Senarai Blog...Geng

Ahad, Ogos 28, 2011

Jangan Halang Kaum Lain Bantu Umat Islam - DSAI


PETALING JAYA 28 OGOS : Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam agar tidak menghalang mana-mana kaum di negara ini daripada menghulurkan bantuan kepada Muslim yang miskin kerana ia menjadi kewajiban kepada semua untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. 

“Kita tidak harus menghalang mereka... sesiapa sahaja, mana-mana kaum, mana-mana agama daripada menjalankan atau mengambil inisiatif untuk membantu sesiapa,” kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR, semalam. 

Jelasnya, ini kerana pihak gereja sendiri diminta agar diberi kebebasan untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum, di sebalik dakwaan bahawa masyarakat Kristian berusaha untuk menukar agama umat Islam menerusi kerja-kerja kebajikan. 

Awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor memeriksa satu majlis makan malam muhibah yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama ekoran aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan umat Islam. 

Semalam, Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengumumkan penubuhan Unit Selamat Akidah yang akan bertindak sebagai platform menerima aduan dan permohonan bantuan daripada umat Islam di negeri itu. 

Hasan, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, penubuhan unit itu diwujudkan berikutan masalah umat Islam terutamanya berhubung “dengan persoalan kristianisasi yang kini telah menarik perhatian umum.” 

“Orang-orang Islam yang dihimpit oleh kesusahan dan kesempitan hidup didapati terdedah kepada risiko meggadaikan akidah mereka demi menyambung kehidupan yang lebih baik bersama ahli keluarga. 

“Pejabat ini memandang berat segala bentuk pandangan negatif terhadap apa yang sedia dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan negeri, badan-badan dan pertubuhan sukarela yang dianggap tidak banyak membantu menyelesaikan masalah golongan ini,” katanya. 

Bagaimanapun Anwar yang juga Ketua Pembangkang Malaysia berkata, usaha untuk memudahkan penggunaan wang zakat tidak seharusnya dilihat sebagai reaksi kepada usaha pihak Kristian yang banyak diperkatakan. 

“Kita ada saluran, kita ada sumber. Lakukan sahaja,” katanya lagi. 

Beliau juga berkata, zakat negeri seharusnya diurus dengan telus bagi memastikan bantuan bagi golongan miskin sampai di tangan mereka yang memerlukan berbanding kerugian berbilion ringgit ekoran rasuah dalam sistem pentadbiran.

"Dari sudut prinsipnya agihan wang zakat seharusnya telus dan bertanggungjawab. Masalah seperti ini bukan sahaja berlaku di Selangor, tetapi juga berlaku di Johor sebelum ini, dan seingat saya terdapat sebuah lagi negeri dimana mereka telah menyalahgunakan wang zakat. Jadi perlu ada ketelusan dalam pengurusan wang zakat," tambahnya.TVSNEWS
Iklan Penaja
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...