Isnin, Julai 21, 2014

[ Berita Pagi ] Projek CAR Khalid Ibrahim disanjung, isu KIDEX Khalid diserang.. Manusia-Manusia...

mb3728a543b477098a4848e499317bdbbd_XL

SEBENARNYA, di Selangor ada beberapa isu membabitkan tanah penduduk yang persis kontroversi KIDEX iaitu projek Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan di Selangor.
Salah satunya ialah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR), sebuah projek pemasangan kabel bervoltan tinggi yang memakan jajaran pembinaan sejauh 59 kilometer.

Projek mega itu meliputi 1.5 kilometer sebuah kampung di Rawang iaitu Kampung Sungai Terentang.
Namun, projek membabitkan kampung itu yang sepatutnya dimulakan pada 2007 – ditangguh selepas penduduk mengemuka permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bantahan demi bantahan dikemukakan (termasuk Kerajaan Selangor) sehingga menatijahkan keputusan penangguhan itu.


Mungkin kerana tertekan dengan keputusan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam Utusan Malaysia bertarikh 22 Julai 2011 menyatakan bahawa seluruh kawasan tengah Semenanjung Malaysia akan bergelap dan ia berpotensi menjejaskan ekonomi negara jika projek CAR tidak diteruskan.

kg-terentang-23ogos2012-01
Namun, jauh sebelum pergulatan isu itu hangat di media, pada 27 September 2008 – sebagaimana laporan Bernama – Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor ‘tidak pernah menghalang’ Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari meneruskan Projek CAR di kampung itu.

Selain mengambil sikap ‘tidak menghalang’, beliau sempat menyatakan langkah yang harus dibuat pemaju, cadangan sama sebagaimana KIDEX ketika ini iaitu mengadakan beberapa perjumpaan dengan penduduk, keterlibatan konsultan bebas serta ‘mengesyorkan’ projek itu diteruskan dengan dua cara.

Ia  ialah menanam kabel bawah tanah agar ia tidak langsung melibatkan pengambilalihan tanah seterusnya membolehkan penduduk kampung terus tinggal atau wujudkan laluan alternatif yang tidak melibatkan ramai penduduk.

Selepas September 2008, langkah yang dilihat ‘menyusahkan’ TNB itu terpaksa dipenuhi Kerajaan Persekutuan. Proses yang memenatkan TNB itu berlangsung dalam tempoh panjang.
Namun, Kerajaan Selangor konsisten dengan mekanisme itu sekalipun pelbagai alasan yang dikemukakan TNB.

tnb
Tekanan Kerajaan Selangor jelas dalam kenyataan Sekretariat Akhbar pada 22 Disember 2011 yang menyebut Kerajaan Negeri mengarahkan TNB untuk ‘mempertimbangkan’ pembinaan pencawang elektrik bagi Projek CAR di jajaran baharu iaitu di sepanjang Lebuhraya Persekutuan Rawang-Ipoh.
Keputusan itu diambil setelah Kerajaan Negeri mendengar taklimat syarikat perunding kejuruteraan Aecom New Zealand yang menyebut jajaran baharu itu disyor atas faktor kos paling minimum serta ketiadaan impak terhadap penduduk setempat.

Dan, pada 31 Januari 2013, Selangorkini memaparkan kejayaan Kerajaan Negeri apabila TNB akhirnya akur dengan ‘syor’ Kerajaan Selangor dengan membuat jajaran lain untuk Projek CAR.
Selain menyelamatkan 5,000 penduduk Kampung Sungai Terentang, keputusan itu sekaligus menyelamatkan Kampung Batu 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 16 Rawang serta beberapa bangunan awam lain.


Sama ada ia sebahagian daripada ‘kebijaksanaan politik’ yang cuba dibuktikan oleh Khalid Ibrahim atau helah bagi menundukkan pihak yang lebih besar supaya akur dengan ‘syor’ Kerajaan Negeri, hakikatnya semua trick itu selari dengan perkara yang diperuntuk
dalam Kanun Tanah Negara dan menepati Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Atas maksud pembinaan infrastruktur awam misalnya, Kerajaan Negeri tidak boleh menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih tanah.
Malah, mengikut Kanun Tanah Negara, pengambilan tanah demi kepentingan awam dibenarkan dan dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri hanya dibenarkan dengan alasan yang sangat munasabah, mempertikai kuantum pampasan yang bakal diterima oleh mereka yang terjejas.
Justeru, langkah Kerajaan Selangor yang memberi kenyataan awal seolah-olah bersetuju dan tidak menolak projek Kerajaan Persekutuan sebenarnya memandangkan skop bidang kuasa Kerajaan Persekutuan yang sangat luas dan hampir mutlak.

Ia terutama dalam hal ehwal yang melibatkan infrastruktur, kemudahan awam dan pembangunan secara umum yang mana Kerajaan Negeri hanya mempunyai peranan memberi nasihat.
Namun, di pusingan kedua, Kerajaan Selangor dilihat menggunakan sepenuhnya ‘kuasa’ untuk mencadang jajaran alternatif sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pengambilalihan Tanah.
Di sinilah yang menjadi bargain Kerajaan Negeri hingga Kerajaan Persekutuan akur dengan syor yang akhirnya memihak kepada rakyat.

kidexKita melihat kaedah sama yang sedang dipraktis Kerajaan Selangor terhadap KIDEX. Yang penting tanah dan hak rakyat akhirnya dimenangkan. Yang lurus akan menang, yang curang akan tewas. Manfaatkanlah ruang kepercayaan untuk beri yang terbaik kepada rakyat.

Namun,  asakan luar biasa pimpinan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan Negeri khususnya Menteri Besar Selangor dalam isu KIDEX menimbulkan tanda tanya di ruang pemikiran khalayak.
Kaedah sama dan corak penyelesaian yang hampir serupa sedang digerakkan Kerajaan Negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam isu KIDEX.

Menghairankan kerana KIDEX seakan-akan menjadi punching bag terhadap Abdul Khalid, tidak seperti semasa Projek CAR sebelum ini yang menyaksikan sebahagian besar pemimpin Pakatan berdiri di belakangnya.

Tertanya-tanya juga, adakah Khalid semasa KIDEX dan Khalid semasa Projek CAR di Kampung Sungai Terentang, sosok berbeza? Atau memang sengaja diwujudkan skrip respon berlainan terhadap kedua-dua isu ini?

Jika benar, siapa penulis skripnya?

*Shazni Munir ialah Koordinator Gabungan Tanah Rakyat (TANAH)

sk

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng