Isnin, November 11, 2013

Semakin Menarik!!!! Mat Zain enggan beri kenyataan, tunggu sidang media Shafee


Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim enggan mengulas penafian peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa kehadirannya di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Aidilfitri lalu sebagai satu usaha menggulingkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar).

Katanya, laporan media menyatakan Muhammad Shafee akan mengadakan satu sidang media esok dan ulasan lanjut akan diberikan selepas peguam itu selesai memberi kenyataan.

“Pada masa ini saya tidak mahu mengulas panjang sehingga beliau mengadakan sidang media dan selepas itu saya akan bersedia dengan hujah saya.

“Sekarang masih di tengah perjalanan, maka saya kurang selesa untuk memberikan komen. Hari ini saya tidak memberikan komen dan menunggu sidang media beliau,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Muhammad Shafee ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mendakwa pertemuannya bersama Dr Mahathir bukanlah satu plot untuk menggulingkan Abdul Gani tetapi kehadirannya adalah atas alasan menghormati mantan perdana menteri itu.

“Tun sudah tentu tidak terlibat dengan sampah ini (konspirasi untuk mengulingkan Gani),” katanya.
Muhammad Shafee bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga beliau membaca perakuan bersumpah Mat Zain yang mendedahkan mengenai pertemuan itu baru-baru ini.

Sebuah portal mendedahkan pada Rabu, Dr Mahathir memanggil Mat Zain ke rumahnya pada 10 Ogos lalu iaitu tiga hari selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Mat Zain dibawa bertemu mantan perdana menteri itu oleh Muhammad Shafee dan bekas setiausaha politik kepada Dr Mahathir, Matthias Chang turut hadir dalam pertemuan berkenaan.

Perbincangan mereka menyentuh mengenai salah laku Abdul Gani bermula daripada kes mata lebam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa dan Abdul Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.

Selepas pertemuan itu, Mat Zain pada 7 Oktober tahun ini membuat satu akuan bersumpah yang antara kandungannya adalah dakwaan salah laku Abdul Gani dalam kes mata lebam Anwar.

Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut menerima salinan akuan bersumpah itu ialah Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar dan juga dikatakan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin. – 11 November, 2013.

TheMalaysiaInsider

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng