Malaysia digesa tolak kerajaan kudeta Mesir
KUALA LUMPUR: Kerajaan Mesir hanya boleh diiktiraf dunia melalui sistem demokrasi dalam pilihanraya yang diangkat oleh rakyatnya sendiri dan bukan melalui rampasan kuasa seperti yang berlaku sekarang.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kudeta atau rampasan kuasa pasukan tentera Mesir yang menggulingkan kerajaan negara itu pimpinan Dr Mohammad Morsi, Presiden yang sah dilantik oleh rakyat melalui pilihan raya paling demokratik.
“DPPM juga mengutuk tahanan tentera di rumah yang dikenakan ke atas Dr Morsi bersama 12 orang pembantunya,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss dalam satu kenyataan.
Katanya, penahanan itu dianggap sebagai suatu pencabulan hak asasi manusia serta dendam yang berpanjangan antara golongan sekular dengan pemimpin parti Islam itu.
Justeru, tegasnya DPPM mendesak agar tentera Mesir membebaskan segera Dr Morsi bersama pembantunya di samping memperlakukan beliau dengan baik serta seluruh pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin yang lain.
Katanya, Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang bertanggungjawab melancarkan rampasan kuasa tersebut perlu dihukum dan diheret ke muka pengadilan atas kesalahannya itu.
“Apa yang dibimbangkan adalah sejarah hitam Mesir akan kembali mewarnai negara itu dan akan kembali diperintah secara diktator seperti yang ditinggalkan oleh legasi Hosni Mubarak,” katanya.
Justeru, ujarnya DPPM merasa sedih di atas perkembangan yang berlaku dan melihat pasukan tentera tidak berhak masuk campur dalam urusan pentadbiran negara itu.
Ini, kata beliau bererti pemerintahan sekarang yang telah mengangkat Adly Mansour, Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, sebagai ketua interim negara, sebagai telah menghina rakyat Mesir dan menghina sistem demokratik yang mereka dokong semasa pilihan raya Presiden setahun yang lalu.
“DPPM juga mendesak agar kerajaan Malaysia supaya menyatakan bantahan keras terhadap pemerintahan baru Mesir dengan mendesak kerajaan baharu berundur dan menyerahkan kembali kepada Dr Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah,” katanya lagi.
Kerajaan juga, ujarnya perlu menolak kerajaan kudeta yang diangkat oleh tentera di bawah Adly Mansour.
Harakahdaily
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...