SHAH ALAM 27 JULAI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan pemerintah agar segera membebaskan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (OD), tanpa sebarang syarat.
Anwar berkata penahanan kesemua mereka tidak berasas sama sekali setelah pihak berkuasa dilihat berdolak dalih dalam isu tersebut.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata mereka ditahan atas tuduhan aktiviti subversif iaitu cubaan menghidupkan semula fahaman Komunis sebelum menukar tuduhan itu kepada cuba menggerakkan fahaman itu menerusi penganjuran himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Namun, setelah peguam yang mewakili keenam- enam mereka memohon Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, alasan penahanan itu sekali lagi bertukar iaitu mereka terbabit dalam merancang himpunan aman Bersih 2.0.
Mereka yang ditahan adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu.
Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam meningkatkan kempen di seluruh negara, demi menerangkan kepada rakyat, kezaliman yang dilakukan pemerintah.
"Perjuangan ini bukan sahaja untuk enam individu tersebut, tetapi juga untuk seluruh mangsa tahanan tanpa bicara seumpama yang terkandung dalam Ordinan Darurat ini.
"Undang- undang usang yang menindas itu, tidak lagi untuk melindungi keselamatan negara, bahkan sebaliknya dimanipulasi demi membungkam suara-suara yang tidak sependapat dengan pemerintah," tegas Anwar.
Anwar berkata kebimbangan yang wujud kini adalah kemungkinan kesemua yang ditahan dikasari polis semasa disoal siasat.
"Kita perihatin dengan perkembangan mutakhir ini,ada antara mereka yang kini mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dibenarkan bertemu dengan sesiapapun, hatta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ( SUHAKAM )," ujar Anwar.
Anwar berkata adalah tidak munasabah untuk polis tidak membenarkan pihak keluarga bertemu dengan enam pemimpin Parti Sosialis itu sejak mereka ditahan, 15 Julai lalu.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengingatkan kepada polis agar tidak bertindak keterlaluan dan melampaui batas sebaliknya melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat dengan baik.TVSNEWS
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...