Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Selasa, Jun 25, 2013

Pesanan Pemuda Pas untuk Pandikar

Pandikar

SHAH ALAM – Pemuda Pas meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah dan adil kepada semua pihak.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, Pemuda Pas yakin semua ahli Parlimen akur dengan pelantikan beliau dalam proses pemilihan yang berlangsung semalam meskipun berlaku kekecohan.
“Beliau telah terpilih melalui undian dan suratan menentukan sekali lagi beliau menjadi Yang Di Pertua buat penggal keduanya berturut-turut.

“Dalam komposisi ahli Parlimen PR, meningkat menjadi 89 orang manakala ahli Parlimen BN merosot menjadi 133 orang, seharusnya beliau melihat semua ahli Parlimen dengan pandangan yang adil tanpa melebihkan satu-satu pihak.

“Semua Ahli Parlimen perlu diberikan ruang berbahas mengenai sesuatu perkara dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan perlu diambil tindakan meskipun ia datangnya dari ahli Parlimen parti beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila ahli Parlimen PR mempertikaikan cara pengundian yang dilakukan bagi pemilihan jawatan itu.
Kekecohan bermula apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bangun memulakan bantahan berikutan kertas undi itu memerlukan ahli Parlimen menulis nama.

Keputusan pengundian menyaksikan Pandikar memperoleh 133 undi manakala calon yang dinamakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mendapat undi penuh daripada PR sebanyak 89 undi.
Pandikar mendapat pencalonan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan berkaitan, Riduan berkata, tugas ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada PRU13 lalu adalah berbincang dan berbahas perkara untuk kepentingan rakyat.
“Tugas Speaker pula meneutralkan keadaan dan memutuskan sesuatu perkara dengan mengambil pandangan semua pihak serta kepentingan umum.

“Rakyat tidak mahu pemimpin mereka meletakkan kepentingan diri sendiri dengan melupakan kepentingan rakyat yang mengundi mereka,” katanya.
Beliau menambah, rakyat sudah bosan dengan suasana politik kepartian yang tidak berkesudahan sehingga melupakan perkara utama yang mereka perlu perjuangkan di dalam dewan yang mulia itu.

SinarHarianOnline
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...