Isnin, Jun 17, 2013

Berita Hot!! Anwar adu kepada SBY, JK 'kecurangan' PRU13

Anwar adu kepada SBY, JK 'kecurangan' PRU13
Susilo Bambang Yudhoyono, Anwar Ibrahim dan Jusuf Kalla

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengadu tentang 'kecurangan' PRU13 lalu kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla (JK).

Memetik laporan media Indonesia, VIVAnews, Ketua Umum PKR itu membuat pengakuan itu dalam satu sidang media bersama pemberita Indonesia, semalam.

Anwar dilaporakan telah bertemu SBY dua hari lalu di Bali.

"Saya beritahu Presiden bahawa isu kecurangan belum selesai, tidak boleh dibiarkan begitu saja," dakwa Anwar.

Anwar berkata, SBY turut mengucapkan terima kasih kepadanya atas penjelasan mengenai perkembangan dalam pilihan raya di negara ini.

Bagaimanapun kata Anwar, SBY tidak mengambil kedudukan untuk campur tangan terlalu mendalam.

"Beliau beritahu saya, ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai pilihan raya Malaysia dan juga rundingan yang berkaitan dengan 'kecurangan' tersebut," katanya.

Laporan itu turut dipetik sebagai berkata, dalam pertemuan Anwar dan SBY, beliau turut membincangkan isu-isu serantau membabitkan Indonesia serta Malaysia.

Sementara itu, dalam satu pertemuan dengan JK, Anwar mendakwa telah memberitahu masalah yang dihadapi beliau selama ini.

Anwar dipetik mendakwa, sepanjang lima tahun menjadi Ketua Pembangkang, beliau tidak diberi peluang walaupun satu minit untuk bercakap di hadapan media Malaysia.

"Saya tidak dibenarkan masuk ke kampus (universiti), media kerajaan juga tidak boleh," dakwanya.

Sementara itu, Anwar turut mendakwa sering diserang dan dikritik oleh media Malaysia, baik dalam perkara kecil ataupun besar.

"Harus diketahui, di Malaysia pilihan raya itu ganas, ada penangkapan, penjara, penghinaan saban hari di televisyen.

"Bagi rakyat yang tinggal di Malaysia mereka boleh memahami, setiap malam kita dipanggil pro-Amerika, Yahudi, pelampau Islam, pro-Hindu-Buddha, alat Cina. Setiap malam diserang oleh media," dakwanya lagi.

Sehubungan itu dakwa Anwar lagi, JK telah menawarkan diri menjadi pengantara atau orang tengah sebagai langkah perdamaian politik di Malaysia.

Anwar bagaimanapun dilaporkan menghormati pelawaan itu tetapi mengakui bahawa beliau akan terus berjuang ketidakadilan yang berlaku kepadanya pada pilihan raya lalu.

"Saya berkata kepada JK, saya menghormati nasihat beliau, tetapi urusan penipuan pilihan raya ini masih belum selesai.

"Saya tidak akan berganjak kerana pilihan raya umum lalu saya menang.

"Saya memenangi lebih 50 peratus dan (Datuk Seri) Najib Tun Razak kalah. Tetapi mengapa Najib yang mentadbir Malaysia?

"Oleh itu saya memberitahu JK yang saya tetap mengambil tindakan undang-undang tetapi tetap meneruskan himpunan," dakwanya lagi.

SinarHarianOnline

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng