Sabtu, Mei 12, 2012

Ulama lihat ada petunjuk Putrajaya diterajui kerajaan baru


(Mohamed Daud dan Muhamad Sabu di majlis perasmian mesyuarat agung Pemuda PAS Kelantan)

KOTA BHARU: Bagi orang Melayu golongan ulama begitu disanjung dan dihormati kerana ilmu dan amalan mereka. Setiap kata-kata ulama dipegang dan dijadikan panduan.

Begitu juga dalam situasi sekarang orang ramai melihat peluang kerajaan baru menguasai Putrajaya begitu cerah berdasar kepada banyak petunjuk yang muncul hari ini.

“Saya nampak peluang untuk kerajaan lain menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 begitu cerah sekali. Namun kalau tidak berlaku seperti dijangka itu tidak tahulah saya hendak kata apa lagi.

“Lagi pun Perdana Menteri seperti memberi petunjuk PRU-13 makin hampir sekarang,” kata Datuk Mohamed Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan di majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-53 di Dewan Utama Syabab Point di sini hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Hadir sama Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Khalil Abdul Hadi, Ketua AMK Kelantan, Azihan Che Seman dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Syabab Point merupakan bekas bangunan milik Umno Kota Bharu dan dibeli PAS Kelantan pada 2010 dengan harga RM4.5 juta. Sebelum ini bangunan itu dimiliki atas nama Ombak Baru dijual oleh bekas Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Oleh itu Mohamed yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri berkata, pemuda hendaklah mempersiapkan diri dengan menimba sebanyak mungkin ilmu sehingga ke peringkat PhD.

Katanya, kalau dahulu golongan pemuda tidak ramai yang memiliki ijazah, namun sekarang keadaan sebaliknya berlaku.

“Pemuda kena membuat persiapan kerana pada masa hadapan bukan sekadar menjadi pemimpin di Kelantan sebaliknya mengisi jawatan penting di peringkat pusat.

“Jadi kena ada persiapan ilmu sebagai persediaan. Tidak boleh berpuas hati dengan kemampuan yang ada sekarang,” ujarnya.

Mengenai kehadiran begitu ramai pada perhimpunan sempena sambutan 66 tahun Umno di Bukit Jalil malam tadi, katanya Umno mampu mengerah orang ramai hadir kerana mereka ada kuasa di peringkat persekutuan.

Timbalan Presiden PAS berkata, banyak negara sekarang berubah pemerintahannya akibat kebangkitan rakyat menggunakan pentas jalan raya bagi menukar kerajaan yang zalim.

Katanya, tidak banyak negara yang berubah teraju pemerintah melalui saluran demokrasi pilihan raya kecuali India dan negara-negara di barat sahaja.

“Misalnya Indonesia pada 1998 berubah melalui jalan raya, begitu juga Filipina, Thailand dan tahun lepas di Tunisia, Libya serta Mesir.

“Bagaimanapun di Malaysia kita tetap mahu menggunakan saluran pilihan raya bagi mengubah kerajaan,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kagum sokongan masyarakat bukan Islam kepada PAS sekarang, di mana sebelum ini ia tidak pernah terfikir.

Katanya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan perubahan itu dengan mengajak orang Cina dan bukan Islam mendekati program yang diadakan di masjid.

“Dahulu orang Cina yang tinggal di sebelah masjid pun kita tidak ajak datang, namun sekarang sudah jauh berubah apabila pemimpin masyarakat Cina sudah banyak memahami mengenai Islam,” katanya.

Sementara itu sempena muktamar tersebut Pemuda PAS Machang memenangi anugerah pengurusan terbaik keseluruhan, manakala Pemuda PAS Kubang Kerian (Pengurusan Pasti terbaik).

Pemuda Kota Bharu (Penambahan Ahli UKJ) dan Pemuda PAS Pasir Puteh menerima anugerah Pengurusan Jabatan Pilihan Raya Terbaik. Kesemua hadiah disampaikan Timbalan Presiden./HarakahDaily

#Kopi Susu Harimau!!!! Terkini!!!!!!!!

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng