Tatkala menghimbau peristiwa Hijrah, kita sewajarnya menginsafi iltizam dan tekad Rasulullah SAW yang tetap istiqamah dalam memacu dakwah dan proses perubahan ummah. Meski pun dihadapkan dengan pelbagai rintangan dan mehnah, namun umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW tetap teguh berpegang kepada prinsip dan keimanan kepada Allah SWT.
Peristiwa Hijrah sememangnya telah membuka dimensi baru dalam sejarah ketamadunan Islam. Sentimen dan faham perkauman berteras semangat kabilah dan suku yang menebal di kalangan masyarakat Arab ketika itu telah berjaya dirobek dan dipecahkan.
Perpindahan umat Islam dari Makkah ke Madinah menyaksikan bermulanya era baru dalam perkembangan dakwah Islam. Penyatuan kaum Ansar dan Muhajjirin merupakan titik tolak kepada pembinaan sebuah masyarakat madani dan pemerintahan negara yang berteraskan prinsip al-adli wal ihsan.
Justeru penghayatan Hijrah seharusnya disemai menerusi pemahaman terhadap falsafah pembaharuan yang digagaskan oleh baginda Rasulullah SAW. Lompang besar dalam persoalan tatakelola yang mengabaikan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan sewajarnya diatasi dan diperbaiki. Pembaziran dan ketirisan yang menjadi budaya dalam amalan tadbir urus mutakhir ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku.
Perubahan tidak akan dicapai seandainya kita terus bersikap laih dan lesu.
Firman Allah SWT di dalam Al-Qur’an:
“Sesungguhnya Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri.”
(Surah Ar-Rad: ayat 11)
Bagi pihak KEADILAN, saya mengucapkan Salam Ma’al Hijrah 1435 kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat dan hidayah untuk kita semua serta memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan membawa perubahan di negara Malaysia yang tercinta ini.
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
KETUA UMUM PARTI KEADILAN RAKYAT
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...