GST ibarat pukat tunda
KUALA TERENGGANU - Perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan bermula April 2015, ibarat pukat tunda kerana dilihat akan memberikan kesan kepada semua kerana melibatkan 'ikan kecil' dan 'ikan besar'.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, ia tidak seharusnya berlaku kerana tidak adil untuk 'ikan kecil' yang tidak berpeluang menikmati kehidupan yang lebih lama.
“Jika benar kerajaan ingin teruskan, saya ingin cadangkan, pukat tunda itu diganti dengan pukat jerut. Ini sebab pukat jerut ini saiz lubang pukatnya ada besar dan ada yang sederhana.
“Supaya 'ikan kecil' terlepas dan dapat hidup lebih lama serta membesar, supaya orang miskin dikecualikan dan orang biasa terlepas daripada cukai. Sekarang, hanya sebahagian kecil rakyat yang bayar cukai," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Melalui GST, katanya, semua orang terpaksa membayar cukai.
Kata beliau, kerajaan tidak boleh mengelirukan rakyat dengan membuat perbandingan dengan GST di Singapura.
Katanya, Singapura mulakan GST mereka dengan kadar tiga peratus dan mengambil masa sembilan tahun untuk naik satu peratus lagi.
Selepas itu, ia mengambil masa selama empat tahun lagi untuk sampai kepada tujuh peratus, iaitu jangka masa 13 tahun daripada tiga peratus untuk sampai kepada tujuh peratus, sedangkan negara ini bermula dengan enam peratus.
“Sepatutnya Malaysia pandai belajar. Singapura negara maju, Malaysia negara membangun.
"Tahap kemiskinan rakyat jauh berbeza, tetapi Singapura lebih prihatin kepada rakyat dan publisiti meluas bertahun-tahun diadakan sebelum GST dikenakan,” katanya.
Katanya, Islam adalah sistem yang paling adil. Cukai melalui zakat dan harta perniagaan dikenakan untuk mereka yang berada sahaja dan mesti cukup haul, iaitu setahun sekurang-kurangnya simpanan. Orang berada sahaja dikenakan dan kadarnya hanya 2.5 peratus.
“Islam menuntut pemerintah menjual aset dan harta sendiri sebelum rakyat dikenakan cukai bebanan yang terlalu tinggi,” katanya.
Sinar Harian
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...