Ahad, Disember 08, 2013

Anwar sifatkan Mandela sebagai simbol pembebasan

KUALA LUMPUR 7 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Nelson Mandela sebagai pemimpin hebat pada era ini dan kematiannya suatu kehilangan besar bagi masyarakat dunia.

“Ikon kebebasan yang hebat, Nelson Mandela kini bersemadi selamanya, meninggalkan warisan bukan sahaja untuk Afrika tetapi untuk seluruh dunia dan generasi akan datang,” kata Ketua Umum KEADILAN itu dipetik Keadilan Daily, hari ini.

Anwar-mandela
Mandela, bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan dan pejuang kebebasan anti Aparteid meninggal dunia di kediamannya di Johannesburg pada Khamis selepas menderita jangkitan paru-paru sejak sekian lama.

Perjuangan Mandela menentang dasar aparteid iaitu undang-undang yang membezakan antara masyarakat kulit putih dan hitam di Afrika Selatan bermula pada 1948 hingga 1991.

Menerusi Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika (ANC Youth League) yang dibentuk pada 1941, beliau menjelajah seluruh Afrika bagi meniup semangat menentang dasar Aparteid yang zalim.

Parti ANC kemudian diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville pada tahun 1960, dan Mandela ditangkap serta dipenjarakan pada tahun 1961.

Beliau menghabiskan satu pertiga daripada hayatnya dengan menjalani hukuman penjara selama 27 tahun ketika pemerintahan rejim Aparteid.

Selepas menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika Selatan, Mandela yang dikenali dengan gelaran ‘Madiba’ akhirnya dibebaskan pada 11 Februari 1990.

Akibat tentangan hebat ANC dan tekanan antarabangsa, pengharaman parti ANC berakhir.

Pada 10 Mei 1994, beliau dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan selepas memenangi Pilihan Raya pada tahun itu.

Selangorkini

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng