Khamis, Disember 12, 2013

Mat Zain: Shafee tak sebut dokumen kait AG


Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datu Mat Zain Ibrahim mempersoalkan tindakan Tan Sri Shafee Abdullah kerana tidak membangkitkan mengenai bungkusan dokumen yang diserahkan kepada peguam kanan itu pada 24 September lalu.

Katanya, Shafee perlu menjelaskan berhubung dokumen berkenaan, yang tidak disebut dalam afidavit peguam berkenaan di mahkamah semalam.

Mat Zain dalam kenyataannya hari ini mendakwa, bahan yang diserahkannya itu adalah bukti paling penting yang boleh membuktikan dakwaan bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail terlibat dalam pemalsuan bukti dalam siasatan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Shafee perlu menjelaskan kepada mahkamah sebab beliau menyembunyikan satu fakta penting bahawa beliau mengakui menerima satu bungkusan dokumen daripada saya pada 24 September, dua minggu sebelum SD (pengakuan berkanunnya) diperakui dan apa yang boleh dibuktikan oleh dokumen tersebut,” kata Mat Zain.

Beliau berpendapat, Shafee telah melanggar Kanun Keseksaan dan juga Akta Profesyen Guaman kerana tidak memaklumkan perkara itu kepada mahkamah.

“Shafee sepatutnya tahu bahawa dengan pelantikannya untuk mengetuai pendakwaa beliau dianggap sebagai 'penjawat awam' dan terikat dengan takrif 'penjawat awam' bawah Kanun Keseksaan, yang antara lainnya menetapkan beliau untuk memberi maklumat mengenai kesalahan.

“Sebagai seorang peguamcara beliau terikat dengan Akta Profesyen Guaman ketika bertindak sebagai pendakwa, beliau tidak boleh menyekat bahan yang boleh mewujudkan (fakta) bahawa seseorang tertuduh tidak bersalah.

“Beliau sepatutnya melihat kembali bungkusan dokumen yang disahkan telah diterimanya pada 24 September lalu,” kata Mat Zain lagi.

Shafee semalam mengemukakan afidavit ke Mahkamah Rayuan susulan permohonan Anwar untuk menyingkirkannya dari mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan berhubung pembebasan ketua pembangkang itu dari pertuduhan kes Liwat II.

Malaysiakini

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng