Tarikh : December 7, 2011
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah itu adalah peruntukan tambahan dan ia tidak termasuk dalam bajet khas pendidikan sedia ada, iaitu RM6 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), RM6 juta bagi Sekolah Agama rakyat dan RM4 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Setakat ini, kita belum ada kriteria tertentu untuk menerima wang tambahan ini. Jika sekolah terbabit perlu bantuan kewangan tambahan dan buat permohonan, kita akan gunakan wang ini.
“Kita tidak boleh bagi begitu saja tanpa mengambil kira keperluan sekolah berkenaan. Ini kerana, ada sekolah yang perlukan kewangan banyak untuk memperbaiki infrastruktur di bangunan mereka, tetapi ada juga sekolah yang tidak perlukan bantuan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek bantuan Pembangunan Pendidikan kepada SJKC Fasa 2, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali memberikan cek kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di Selangor untuk diserahkan kepada wakil pihak sekolah terlibat.
“Kita mahu Adun atau penyelaras pusat khidmat masyarakat ini turun padang dan serahkan sendiri cek itu kepada sekolah berkenaan supaya hubungan lebih baik terjalin.
“Selain itu, saya harap agar Adun atau penyelaras terlibat dapat memantau keadaan sekolah di bawah seliaan mereka supaya kita tahu perkembangan dan masalah yang dihadapi guru atau pihak pengurusan sekolah berkenaan,” katanya.
Halimah berkata, pemberian cek berjumlah RM1.56 juta itu adalah fasa kedua, melibatkan 46 buah sekolah, selepas fasa pertama melibatkan wang berjumlah RM2.335 juta yang diberikan pada 9 Jun lalu.
“Kita harap wang ini digunakan sebaik-baiknya kerana ia bertujuan untuk meningkatkan prestasi pendidikan di Selangor, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai hub ilmuwan dan hub pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Halimah berkata, permohonan bantuan pendidikan bagi fasa satu tahun 2012 sudah dibuka kelmarin dan mereka yang berminat untuk memohonnya boleh memuat turun borang berkenaan menerusi portal Kerajaan Negeri Selangor di www.selangor.gov.my.SinarHarian
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...