Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Selasa, November 24, 2015

KENYATAAN TERKINI!!! YB KHALID SAMAD PEDAS..

My Photo

Tahniah PAS Selangor, Takziah PAS Pulau Pinang

MUQADDIMAH

Saya baru selesai menonton video petikan ucapan YAB MB Selangor di DUN Selangor. Beliau ucapkan tahniah kepada PAS Selangor kerana menyokong perlantikan seorang Senator dari DAP. Sudah pasti ianya dianggap satu kepelikan dan oleh itu ucapan tahniah khas berhubung sokongan PAS Selangor dianggap perlu.

Saya turut ingin mengucapkan tahniah kepada PAS Selangor atas pendirian mereka. Saya yakin ada juga di kalangan pimpinan PAS yang tidak begitu selesa dengan pendirian PAS Selangor. Oleh itu keberanian dan keyakinan PAS Selangor mempertahankan tepatnya sikap mereka perlu disokong.

Pada masa sama berlaku pula pemecatan pemegang jawatan lantikan politik di kalangan ahli PAS Pulau Pinang. Saya ucapkan takziah kepada PAS Pulau Pinang atas pemecatan ini walaupun ada juga yang mengucapkan tahniah. Kononnya ianya atas sikap mempertahankan prinsip.

SATU PARTI DUA SENARIO

Ada yang melihat pada dua peristiwa ini dan berkata, “baiknya PAS, walaupun DAP pecat ahli PAS di Pulau Pinang, PAS sokong pula calon DAP sebagai Senator di Selangor”. Sebenarnya ianya bukan soal ‘baiknya’ atau sebaliknya dalam isu ini. Ianya persoalan pendekatan yang bukan sahaja berbeza tetapi bertentangan yang diamalkan parti yang sama! Sikap sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat awam tetapi juga ahli parti PAS sendiri.

Samada perbezaan pendekatan ini adalah atas sebab perbezaan keadaan atau kefahaman, maka perlu ianya dinilai sendiri

a) PAS di Selangor

Di Selangor, PAS terus bersama kerajaan. Maka sikap bertolak ansur terhadap PKR dan juga DAP diamalkan. Politik matang demi menjaga ‘maslahah rakyat’ ini dialukan. Sudah pasti rakyat Selangor akan marah kalau PAS bertindak mengkhianati amanah pemerintahan yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada PR, termasuk PAS, pada Pilihan Raya 2013. PAS hampir melakukan pengkhianatan ini semasa krisis MB tempoh hari dan kemarahan rakyat terhadap PAS ketika itu masih lagi segar diingatan rakyat Selangor.

Amanah bersetuju dengan sikap YAB MB yang tidak bersedia mengenepikan PAS oleh kerana PAS sebahagian dari PR yang dipilih rakyat Selangor pada 2013. Namun perlu diingat, semasa krisis MB Selangor, PAS sanggup mengenepikan PKR dan DAP demi pertahankan TSKI.

Pernilaian terhadap apa yang merupakan kewajipan setelah menang jelas berbeza. Ada yang anggap perlu pertahan pilihan rakyat dengan dilibatkan semua parti yang menganggaotai PR, ada yang sebaliknya. Oleh kerana pernilaian berbeza ini, Amanah tetap berpendirian satu perjanjian perlu untuk mengikat PAS Selangor dalam kerjasamanya dengan Pakatan Harapan di Selangor.

Perjanjian ini wajar meliputi bukan sahaja kerjasama dalam kerajaan yang sama tetapi juga perjanjian untuk berkerjasama dalam PRU ke 14. Sudah pasti gerak-kerja ke arah pilihan raya perlu dimulakan dari sekarang. Dan sekiranya PAS tidak akan bersama membantu PH pada ketika itu, maka apa maknanya PAS dikekalkan dalam kerajaan dan ahlinya dilantik pada jawatan-jawatan lantikan politik?

Adalah benar, buat masa ini, PAS Selangor bersama kerajaan Selangor. Tetapi sehingga bila?

b) PAS di Pulau Pinang

Di Pulau Pinang PAS mempunyai hanya seorang ADUN. PAS sudah lama bersikap tidak bersama kerajaan Pulau Pinang. Walaupun pernah diberi peruntukan perlantikan jawatan politik yang jauh lebih tinggi dari yang layak berdasarkan satu kerusinya, PAS Pulau Pinang mengambil sikap tegas dan tidak mesra kerajaan Pulau Pinang. Di Pulau Pinang bukan sekadar DAP, tetapi PKR juga dimusuhi PAS. Kisah pilihan raya kecil Permatang Pauh masih segar diingatan sebagai bukti.

Walaupun tidak dinafikan Timbalan Presiden PAS, TITM telah mengarahkan jentera pilihan raya PAS turun membantu di Permatang Pauh, Presiden PAS sendiri memilih untuk tidak bersama. Presiden hanya muncul selepas Pilihan Raya kecil tersebut untuk bersama golongan PAS Pulau Pinang yang memulau Pilihan Raya kecil itu dan mengucapkan tahniah kepada mereka.

Maka adalah agak pelik sekiranya ada pihak PAS yang membantah pemecatan ahli PAS dari jawatan lantikan politik di Pulau Pinang. Ehh, awak menentang kerajaan tetapi awak pula mahu diberi jawatan lantikan politik? Lainlah kalau jawatan guru atau pegawai yang bukan lantikan politik. Jawatan lantikan politik dilantik oleh kerajaan Negeri untuk membantu kerajaan Negeri. Kalau sudah tidak setuju dan tidak sokong, masaka masih ingin dilantik?

KEWAJARAN SATU PARTI DUA KEADAAN

Jika ditanya apa yang menyebabkan PAS Selangor berbeza dengan PAS Pulau Pinang, sudah pasti ada yang akan terus merumuskan ianya kerana ‘keadaan’. Dalam bahasa lebih mudah, kerana kuasa! Sudah pasti ada yang akan mengatakan oleh kerana PAS ‘berkedudukan’ di Selangor, maka demi jawatan dan kedudukan ini, PAS Selangor bermuka-muka sanggup bermesra dengan PKR dan sedikit sebanyak bertolak ansur dengan DAP di Selangor.

Sebenarnya saya yakin bukan itu sebabnya. Adalah perlu diakui, pendirian PAS Selangor berbeza dengan PAS Pusat. Lihat sahaja kes PERKASA sebagai contoh dan PAS Pusat setakat ini membenarkan PAS Selangor berbeza, setakat ini.

Akan tetapi, sekiranya disentap PAS Pusat, PAS Selangor akan mengikuti sikap PAS Pulau Pinang kerana PAS Pulau Pinang adalah sekarang ini, wajah PAS sebenar. Dan PAS Selangor tidak akan sanggup menolak arahan PAS Pusat apabila PAS Pusat mengarahkan sesuatu, walaupun PAS Selangor berada di pihak yang lebih betul. Lihat sahaja semasa krisis MB. Jika sekiranya keadaan jumlah kerusi mencukupi dan PAS Selangor diminta bersama UMNO membentuk kerajaan, sudah pasti PAS Selangor akan akur.

Hanya sekarang ini jumlah kerusi tidak mencukupi. Tetapi bagaimana selepas PRU 14?

Oleh itu perjanjian perlu. Bukan sekadar semasa memerintah bersama tetapi juga apabila ingin menghadapi PRU ke 14. Tetapi adakah perjanjian itu akan dihormati setelah menang?

TARBIAH ATAU INDOKTRINASI?

Apa sebenarnya matlamat tarbiah? Kepatuhan mutlak kepada pimpinan? Itu bukan tarbiah, itu indoktrinasi. Keadaan sebegitu tidak jauh berbeza dengan UMNO. Terbukti benar kata-kata Mufti Perlis. Tetapi keadaan dalam UMNO bukan kerana tarbiah atau indoktrinasi. Ianya merupakan manefestasi dari “cari makan”.

Sepatutnya tarbiah dan penimbaan ilmu menjurus kepada kebebasan minda, berani bersikap berdikari dan kritis. Tetapi sebaliknya yang tercapai. Sudah pasti tarbiah gagal sekiranya semakin teokratik dan feudal pemikiran hasil sesuatu program tarbiah. Namun ianya program indoktrinasi yang berjaya.

KESIMPULAN

Maka satu parti dua keadaan bukan sesuatu yang sukar difahami. Ianya berpaksi atas kehendak PAS Pusat, khususnya Presiden PAS. Di Selangor ada manfaatnya bersama PKR dan DAP. Menunggu masa dan peluang atau ikhlas dalam sepakatan? Saya yakin atas sebab ikhlas dalam sepakatan. Tetapi itu PAS Selangor. PAS pusat saya yakin ianya sebaliknya. Masalahnya, pada akhirnya PAS Pusat juga yang menentukan!

Adalah wajar untuk semua merungkai misteri satu parti dua keadaan ini. Mana satu wajah PAS sebenarnya? Berdasarkan itu maka pendirian terhadap PAS dan cara menangani kecelaruan pemikiran PAS dapat ditentukan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

 
 
http://iklanviral.blogspot.my/

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...