 petang.
Malaysia Airlines (MAS), dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, mengesahkan bahawa Penerbangan MH3002 dari Kota Kinabalu ke Kudat itu terbabit dalam nahas.
Menurut jadual penerbangan MASwings dalam laman webnya, terdapat satu penerbangan dari Kota Kinabalu pada 2.05 petang yang dijadual tiba di Kudat kira-kira 40 minit kemudian.
Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy Ramin berkata di Kota Kinabalu pesawat itu dinaiki 16 orang, dan menjunam di Kampung Sinsan, Kudat.
"Kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari pesawat dan dihantar ke Hospital Kudat untuk pemeriksaan perubatan," katanya kepada Bernama.
Punca kemalangan itu masih disiasat, katanya.
Malaysiakini
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...