Khamis, Ogos 25, 2011

‘Nasihat saya jangan pecat Anwar ditolak’ - Mufti Perak

SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri supaya tidak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini katanya, kerana tindakan memecat Anwar hanya akan menyebabkan orang Melayu berpecah belah kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu diketahui mempunyai ramai penyokong.

“Semasa saya pergi ke pejabat Perdana Menteri, saya jumpa Tun Ahmad Sarji (ketika itu Ketua Setiausaha Negara). Tun Ahmad Sarji kata dia akan beritahu PM (Mahathir). Dan selepas itu, dia kata PM tak mahu jumpa saya,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada September 1998.

Selain itu, kata Harussani, beliau juga melihat tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar tidak bersesuaian.

“Saya mahu ingatkan bahawa tuduhan liwat, jika tak bawa empat saksi, susah. Sebab itu saya mahu cadangkan kepada Dr Mahathir supaya buat rombakan Kabinet saja, turunkan Anwar daripada Timbalan Perdana Menteri kepada menteri biasa. Itu yang lebih baik.

“Sekarang, tengoklah, apa jadi pada bangsa Melayu?” katanya.

Menurutnya, dalam banyak perkara lain, Mahathir banyak memberi pertimbangan dan menerima pandangannya melainkan dalam isu membabitkan Anwar.

“Saya sanggup jumpa Perdana Menteri untuk suarakan pandangan. Sebelum itu, kepada Tun (Abdul) Razak (Hussein), tiga kali saya jumpa. Kali pertama berkaitan Thaipusam yang hanya setahun sekali tetapi di Pulau Pinang, disambut tiap-tiap bulan. Bukan itu saja, orang Hindu di Pulau Pinang berarak sampai dalam kampung Melayu walaupun dalam kampung itu hanya ada seorang saja beragama Hindu.:

“Saya jumpa Perdana Menteri, mengadu dan kemudian Tun Razak panggil Menteri Kehakiman waktu itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang terus hubungi Ketua Polis Pulau Pinang arah ambil tindakan,” katanya.

Harussani yang pada masa itu, berjawatan Kadi Besar Pulau Pinang berkata, dalam kes lain, beliau juga pernah mengadu kepada Abdul Razak, mengenai 14 tokong Buddha yang dinamakan sempena nama orang Melayu.

“Saya tunjuk gambar tokong-tokong itu kepada Tun Razak. Yang ketiga kes kongsi raya, saya beritahu dia haram kita sebut kongsi raya kita dengan perayaan agama lain. Esoknya dia buat kenyataan larang guna (istilah) kongsi raya,” katanya.

Mengenai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Harussani berkata, beliau pernah mengingatkan Perdana Menteri mengenai perpecahan orang Melayu hari ini yang menurutnya berpunca daripada pentadbiran kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.SinarHarian 

Iklan Penaja

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng