Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Isnin, Oktober 28, 2013

Pemimpin negara enggan laksana hukum Syariah, kata Aziz Bari


Hukuman hudud di Kelantan perlu mengikut kerangka negeri. Gambar fail.Hukuman hudud di Kelantan perlu mengikut kerangka negeri. Gambar fail.Pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari, berkata undang-undang syariah tidak dilaksanakan di Malaysia disebabkan pemimpin negara sendiri yang enggan melaksanakannnya.

Beliau berkata, sektor perbankan dan zakat dilaksanakan mengikut prinsip syariah di Malaysia maka tiada sebab hukuman kepada pesalah tidak diadili berlandaskan hukum Syariah.

“Alasan yang mengatakan undang-undang negara ini sebagai sekular adalah daripada mereka yang tidak selesa dengan undang-undang Syariah.

 “Perbankan Islam sudah ada, pelaksanaan zakat juga dibuat dan sebagainya, namun undang-undang Islam tidak dilaksanakan atas desakan pihak tertentu,” katanya seperti dilaporkan portal milik PAS Harakahdaily hari ini.
Abdul Aziz berkata, pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah ll (1993) mengandungi hukum hudud yang digubal dan bakal dilaksanakan di Kelantan mampu dilaksanakan dengan syarat perlu mengikut laluan yang dibenarkan Perlembagaan.

Katanya, kehendak rakyat Kelantan yang mahu hukuman hudud dilaksanakan perlu mengikut kerangka negeri kerana undang-undang tersebut tidak bertentangan dengan dasar yang diterima di dunia.
"Kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu supaya ia selaras dengan peruntukan undang-undang di peringkat Persekutuan.
 "Kemenangan PAS di peringkat pusat bersama Pakatan Rakyat adalah antara faktor penting bagi melaksanakan perkara itu," katanya.

Awal bulan ini, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berharap kerajaan menimbangkan cadangan kuasa Mahkamah Syariah diletakkan di bawah kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri dalam usaha menambah baik dan mengatasi masalah berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, sekiranya Mahkamah Syariah masih berada di bawah kerajaan negeri,  bidang kuasanya amat terhad dan banyak kes tidak dapat diselesaikan.

Abdul Hamid berkata, beliau turut mencadangkan  hakim Mahkamah Sivil bersidang bersama seorang hakim syarie atau menggabungkan kedua-dua mahkamah berkenaan ketika perbicaraan bagi mendapatkan satu keputusan yang tepat.

Katanya, sekiranya sesuatu kes itu bersangkut dengan isu syariah, maka Mahkamah Sivil tidak akan buat keputusan dengan alasan ia terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. - 28 Oktober, 2013.

TheMalaysiaInsider

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...