Rabu, November 12, 2014

Hukuman bunuh : Kaedah tali gantung cara purba - Presiden PAS




SAYA akan sertai perbahasan B.6 Butiran 020000 – Unit Perancang Ekonomi, Butiran 490300 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Butiran 490900 – Kehakiman Syariah, Butiran 160000 – Maritim dan Butiran 020000 – SPRM.

Secara ringkas sahaja Tuan Pengerusi, berhubung dengan butiran yang pertama, Butiran 020000. Dalam keadaan kita mencapai Wawasan 2020 yang kita uar-uarkan yang menjadi cita-cita kita bersama, saya lihat bahawa perancangan lebih diberi penekanan ke arah pendapatan tinggi, ke arah teknologi tinggi tanpa memberi penekanan yang lebih kepada pembangunan insan yang menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negara.

Tanpa dinafikan betapa perlunya pendapatan tinggi, teknologi tinggi, tetapi tanpa pembangunan insan yang sempurna dan cukup akan membawa kecanggungan dan akan melakukan kesilapan-kesilapan yang boleh meruntuhkan pembangunan yang ditegakkan dan akan berlaku yang dikejar tidak dapat, yang sudah ada berciciran. 


Bahkan, sejarah manusia merakamkan bagaimana kaum-kaum yang terdahulu yang menempa kemajuan yang sangat hebat dengan pendapatan tinggi tetapi melampau di antara satu sama lain, kaum yang mencapai teknologi tinggi melampau juga, runtuh kaum Ad, kaum Samud, kaum Firaun pada zaman dahulu. Jerman dan Jepun di abad yang lalu yang mencapai teknologi yang sangat tinggi tetapi tanpa kemanusiaannya, Tuhan menyebut.. [membaca beberapa potong ayat Al-Quran] puncanya ialah kerana manusia yang melakukan kejahatan walaupun maju dan tinggi teknologinya.

Jerman dan Jepun yang mencapai teknologi yang tinggi di abad yang lalu tetapi ada manusia yang melampau yang mencetuskan perang dunia yang kedua, bukan sahaja merosakkan manusia yang lain bahkan meruntuhkan negara itu sendiri dan kita semua tahu bagaimana negara itu bangkit semula dengan cepat menjadi kuasa besar pada hari ini sama ada dalam aspek ekonomi ataupun politik dengan memulakan pembangunan insan. Di sinilah perlunya pembangunan insan.

Negara Arab yang mendapat hasil yang banyak, bagaimana pendapatannya sangat tinggi tetapi tidak memberi apa-apa makna dan erti. Duit banyak, hasil banyak tetapi insan Arab walaupun dia Islam, kita semua tahu, tidak memberi apa-apa makna.

Di sinilah maka Allah SWT menyebut dalam Quran sebagai satu contoh, kaum Bani Israel... [membaca beberapa potong ayat Al-Quran]  Bani Israel tidak puas hati kerana Nabi mereka mencadangkan Talut menjadi raja yang memimpin kerana Talut ini tidak ada duit, pendapatannya tidak tinggi, tidak boleh bagi pendapatan tinggi. Lalu Nabi mereka mengatakan dia seorang yang berilmu dan seorang yang mempunyai jati diri yang kuat.

Maka jati diri yang kuat, ilmu yang kuat, mengikut Islam ialah pembinaan iman, akhlak, ilmu yang berkait dengan bukan sahaja ilmu akhlak, ilmu imannya termasuklah ilmu sains dan teknologi yang perlu digabungkan kesemua perkara ini.

Hal ini perlu diberi peranan kepada pihak yang berkenaan khususnya kepada JAKIM, kepada badan-badan Islam yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya membuat kajian yang lebih serius yang bersungguh untuk menjiwai Islam ini di dalam semua urusan pentadbiran dan pusat-pusat pengajian tinggi untuk membangun manusia yang mempunyai jati diri yang dapat mengambil manfaat daripada hasil-hasil dan sumber alam yang telah sedia ada.   

Kebetulan tanah air kita mempunyai sumber alam yang sangat baik sama ada darat dan laut. Mempunyai tenaga manusia yang tersendiri, masyarakat majmuk yang patut digabungkan masyarakat majmuk ini mengikut keistimewaan yang ada pada masing-masing tetapi tidak diolah dengan cara yang sebaiknya.

Sumber alam yang ada itu pun kadang-kadang yang diolah contohnya maritim, ada dalam butiran yang disebut tadi, maritim yang menguatkuasakan sumber alam maritim yang mengakibatkan kesusahan kepada nelayan-nelayan, mengaut tanpa batas, tanpa sempadan, musnahkan tempat-tempat pembiakan yang menjadi punca dalam sumber hasil nelayan-nelayan kita sendiri. Di sinilah Tuhan mengatakan; [membaca ayat Al- Quran] Maksudnya; “Kalau sekiranya Allah menjadikan rezeki melimpah ruah kepada manusia tanpa sempadan, kadang-kadang mereka melampaui batas maka perlu diqadarkan batas”.

Kita mempunyai hasil yang banyak, sumber laut yang banyak tetapi bila kita mengeluarkan lesen-lesen kepada orang-orang tertentu menyebabkan mereka melampau. Bukan mengutip hasil, memusnahkan sumber hasil. Di antaranya juga contohnya adalah baik kerajaan mengeluarkan subsidi kepada nelayan-nelayan tetapi mereka yang melampau ini jual minyak subsidi untuk berniaga minyak pula bukan untuk kemudahan. Ini ialah satu kelemahan yang perlu diatasi.

Seterusnya dalam hal ini, saya ingin membangkitkan juga peranan Islam di dalam perlembagaan. Kita sepatutnya hendaklah memerdekakan fikiran kita daripada Suruhanjaya Reid yang mentafsirkan perlembagaan. Islam sebagai agama persekutuan.

Kita mestilah mentafsirkan Islam itu sebagaimana ajaran Islam itu sendiri. Bebaskan daripada kepompong tarif Suruhanjaya Reid yang membataskan Islam dalam hal-hal yang tertentu yang tidak menjayakan Islam sebagai agama yang sempurna, yang lengkap, yang boleh menyelesaikan masalah. Padahal kita perlu menyedari bahawa pengaruh Islam banyak dalam sistem pemerintahan barat khususnya British.

Oleh kerana kita mewarisi sistem British dan British merupakan paling banyak mewarisi sistem pengajian Islam melalui orientalis dalam pentadbirannya, dalam kehakimannya, dalam berbagai- bagai perkara banyak dipengaruhi termasuklah sistem demokrasi Barat itu sendiri, mereka tak tahu nak amalkan demokrasi nak ubah kerajaan, mereka menyembelih, membunuh raja-raja dan penyokong-penyokong mereka setelah mereka mengkaji kitab-kitab Islam yang berkait dengan sistem pemerintahan. Baru mereka tahu cara pilihan raya termasuklah dalam mengendalikan urusan pentadbiran mengikut feudalisme, mengikut jabatan-jabatan, skim gaji. Ini banyak dipengaruhi oleh Islam cumanya British ini tak ada roh, tak ada perhitungan dosa dan pahala. Kita masukkan sahaja perhitungan ini dalam sistem kerajaan kita. Ini peranan JAKIM, peranan badan-badan Islam dalam Jabatan Perdana Menteri. Termasuklah bila roh ini tidak ada dalam penguatkuasaan undang-undang, kita gagal, tak berjaya mengatasi masalah jenayah. Walaupun undang-undang itu sangat keras, undang-undang bunuh mandatori kepada pengedar dadah, undang-undang sebatan namun tidak menakutkan penjenayah. Puncanya ialah kerana tidak ada yang Tuhan sebut dalam Al-Quran [membaca sepotong ayat Al-Quran] maksudnya; “Cegahan daripada Allah”.

Di sini terdapat perbezaan di antara syariat Islam dengan undang-undang barat. Syariah Islam ada roh, aspek spiritual di dalamnya walau undang-undangnya dianggap sebagai tidak keras. Sebatannya tidak memecahkan kulit, tidak mencederakan badan cuma di khalayak yang ramai. Boleh memalukan pelaku dan memberi pengajaran kepada orang lain. Ini, disebat dalam penjara, pecah kulit, cacat, tak memberi kesan. Yang kena hukum itu mungkin berkesan tapi masyarakat tak ada kesan.

Di sinilah peranan media yang perlu menyebarkan kepada umum mengenai hukuman-hukuman ini, bukan menyebarkan jenayah itu, bukan menyebarkan filem-filem jenayah untuk mengajar jenayah tetapi menyebarkan perkara yang mendidik masyarakat. Contohnya hukum bunuh, mati kepada penjenayah walaupun di sana ada negara Barat tak setuju hukuman bunuh ini. Islam mengatakan hukuman bunuh itu baik.

Cuma bila mana hukuman bunuh dilaksanakan, Barat dia lebih simpati kepada penjenayah kadang-kadang, tak simpati kepada mangsa. Itu Barat, kita tak boleh pakai fikiran mereka. Sepatutnya kita simpati kepada mangsa bukan penjenayah. Penjenayah pun ada simpati, sebagai contohnya Islam menganjurkan [dalam bahasa Arab] ertinya; “Bila kamu bunuh, bunuh dengan cara yang baik”.

Kita masih lagi menggunakan kaedah tali gantung untuk cekik, ini cara purba, cara zaman dahulu. Padahal di sana ada yang perlu dikaji secara saintifik yang lebih tidak menyakitkan, bius kah apa, kah. Kajian-kajian sains perlu dibuat. Ini dianjurkan oleh Islam.  Di antaranya ialah masalah Lembaga Pengampun sebagai contoh, undang-undang qisas, Lembaga Pengampunan.

Hari ini Lembaga Pengampunan tak melibatkan mangsa jenayah. Orang tertentu yang jadi ahli Lembaga Pengampunan iaitulah Raja, Perdana Menteri, Peguam Negara dan orang yang ditetapkan. Mengikut Islam, hak pengampunan ini ada. Pengampunan diberi kepada mangsa jenayah. Oleh sebab itu mangsa jenayah perlu ditanya dalam masalah pengampunan ini. Ini perkara Islam, inilah peranan jabatan-jabatan Islam di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Badan Pencegah Rasuah perlu disempurnakan lagi, perlu dibantu. Tidak cukup dengan sebab itulah tidak berkesan. Di sana, bukan sahaja pencegah rasuah, dalam Islam ada hisbah, ombudsman bukan sahaja nak memantau pegawai itu dirasuah atau tak rasuah, bukan nak lantik dia pun. Dalam Islam ada hisbah ombudsman. Ini dipakai oleh setengah-setengah negara, setiap pegawai penting yang nak dilantik. Menteri yang nak dilantik pun akan dihadapkan di hadapan jawatankuasa Parlimen, dalam bentuk senate. Didedahkan peribadi dia sama ada baik ataupun buruk, bijak ataupun tidak.  Boleh tak boleh sebelum diberikan jawatan itu dan termasuk masa dia sekolah, apa perangai dia, diketahui. Kalau dia berubah atau tak berubah, itu diketahui. Kita pakai lantik secara spontan begitu sahaja maka berlakulah akibat-akibat yang sangat negatif selepas itu. Itu ialah pandangan saya dalam perkara ini. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rencana di atas adalah ucapan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Kepala Bekalan B.1 hingga B.9 dan B.40 dan Kepala Pembangunan P.6 dan P.7 di bawah Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 10 November 2014 yang dipetik daripada Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat.

hd

1 ulasan:

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng