KUALA  LUMPUR 30 JULAI : Dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk  Mahfuz Omar masing-masing telah mengambil keputusan untuk memfailkan  saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri  (KDN) dan Kerajaan BN berhubung penahanan yang dilakukan oleh pihak  polis terhadap mereka pada 9 Julai lalu.
Tindakan  saman tersebut akan dilakukan menerusi syarikat peguam Faiz Fadzil  & Co dan akan dikendalikan bersama peguam Zulhazmi Sharif.
Menurut  Salahuddin, tindakan tersebut diambil memandangkan penahanan yang  dilakukan oleh pihak polis terhadap mereka sempena himpunan aman Bersih  2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu adalah tidak sah.
Katanya,  penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau dan Mahfuz  itu adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan  untuk dimasuki oleh mereka.
“Saya dan Datuk  Mahfuz ditangkap oleh pihak polis pada jam 11.50 pagi 9 Julai di sekitar  KL Sentral. Kemudian saya ditahan di lokap polis di Balai Polis Jinjang  dan dibebaskan pada jam 9.30 malam 9 Julai.
“Sepanjang  berada dalam tahanan, pihak polis pun tak ambil apa-apa keterangan  daripada kami. Kami juga tak diberitahu sebab-sebab penahanan kami itu.
“Tindakan  pihak polis terhadap kami itu adalah tindakan yang tidak wajar dan ia  ternyata satu penahanan yang tidak sah sebab itulah saya mahu mengambil  tindakan sivil terhadap pihak polis, KDN dan kerajaan BN,” katanya  kepada Harakahdaily.
Ekoran tindakan di luar  undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz  itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu di Balai  Polis Petaling, Brickfields, Kuala Lumpur jam 1.01 petang.
Dalam  laporannya itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian  menyatakan, pada 9 Julai 2011 lalu lebih kurang pukul 11.50 pagi, beliau  bersama Datuk Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berada di KL  Sentral untuk menghadiri satu sidang akhbar di Hotel Hilton.
Apabila  tiba di KL Sentral di sebelah hentian bas ke LCCT, mereka berjalan kaki  menaiki tangga ke tingkat atas KL Sentral dan setibanya di pintu masuk  KL Sentral, seorang anggota polis lelaki berbangga Melayu menahan  mereka.
“Saya dan Datuk Mahfuz telah dibawa  oleh anggota polis tersebut bertemu pegawai polis berbangsa India dan  pegawai tersebut menyatakan saya dan Datuk Mahfuz ditahan,” katanya.
Seorang  pegawai polis lelaki berbangsa Melayu, katanya, telah bertanya kepada  beliau, adakah beliau tahu terdapat perintah melarang beliau memasuki  Kuala Lumpur?
“Saya kemudiannya telah  menghubungi peguam saya memaklumkan saya telah ditahan dan ditangkap.  Walau bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan ke mana saya hendak dibawa.  Saya bersama Datuk Mahfuz kemudiannya dibawa ke Lokap Polis Jinjang,”  ujarnya.
Sepanjang ditahan, beliau tidak  dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah  bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.
“Saya  juga tidak diambil sebarang kenyataan oleh pihak polis sepanjang  penahanan saya. Saya telah dilepaskan pada lebih kurang jam 9.30 malam.  Penahanan saya oleh pihak polis adalah ‘mala fide’, tidak mengikut  Perlembagaan dan melanggar Hak Asasi saya,” katanya.
Sementara  itu, peguam Zulhazmi ketika ditemui menjelaskan, tindakan saman  daripada anak guamnya itu akan difailkan oleh beliau minggu depan atau  awal Ogos ini.
Selain Salahuddin dan Mahfuz,  jelasnya, tindakan saman ke atas PDRM, KDN dan kerajaan BN berhubung  penahanan pada 9 Julai lalu juga akan dilakukan oleh Timbalan  Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...