Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, Jun 06, 2013

PANAS!!! RAJA VS RAJA

Tunku Mahkota Johor mahu FAM terima kritikan untuk pembangunan bola sepak

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima teguran pihak luar untuk kepentingan dan pembangunan bola sepak negara.

“Saya melakukan semua ini (menegur FAM) hanya kerana cinta terhadap sukan bola sepak. Mereka yang memegang jawatan dalam FAM mestilah telus dan adil kepada semua pasukan yang bersaing dalam liga tempatan.

“Keutamaan mereka mestilah untuk meningkatkan kualiti bola sepak dalam negara,” titah baginda dalam satu kenyataan semalam.
Tunku Ismail bertitah baginda membuat kenyataan itu atas tanggungjawabnya selaku Tunku Mahkota Johor, dan bukan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang digantung.
“Semalam, PBNJ menerima satu surat amaran supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM.

“Kenyataan ini bukan bertujuan untuk membelakangkan mana-mana individu atau persatuan bola sepak tetapi untuk mengetengahkan isu-isu penting dalam bola sepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu untuk mengenakan denda terhadap saya, saya akur.

“Ada yang menasihati saya supaya bertanding jawatan dalam FAM tetapi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. Sejujurnya, saya mengutamakan Johor dan oleh yang demikian, saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM,” titah baginda.

Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail mempersoalkan tindakan yang dikenakan FAM terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang dalam isu limpahan penonton pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan baru-baru ini.

“Sebelum ini, segala hukuman dijatuhkan Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM tetapi kes Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam perlawanan separuh akhir Piala FA, hukuman telah dijatuhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

“Kita (PBNJ) juga tidak diberi ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda tersebut. Pada saya, ia bukanlah soal kewangan tetapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan-persatuan bola sepak. Ini jelas menunjukkan bahawa FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya,” titah Tunku Ismail.

Pada 29 Mei lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Pahang yang bertindak selaku tuan rumah pada perlawanan itu didenda RM100,000 kerana empat kesalahan manakala Johor Darul Takzim pula didenda RM20,000 kerana dua kesalahan.

Hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua pasukan itu muktamad dan tidak boleh dirayu.

TheMalaysiaInsider
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...