Isnin, April 15, 2013

Anwar Ibrahim perlu maklum kepada Agong segera lepas menang PRU13 - Profesor Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR 14 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengadakan sidang media segera untuk memaklumkan kepada Yang Di Pertuan Agong selepas Pakatan Rakyat menang majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia bagi membolehkan Agong menintahkan Anwar segera ke istana bagi  proses pelantikan  perdana menteri baru.
Aziz bari
“Secara formal kuasa pemerintahan negara berada di tangan Agong tetapi ia hanya boleh dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang mempunyai mandat rakyat; sesuatu yang dilaksanakan melalui konsep bertanggungjawab kepada parlimen, khususnya Dewan Rakyat.

“Jadi strategi yang perlu dilakukan Anwar sebaik sahaja PR menang 112 kerusi nanti ialah membuat sidang media dan menyatakan beliau menunggu titah  Agong untuk menjemput beliau ke istana bagi dilantik sebagai PM baru.Pelantikan kabinet akan dibuat selepas itu,” katanya dalam satu kiriman email kepada Keadilandaily.

Menurut Aziz, tindakan itu bagi mengelakkan pihak tertentu menceroboh ke istana dan memaksa pelantikan sebagaimana dilakukan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun selepas parti pimpinannya kalah dalam pilihan raya negeri Sabah pada 1985.
Katanya, istana juga perlu segera melantik sebuah kerajaan dan tidak mengulangi kelewatan seperti PRU 1999 apabila kerajaan baru  Dr Mahathir Mohamad hanya dilantik 11 hari selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Kelambatan ini, katanya menyebabkan kekecohan berlaku dalam sidang pertama Dewan Rakyat ketika itu.

Agong perlu proaktif

Aziz berkata demikian ekoran timbul pertanyaan mengenai senario yang akan terjadi jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU kali ini.
Beliau berkata, hal ini tidak pernah berlaku di peringkat persekutuan, dan kemungkinan BN akan membuat huru-hara dan kekecohan jika Pakatan memperolehi majoriti di dewan rakyat.
“Siapa yang berkuasa ketika itu? Jawabnya tidak ada; yang ada kerajaan sementara yang kerjanya setakat melaksanakan pentadbiran rutin sahaja.

“Kerajaan ini tidak boleh meneruskan kerjanya sebaik sahaja ada parti yang menang majoriti mudah dalam Dewan Rakyat; ertinya dalam PRU yang baru saja tamat,” ujar calon KEADILAN bagi Parlimen Sabak Bernam ini.

Kata Aziz, perlembagaan tidak memberi sebarang panduan bagaimana senario itu hendak ditangani, namun ia mempunyai semangat tertentu berasaskan demokrasi yang perlu diteliti.

“Senario itu menyebabkan Agong kena proaktif; perlembagaan meletakkan tanggungjawab melantik kerajaan kepada baginda dengan secepat mungkin.

“Ini kerana baginda perlu ada kerajaan yang menasihati baginda sepanjang masa. Dalam bahasa yang mudah perlu ada kerajaan yang menjalankan pentadbiran dan kerajaan ini perlu ada mandat; yakni kerajaan ini boleh bertanggungjawab kepada parlimen iaitu Dewan Rakyat,” ujarnya

Bagaimanapun, beliau yakin  kekecohan sedemikian dapat dielakkan ekoran jaminan Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan peralihan kuasa secara aman ketika mengumumkan pembubaran dewan rakyat, 3 April lalu.

KeadilanDaily

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng